Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Pupuk semangat patriotik melalui kurikulum baru sejarah

September 6, 2012

Zaman yang menganggap sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang merangka kurikulum baharu mata pelajaran Sejarah untuk pelajar sekolah menengah dalam usaha melahirkan warganegara yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha itu dijalankan dengan berpandukan kepada perakuan-perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

“Kerajaan memberi perhatian khusus terhadap kandungan kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah. Laporan (Jawatankuasa Khas) telah kami terima, InsyaAllah kami akan laksanakan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan Majlis ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) di Wisma Sejarah, di sini hari ini.

Jawatankuasa Khas yang ditubuh pada Mei 2011 itu dianggotai 10 pakar sejarah dan dipengerusikan Tan Sri Omar Mohd Hashim yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM.

Jawatankuasa Khas itu berfungsi untuk mengkaji semula kandungan kurikulum dan buku teks Sejarah sekolah menengah bagi memastikan ia mampu melahirkan pelajar yang mempunyai perasaan cinta akan tanah air dan sekali gus memperkukuhkan semangat setia negara dan jati diri sebagai warga negara Malaysia.

Wajib lulus

Penubuhannya selaras dengan dasar kerajaan menjadikan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Muhyiddin berkata kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme guru-guru Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi di kalangan pelajar untuk membolehkan mereka menghargai nilai-nilai murni yang terkandung dalam warisan sejarah negara.

“Zaman yang menganggap sejarah boleh diajar oleh sesiapa sahaja dan menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu.

“Kami mahu mata pelajaran Sejarah diberi nafas baru, dimartabatkan dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang mendalam tentang ilmu Sejarah,” katanya.

Selain itu, Muhyiddin berharap dengan pelaksanaan dasar menjadikan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM dan pengajaran Sejarah di peringkat sekolah rendah mulai 2014, semangat patriotik dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dapat dipupuk sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Bagi tujuan yang sama, beliau turut berharap PSM serta badan-badan bukan kerajaan berkaitan dapat terus bergerak aktif melaksanakan program-program yang memartabatkan kedudukan sejarah dan warisan bangsa.

“Saya yakin selepas 59 tahun penubuhannya, ahli PSM memiliki banyak pengalaman untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin. Kerjasama dan peranan pertubuhan-pertubuhan yang mendokong aspirasi negara mengenai warisan sejarah budaya adalah penting untuk meningkatkan kesedaran rakyat terhadap asal-usul negara kita dan pembentukan satu identiti nasional,” katanya.

Sementara itu, Omar ketika ditemui pemberita berkata Jawatankuasa Khas itu telah menyerahkan laporan perbincangan mereka kepada kementerian kira-kira dua bulan lepas, yang turut mengandungi cadangan penambahbaikan termasuk cara pengajaran dan kandungan mata pelajaran Sejarah.

Terdahulu, Muhyiddin merasmikan Galeri Sejarah PSM, melancarkan buku-buku terbitan PSM tahun 2012 dan menyampaikan hadiah Pertandingan Mengarang Esei Sejarah Malaysia kepada pemenang.

- Bernama

Tags: pelajaran Sejarah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments