Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Tanggungjawab Melayu kukuhkan PAS

 | September 9, 2012

Kalau mahu selamatkan Melayu dan Islam serta memperkasakannya maka wajib masuk PAS.

PETALING JAYA: Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa tempoh masa lebih setengah abad sudah cukup bagi orang Melayu memberi kepercayaan kepada Umno menjadi teras Barisan Nasional memimpin negara.

“Pemimpin Umno lebih leka dengan perubahan bersifat kebendaan untuk menarik rakyat memberi sokongan semata-mata untuk menang pilihan raya,” kata beliau dalam blog rasminya.

Katanya, tanpa perlu dinafikan perlunya banyak masjid yang didirikan, bangunan pusat Islam, bangunan sekolah agama, Tabung Haji, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam dan sebagainya.

“Masalahnya ialah roh dan pengisiannya tidak mengikut acuan Islam yang sempurna secara ikhlas dan berta’abud dengan petunjuk Al Quran dan Sunnah,” jelas beliau.

Keadaan ini kata Hadi, menjadikan sehingga asasnya bocor, kedudukan Islam lebih lemah berbanding ketika zaman penjajah  sehinggakan pemimpin Melayu dan bangsanya tidak mampu menjadi contoh Islam yang sempurna kepada seluruh manusia.

Lebih merbahaya lagi katanya, apabila menunjukkan contoh negatif seperti tidak bermoral, rasuah, penyalahgunaan kuasa, politik wang dan sebagainya.

Menurut beliau, (mantan perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri telah membuat kenyataan terbuka dan telah dua kali keluar masuk Umno. Tunku Abdul Rahman (perdana menteri pertama) pula meninggalkan Umno dan berucap di pentas PAS sebelum beliau meninggal dunia.

Mutakhir ini katanya, ada tokoh Melayu Islam dalam Umno meninggalkan Umno bersama tokoh ilmuan, kakitangan kerajaan dan pasukan keselamatan menyertai PAS.

Perkembangan positif

“Ini merupakan satu perkembangan yang positif kepada pengundi Melayu supaya membuat perubahan bersama PAS menggantikan Umno sebagai kuasa pemerintahan.

Ujar beliau, “kalau mahu selamatkan Melayu dan Islam serta memperkasakannya maka wajib masuk PAS, bukannya masuk Umno yang memikul Islam tanpa pelaksanaan, setelah lebih satu abad memikul amanah. Inilah pembetulan yang wajib dilakukan.

Kata Khalifah Umar Al-Khattab: “Kembali kepada yang benar adalah lebih baik daripada berterusan dengan kebatilan.

Hadi mengajak orang Melayu khususnya, menegakkan Islam yang sempurna bersama PAS dan dengan demikian Melayu akan selamat dan semua kaum juga akan selamat kerana Islam itu rahmat Allah kepada seluruh alam dan adil untuk semua kaum.

“Tegakkan Melayu dengan mengapi-apikan semangat perkauman hanya sampingan, Melayu bersama Umno tidak mampu lagi memimpin kerana hilang maruah dan lemah jiwanya.

“Selamat berhijrah kepada ahli-ahli Umno kepada PAS,” ujar beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments