Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Korupsi di M’sia sudah membarah

 | September 13, 2012

SAMM akan membuat pendedahan kesemua dokumen yang diperolehi dalam masa tiga hari dari hari ini.

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan membuat pendedahan berlakunya penyelewengan melibatkan Jabatan Perdana Menteri.

Dalam satu kenyataan media hari ini Penyelaras SAMM Kebangsaan Badrul Hisham Shaharin berkata pihaknya akan mendedahkan identiti seorang yang bekerja sebagai orang tengah dalam hal geran bantuan Perdana Menteri.

Badrul Hisham yang juga ketua PKR bahagian Rembau berkata pada 12 September (semalam) beliau menerima satu set dokumen di rumahnya di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurutnya, SAMM akan membuat pendedahan kesemua dokumen yang diperolehi dalam masa tiga hari dari hari ini.

Dokumen ini membuktikan bagaimana geran bantuan Perdana Menteri kepada sebuah badan kebajikan telah diselewengkan dan sebanyak RM200,000 terpaksa dibayar kepada orang tengah sebagai ‘komisyen’.

Menurutnya lagi, set dokumen itu mengandungi surat bertarikh 28 Mac 2012 dari Kementerian Kewangan yang memaklumkan kepada pertubuhan kebajikan tersebut mengenai peruntukan geran sebanyak RM500,000.

Surat-surat yang lain disertakan ialah surat jawapan persetujuan penerimaan bantuan geran dari pertubuhan tersebut kepada Kementerian Kewangan.

Juga diperolehi ialah minit mesyuarat pertubuhan tersebut yang menyebut dengan jelas nama seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) yang membantu mendapatkan geran bantuan daripada Perdana Menteri.

Dokumen itu adalah bukti yang kukuh di mana pemimpin BN tersebut menjadi orang tengah kepada sebuah pertubuhan di mana mendapat geran bantuan RM500,000 tetapi diputuskan pembayaran ‘komisyen’ sebanyak 40% kepada syarikat milik pemimpin yang dinyatakan.

“Set dokumen tersebut turut melampirkan penyata kira-kira akaun yang menyatakan dengan jelas pembayaran komisyen dibuat melalui 10 cek kepada syarikat yang dinyatakan sebelum ini.

Ini termasuk beberapa dokumen yang boleh membuktikan operasi pembayaran komisyen ini diketahui oleh pihak yang menguruskan pembayaran dari pejabat Perdana Menteri itu sendiri,” kata Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai CheguBard.

Usaha tutup korupsi Scorpene

Sementara itu, CheguBard mendakwa siasatan yang dilakukan terhadap sebuah NGO, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ialah satu usaha untuk menutup isu pendedahan korupsi kapal selam Scorpene termasuk penjualan maklumat ketenteraan kepada pihak asing.

“Tiba-tiba untuk menutup isu pendedahan korupsi kapal selam yang didedahkan termasuk penjualan maklumat ketenteraan kepada pihak asing, Suaram diserang di media utama negara sebagai alat asing semata-mata kerana menerima dana dari luar.

“Nampak sangat kerajaan BN menjadi panik dan ketandusan isu berdepan Suaram,” jelas beliau.

Beliau berkata, bukannya suatu perkara yang asing organisasi bukan kerajaan di seluruh dunia mendapat bantuan dana dari luar khususnya dari negara kaya dan maju.

Bantuan dan dana katanya, juga datang dari badan korporat, yayasan besar dunia dan perbagai bentuk lagi secara langsung mahupun tidak langsung.

Jelas beliau, “ini bukanlah satu kesalahan atau pelik cuma cara hipokrasi kerajaan BN seolah-olah menjadikan perkara ini asing dan amat salah, khususnya dalam negara yang mengamalkan konsep kapitalisme (pasaran terbuka).

“Yang salah ialah usaha menjual syarikat berkepentingan negara kepada pihak asing. Rakyat seharusnya tidak melupakan penjualan kepentingan Bernas, Telekom dan banyak syarikat negara kepada pihak asing.

“Lebih dashyat ialah mereka yang rapat dengan Perdana Menteri yang terlibat menjual rahsia ketenteraan negara dalam proses pembelian Scorpene, ini juga didiamkan,” ujar beliau.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments