Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Saham FGVH boleh jatuh serendah harga IPO

 | September 10, 2012

Penurunan harga saham sangat besar sehingga mencapai 20 sen dalam masa seminggu, keadaan ini jarang berlaku pada mana-mana syarikat kukuh.

KUALA LUMPUR: Peneroka bakal menanggung kerugian besar apabila prestasi saham Felda Global Ventures Holdings (FGVH) semakin menjunam jatuh walaupun baru dua bulan tersenarai di Bursa Saham.

Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Dr Rosli Yaakop berkata, penganalisis meramalkan pasaran saham mungkin akan kekal lemah dalam tempoh sehingga enam bulan dan boleh jatuh di bawah harga par RM4.55 seunit.

“Penurunan harga saham sangat besar sehingga mencapai 20 sen dalam masa seminggu. Keadaan ini jarang berlaku pada mana-mana syarikat kukuh,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Katanya, pasaran saham FGVH yang tidak menentu ini berpunca daripada tiga faktor utama, iaitu apabila ladang pokok sawit kini kebanyakannya sudah tidak mengeluarkan hasil dan mengalami musim tanam semula sehingga menyebabkan Felda terpaksa menanggung kos sehingga RM2 bilion.

Selain itu, Felda juga mendapat persaingan hebat daripada pasaran komoditi minyak sawit mentah (CPO), tambahan Indonesia kini sudah menghapuskan cukai CPO.

Malah, pelambakan jumlah 2.19 bilion unit saham FGVH di pasaran dalam keadaan pasaran yang lemah turut menyumbang kepada faktor tekanan kepada penurunan saham.

“Proses tanam semula akan ambil masa sekurang-kurangnya empat tahun, aset terbesar FGVH pula adalah tanah, aktiviti lain tak signifikan kecuali dapat lonjakkan aktiviti hiliran tapi ini juga tak mungkin,” katanya.

Membebankan peneroka

Katanya, keadaan ini akhirnya membebankan peneroka kerana terpaksa menanggung kerugian bayaran pinjaman bank apabila kadar faedah yang dikenakan lebih mahal daripada dividen yang diperoleh.

Sementara itu Rosli berkata berdasarakan kajian awal, FGVH sepatutnya diapungkan pada harga RM5.85 sesaham seperti yang dicadangkan oleh pengurus terbitan jika ia disenaraikan semasa harga pasaran dalam keadaan kukuh.

Namun, katanya disebabkan pasaran lemah dan nilai jauh lebih rendah daripada harga yang dicadangkan sehingga jatuh sebanyak RM1.45, Felda rugi atas kertas sebanyak RM2 bilion.

“Maknanya kalaulah Felda betul-betul berhati-hati maka sepatutnya Felda telah menjana dana RM11 bilion berbanding RM9 bilion.

“Felda sepatutnya tunggu, jangan senaraikan. Apabila pasaran bagus, naik melonjak pada masa itulah Felda akan dapat keuntungan maksimum.

“Ini sengaja nak cepat senarai tapi rugi…itu tindakan melulu namanya,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments