Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Rafizi fail mohon ketepi tuduhan mengikut akta Bafia

September 10, 2012

Mohd Rafizi, 35, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Latheefa Koya di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 9.30 pagi.

SHAH ALAM: Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini mengemukakan permohonan untuk mengetepikan tuduhan mengikut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen di sini.

Mohd Rafizi, 35, memfailkan permohonan itu melalui peguamnya Latheefa Koya di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi di sini pada 9.30 pagi.

Latheefa, yang ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan itu, berkata antara alasan permohonan itu, termasuk prosiding jenayah yang dihadapi Mohd Rafizi di Mahkamah Sesyen didakwanya merupakan satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pendakwaan, bersifat selektif dan bermotifkan politik.

Sementara itu di Mahkamah Sesyen, Hakim Aslam Zainuddin menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula kes Mohd Rafizi dan kerani bank Johari Mohamad yang didakwa bersubahat dengannya.

Beliau menetapkan tarikh itu selepas peguam N.Surendran yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu permohonan Mohd Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu didengar di Mahkamah Tinggi.

Mengaku tidak bersalah

Pada 1 Ogos lepas, Mohd Rafizi mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun pelanggan Public Bank Bhd iaitu National Feedlot Corporation (NFC), National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan Pengerusi NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail, yang beliau mempunyai akses, kepada Yusof Abdul Alim dan Erle Martin Carvalho di Ibu Pejabat PKR di Merchant
Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103 (1) (a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Johari, 41, juga mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan di alamat yang sama.

Johari didakwa mengikut Seksyen 112 (1) (c) Bafia, dan boleh dihukum menurut Seksyen 103 akta sama.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments