Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

PAS berjaya keluar perangkap ‘syaitan’

 | September 11, 2012

Sebagai parti yang berpengalaman lama dalam dunia politik, PAS berjaya menghidu jerat yang sengaja dipasang musuh bagi memerangkap ahlinya supaya berpecah-belah.

PETALING JAYA: PAS mendakwa pihaknya berjaya meloloskan diri daripada perangkap ‘syaitan’ yang hanya ingin melihat ahli mereka bercakaran sesama sendiri sehingga menjejaskan hubungan dalaman parti dan Pakatan Rakyat.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai parti yang berpengalaman lama dalam dunia politik, PAS berjaya menghidu jerat yang sengaja dipasang musuh bagi memerangkap ahlinya supaya berpecah-belah.

Merujuk kepada tindakan Majlis Syura terhadap bekas Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa Ahad lalu, Tuan Ibrahim berkata isu itu sengaja diperbesarkan media perdana untuk memerangkap ahli dan pimpinan PAS supaya terpengaruh dengan propaganda mereka.

“Kebijaksanaan dalam mengurus perangkap yang dipasang oleh musuh, menyebabkan keputusan yang diambil oleh kepimpinan (PAS) benar-benar mengecewakan musuh.

“Tindakan ini menyebabkan ‘syaitan yang dikenali’ menangis, manakala ‘para malaikat yang tidak dikenali’ akan bergembira,” katanya dalam kenyataan blog.

Beliau turut menasihatkan ahli PAS supaya menerima keputusan tersebut secara terbuka walaupun ‘sahabat’ mereka sebelum ini pernah melakukan kesilapan.

“Janganlah kemarahan kepada sahabatmu menyamai kemarahanmu kepada musuh, kerana kemarahan kepada sahabat atas sebab kecintaanmu kepadanya.

“Sedangkan kemarahan kepada musuhmu adalah kerana kemurkaan Allah kepadanya.

“Lantaran itu menghadapi kesilapan sahabat tentulah tidak sama kadarnya menghadapi musuh,” katanya.

Tambahnya, ahli PAS ditegah supaya tidak membazir masa dan tenaga dengan melayan isu ini sebaliknya fokus terhadap kerja menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang semakin dekat.

“Mereka memang dilatih untuk kerja jahat ini,dan janganlah keikhlasan kita menyebabkan kita gagal mengenali mana sahabat dan mana musuh,” katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Nasharuddin masih kekal sebagai ahli Majlis Syura, malah kedudukannya tidak berbangkit semasa mesyuarat jawatankuasa berkenaan diadakan pada Ahad lalu.

Sebaliknya, Abdul Hadi menegaskan fokus mesyuarat berkenaan adalah untuk membincangkan mengenai calon PAS yang akan bertanding dalam PRU13.

Ahli Parlimen Bachok itu sebelum ini dikecam kerana tindakannya mengkritik DAP berkenaan isu hudud serta tersebarnya gambar beliau
duduk bersebelahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Keempat di Mekah Ogos lalu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments