Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mengapa Rayer tutup kes kecurian wang?

 | September 13, 2012

Rayer yang juga ahli Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang turut dituduh bertindak melulu di dalam badan tersebut.

UPDATED

PETALING JAYA: Pemuda MIC Pulau Pinang hari ini mempersoalkan tindakan ahli Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) RSN Rayer yang juga Adun Seri Delima bertindak menutup kes kecurian wang di Kuil Sri Balathandayuthapani Sabtu lepas melibatkan wang sebanyak RM10,395.00.

“Kenapa RSN Rayer (gambar) mengambil kepentingan utama dalam isu kecurian ini di mana beliau telah memberikan arahan untuk menarik balik laporan polis ini.

“Adakah RNS Rayer ingin memberikan mesej bahawa kecurian duit milik tabung kuil (orang ramai) merupakan satu kesalahan yang ringan dan boleh dimaafkan secara diam-diam?

“Adakah RSN Rayer merupakan “kingmaker” dalam PHEB dengan mengambil tindakan serta berkuasa daripada pengerusi yang sedia ada?,” soal Ketua Pemuda MIC Pulau Pinang J Dhinagaran dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut pemimpin MIC ini dalam kes kecurian tersebut, penolong bendahari kuil tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Pulau Tikus terhadap seorang kakitangan PHEB pada 8 September lalu tetapi terpaksa menarik balik laporan tersebut berikutan “arahan dari Rayer”.

Kes kecurian ini bukan kes yang pertama. Menurut Dhinagaran dua tahun lepas wang PHEB sebanyak RM68,000 turut dicuri.

Justeru itu, Dhinagaran (gambar) turut membidas peranan Timbalan Ketua Menteri II Dr P Ramasamy yang juga merupakan pengerusi PHEB.

“Adakah Dr P Ramasamy hanya berfungsi sebagai sebuah boneka dalam menguruskan lembaga ini? Ini kerana Rayer nampaknya lebih bertindak melulu dalam segala urusan PHEB,” kata Dhinagaran.

Ramasamy dituduh sebagai lebih menguruskan isu warga Sri Lanka berbanding rakyat Pulau Pinang.

Ketua Menteri Lim Guan Eng turut digesa oleh Pemuda MIC Pulau Pinang agar mengambil tindakan terhadap Rayer.

“Di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang yang mengamalkan prinsip kecekapan, kebertanggungjawapan dan ketelusan, apakah tindakan susulan oleh YB Lim Guan Eng terhadap RSN Rayer yang telah campurtangan dalam masalah ini?,” soal beliau.

Sementara itu, Rayer mengakui bahawa beliau menasihatkan ahli jawatankuasa kuil tersebut berdasarkan faktor kemanusiaan dan belas kasihan.

“Tertuduh tertangkap ketika melakukan jenayah tersebut dan meletakkan jawatan serta-merta. Wang yang dicuri juga diperolehi semula,” jelas Rayer.

Beliau turut menyatakan bahawa pihaknya tidak mahu memanjangkan kes menerusi proses mahkamah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments