Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Tiada alasan menangguhkan Hudud, kata Nik Aziz

August 25, 2012

Kata Menteri Besar Kelantan itu, alasan supaya rakyat faham terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud tidak boleh diterima.

PETALING JAYA; Datuk Nik Aziz Nik Mat menegaskan tidak ada alasan untuk menangguhkan dari melaksanakan hukum Hudud di negara ini.

Kata Menteri Besar Kelantan itu, alasan supaya rakyat faham terlebih dahulu sebelum melaksanakan hukum Hudud tidak boleh diterima.

“Bagi saya tidak ada asas hukum dan keperluan atas dasar logik untuk melengah-lengah pelaksanaan kerana Hudud adalah sebahagian daripada perundangan syariah yang diwajibkan dalam Islam.

“Ini kerana tidak ada hukum atau undang-undang di dunia ini, sama ada di bawah sistem demokrasi mahu pun komunis yang menunggu rakyat faham dan setuju dulu, baru dilaksanakan.

“Atas kerana itu, apa sahaja undang-undang di Malaysia, ia dibuat dan dilaksanakan tanpa menunggu semua pihak faham atau setuju.

“Termasuklah pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu sendiri pun yang menguatkuasakan pembentukan negara Israel di bumi Palestin yang ditentang hebat oleh orang Palestin sendiri.

“Hatta Presiden Amerika, Barrack Obama sendiri turut bersetuju dengan perundangan ‘kahwin sejenis’ meskipun majoriti masyarakat dunia menolaknya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Laut berombak

Tambah Mursyidul Am PAS, persoalan sesuatu hukum boleh dilaksana setelah ada kefahaman dan persetujuan semua pihak, ia sesuatu yang tidak tepat dalam kaedah perundangan yang ingin mengawal dan mendidik masyarakat ke arah kebaikan.

Tambahan lagi, soal hukum Islam (Hudud) bukannya pilihan untuk menusia menolak atau menerima. Tugas pihak berkuasa atas nama Islam adalah kewajipan dan tanggungjawab. Jadi keperluan kepada suasana kondusif bukanlah penghalang ke arah pelaksanaan hukum Allah.

Katanya, sampai bilakah segala alasan tanpa keimanan dan hujah akal sentiasa dijadikan alasan untuk menidakkan penerimaaan dan pelaksanaan hukum Allah SWT ini?

Apa yang pasti, hukum Allah SWT tetap serasi dengan hukum alam dan makhluk ciptaan-Nya.

“Kalaulah menunggu alunan ombak reda, sampai bila nelayan akan dapat ke laut? Ketika laut berombak itulah, nelayan boleh meluncur perahunya ke laut bagi menangkap ikan,” kata Nik Aziz.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments