Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Kertas soalan SPM disyaki bocor

 | September 13, 2012

Seorang guru tuisyen mendakwa, kertas peperiksaan yang disiarkan pengendali laman "2012 SPM Tips/Notes/Ramalan (Official)" sebagai 'soalan ramalan' itu agak meragukan.

KUALA LUMPUR: Kertas soalan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 bagi beberapa subjek disyaki bocor dan diedar secara berleluasa dalam media sosial Facebook.

Seorang guru tuisyen mendakwa, kertas peperiksaan yang disiarkan pengendali laman “2012 SPM Tips/Notes/Ramalan (Official)” sebagai
‘soalan ramalan’ itu agak meragukan kerana 99 peratus daripada kesemua soalan bertepatan dengan kertas soalan sebenar yang diduduki pelajar.

“Berdasarkan komen pelajar dalam Facebook, rata-ratanya berpuas hati kerana soalan ramalan yang diberi adalah tepat,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen DAP Segambut di sini hari ini.

Enggan dikenali, guru tuisyen Bahasa Inggeris itu mendakwa pengendali laman itu bertindak keterlaluan apabila mereka turut cuba mengaut
keuntungan dengan mengutip ‘derma’ daripada pengguna Facebook, majoritinya remaja sekolah, tanpa menyatakan tujuan secara jelas.

Ini dibuktikan dalam salah satu gambar album laman itu menyiarkan gambar wang kertas RM50 “menerima bayaran pertama daripada peminat sebagai ‘derma’ untuk laman web ini”.

“Kebanyakan kertas bocor itu adalah soalan berbentuk subjektif. Pengendali cuma ubah suai soalan dan topik supaya nampak berlainan, namun jawapannya tetap sama,” katanya.

Katanya, beliau turut menerima rungutan daripada ibu bapa dan guru sekolah yang ragu-ragu dengan laman Facebook itu dan bimbang ia akan menjejaskan prestasi sebenar pelajar.

‘Orang dalam’ menjadi dalang?

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mendakwa dalang yang mengendalikan laman ini adalah daripada ‘orang dalam’ sendiri yang mempunyai kaitan dengan Jabatan Pelajaran dan dipercayai menjalankan kerja secara berkumpulan.

Beliau berkata ada cubaan pihak tertentu yang menyalahgunakan kuasa mengaut keuntungan dengan mengedarkan kertas soalan bocor.

“Soalan ramalan itu bukan satu kebetulan. Ini satu bentuk penipuan dan tidak boleh diterima.

“Bayangkan pelajar memohon kolej dan matrikulasi menggunakan keputusan peperiksaan percubaan yang diperoleh berdasarkan latihan soalan bocor itu. Ini tak adil,” katanya.

Sehubungan itu, Lim berkata pihaknya akan membangkitkan isu ini kepada Menteri Pelajaran sebaik sahaja sidang Parlimen bermula 24 September depan.

“Kerajaan mahu merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Nasional yang baru tetapi masih gagal menangani masalah ini yang semakin menjadi amalan biasa,” katanya.

Bagaimanapun tinjauan FMT petang tadi mendapati laman itu telah ditutup dan tidak lagi wujud dalam Facebook.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments