Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kehadiran Anwar: Sultan S’gor tidak gembira

 | September 3, 2012

Tuanku Sultan malahan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput ke majlis itu sehingga diberi slot untuk memberikan ucapan pada malam tersebut.

PETALING JAYA: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak gembira dengan kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis sambutan ambang Hari Merdeka yang dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor pada Khamis lalu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata Tuanku Sultan malahan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput ke majlis itu sehingga diberi slot untuk memberikan ucapan pada malam tersebut.

“Atas dasar dan kapasiti apa dia dijemput? Beliau memenangi (kerusi) di Penang. Beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Selangor. Sultan tidak gembira mengenainya.

“Sultan tertanya-tanya mengapa Anwar dijemput dan diberi slot untuk memberi ucapan,” kata Mohamad Munir.

Beliau turut menjawab dakwaan Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin bahawa Tuanku Sultan tidak perlu menyatakan hasrat menghadiri sambutan Hari Merdeka kerana kedudukan Baginda berada di atas pentadbiran negeri.

“Baginda (Sultan) berada di atas pentadbiran negeri. Baginda tidak akan berkata bahawa Baginda mahu pergi jika tidak dijemput,” jelas beliau.

Faekah dalam satu kenyataannya semalam berkata adalah menjadi tanggungjawab Mohamad Munir untuk memaklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi sekiranya Tuanku Sultan berkenan untuk mencemar duli dan menghadiri acara berkenaan.

Faekah turut mendakwa kekeliruan timbul apabila Mohamad Munir tidak memberikan maklumat sewajarnya kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Pihak Istana biasanya akan dimaklumkan mengenai program-program kerajaan negeri dan saya akan bertanya kepada Tuanku Sultan sama ada Baginda akan menghadiri majlis tersebut.

“Tuanku (Sultan) akan memberitahu Baginda lapang untuk hadir dan saya akan maklumkan kepada pegawai kerajaan negeri untuk mengesahkan kehadiran. Namun tahun ini kita tidak dimaklumkan tentang perkara berkenaan. Bagaimana kita akan tahu jika Tuanku Sultan berkehendak untuk hadir?,” soal beliau.

Mengapa Anwar dijemput?

Sementara itu, FMT turut mendapatkan komen mantan Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang turut mempersoalkan kehadiran Anwar sebagai jemputan utama dalam majlis tersebut.

“Siapa yang jemput Anwar? Kenapa jemput Anwar? Itu yang masalah timbul. Pejabat Menteri Besar arahkan agar kerajaan negeri menjemput Anwar. Tidak pernah dalam satu program ada dua jemputan utama. Jadi kewajipan Kerajaan Negeri dibawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk menjemput Tuanku Sultan,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau turut mendakwa urusan jemputan utama adalah dibawah tanggungjawab Menteri Besar. Maka adalah tidak bertanggungjawab untuk Abdul Khalid menyalahkan Setiausaha Kerajaan Negeri dalam urusan jemputan berkenaan.

“Jemputan utama biasanya ditentukan oleh Menteri Besar. Jemputan lain akan diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri. Abdul Khalid sepatutnya tidak boleh memberi alasan dan menyalahkan Mohamad Khusrin, sedangkan sepatutnya beliau memberi sebab mengapa Anwar dijemput?,” soal beliau.

Sambutan Merdeka program parti

Beliau berkata majlis sambutan Hari Merdeka itu menjadi program parti sedangkan ia di bawah perbelanjaan kerajaan Negeri. Maka tidak sewajarnya perkara itu berlaku dan mendakwa majlis itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk negeri dengan hanya tidak kurang 7,000 menghadirinya.

“Ini majlis kemerdekaan tidak sepatutnya jadi program parti. Jemput Anwar dan beri beliau peluang bagi ucapan. Saya sarankan mereka (Pakatan Selangor) adakan majlis di bawah program parti sendiri dan belanja guna wang parti,” ujar beliau.

Menjadi isu hangat apabila Tuanku Sultan tidak dimaklum serta dijemput menghadiri Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 Peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam Khamis lalu.

Bagaimanapun, kerajaan negeri menjemput Anwar sebagai tetamu kehormat dan memberikan ucapan pada sambutan itu yang menggunakan tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa: Terima Kasih Rakyat, Selangorku Terus Maju’.

Tema itu adalah bertentangan dengan tema sambutan kemerdekaan peringkat Persekutuan iaitu ’55 Tahun Merdeka Janji Ditepati’.

Turut baca:

Tukar Jalur Gemilang: Mengejar fantasi?


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments