Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

MB S’gor ‘tetamu kehormat’ sambutan kemerdekaan

 | September 5, 2012

Penglibatan Menteri Besar membabitkan empat acara utama - pelancaran Bulan Kemerdekaan, Ambang Merdeka, Perbarisan dan Perarakan serta Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan.

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor merupakan tetamu kehormat pada majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor sejak 2003 sehingga 2012, demikian mengikut rekod penganjuran majlis itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu perkara ini bagi menjelaskan mengapa Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak dijemput untuk menghadiri majlis itu Khamis lalu.

Menurut beliau, penglibatan Menteri Besar membabitkan empat acara utama iaitu pelancaran Bulan Kemerdekaan, Ambang Merdeka, Perbarisan dan Perarakan serta Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan.

Bagaimanapun pada tahun 2007 baginda berkenan untuk mencemar duli bagi menghadiri upacara Perbarisan dan Perarakan sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Kemerdekaan Malaysia.

“Tuanku Sultan dijemput mencemar duli bagi Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat sempena sambutan Bulan kemerdekaan pada setiap tahun termasuk tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat mingguan exco di sini hari ini.

Anwar hanya penceramah jemputan

Ketika ditanya mengenai dakwaan mantan Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo bahawa Tuanku Sultan sentiasa dijemput pada majlis sama, beliau berkata surat seperti yang didakwa tidak ditemui.

Diasak dengan pertanyaan mengenai kehadiran Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Abdul Khalid menjelaskan bahawa kehadiran Anwar hanyalah sebagai penceramah jemputan pada malam tersebut.

“Dalam majlis sambutan merdeka seperti ini, dulu kita ada penyanyi jemputan. Kini kita ada penceramah jemputan,” katanya.

Mengenai cadangan beliau untuk menghadap Sultan Selangor, Abdul Khalid berkata pertemuan itu sudah ditetapkan esok.

Pembentangan Talam di Dun S’gor

Sementara itu, kerajaan negeri akan membentangkan laporan mengenai Talam Corporation Sdn Bhd dalam Dewan Negeri Selangor (Dun) yang dijadualkan bersidang pada November ini. Laporan itu akan diedarkan kepada orang awam.

Pada Julai 2012, kerajaan Selangor telah melantik KPMG Transaction & Restructuring Sdn Bhd (KPMG) untuk menjalankan semakan bebas terhadap kaedah kutipan hutang tertunggak berjumlah RM392 juta dari Talam.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang ke atas MCA, Abdul Khalid berkata ia akan dilakukan sekiranya mereka terus mengeluarkan kenyataan bahawa Selangor menyelewengkan wang sebanyak RM1 bilion itu.

Beliau turut mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Ahli Parlimen Selayang, William Leong dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin sebagai jurucakap rasmi bagi kerajaan Selangor berhubung isu Talam ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments