Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

3 j/kuasa kaunselor baru diperkenal tahun depan

 | August 15, 2012

Tujuan utama jawatankuasa itu untuk mendekatkan kerajaan dengan anggota masyarakat, meningkatkan hubungan dua hala dan membina semangat kesatuan yang tinggi.

KUCHING: Tiga jawatankuasa kaunselor baru – kebudayaan, belia dan sukan – akan ditubuhkan dalam semua 24 majlis tempatan pada tahun depan di bawah kelolaan Jabatan Komuniti, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat.

Menterinya, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, proses rombak semula sedang dilakukan dan dijangka siap menjelang hujung tahun ini.

“Dalam proses rombakan semula ini, terdapat beberapa muka baru dan ada juga akan menggantikan kaunselor sedia ada,” ujarnya sambil memberitahu kaji semula pemberian elaun turut dilakukan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hadiah dan Sumbangan Amal di Pentas Terbuka, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Menurut Wong, tujuan utama jawatankuasa itu untuk mendekatkan kerajaan dengan anggota masyarakat, meningkatkan hubungan dua hala dan membina semangat kesatuan yang tinggi dalam masyarakat.

Selain itu, ia berperanan memantapkan perpaduan antara masyarakat dalam aspek kedudukan sosial.

“Kaunselor ini memainkan peranan yang penting kerana mereka merupakan jambatan antara kerajaan dengan masyarakat dan kita harap rombakan semula ini dapat mencapai semua objektif itu,” katanya.

Jelasnya, melalui penganjuran pelbagai aktiviti di bawah jabatan baru itu, ia dapat meningkatkan penglibatan masyarakat setempat dan mewujudkan jalinan kerjasama.

Pembangunan masyarakat

“Kita mahu memastikan pembangunan masyarakat ini seiring dengan pembangunan yang ada sekeliling kita kerana, kita tidak mahu wujudnya perasaan yang pentingkan diri sendiri dalam masyarakat.

“Contohnya, ada segelintir individu itu tidak kenal siapakah jiran di sebelah rumahnya meskipun sudah lama tinggal dalam satu kawasan atau taman perumahan yang sama,” ujarnya.

Katanya, dengan adanya jawatankuasa itu, ia akan memberi galakan kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam program atau aktiviti yang diadakan.

Ditanya mengenai calon yang layak, Soon Koh memberitahu beliau diarahkan oleh Ketua Menteri untuk memilih calon yang terbaik daripada terbaik.

“Calon kaunselor itu boleh terdiri daripada orang parti politik atau pun orang awam dan kita akan membuka pencalonan ini kepada semua,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, rombakan itu akan dilakasanakan dalam semua majlis tempatan kecuali Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), dan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kerana kedua-dua majlis itu dibawah Jabatan Ketua Menteri.

“Kita berharap, kedua-dua majlis ini akan mengikuti langkah yang sama,” ujarnya sambil menambah ada kaunselor yang dicalonkan bertanding sebagai wakil rakyat dan ada pula yang secara sukarela memberi ruang kepada muka baru.

Terdahulu, Wong menyaksikan penyampaian cek sumbangan amal daripada peniaga-peniaga yang berniaga di Festival Kuching 2012 berjumlah RM24,755.20 kepada lapan pertubuhan amal.

Hadir sama, Datuk Bandaraya MBKS, James Chan dan Pengerusi Penganjur Kuching Festival 2012, Kaunselor Haji Mohamad Taufik Abdul Ghani.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments