Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pilihan raya negeri berasingan libat kos tinggi

September 14, 2012

Timbalan Pengerusi SPR berkata ini berikutan lebih 80 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk memastikan kelancaran pengundian adalah terdiri daripada guru sekolah.

KUALA LUMPUR: Cadangan kerajaan negeri di bawah pimpinan parti pembangkang mengadakan pilihan raya negeri berasingan daripada
pilihan raya umum bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi malah akan menjejaskan perjalanan kelas dan mengganggu tugas guru.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata ini berikutan lebih 80 peratus tenaga kerja yang digunakan untuk memastikan kelancaran pengundian adalah terdiri daripada guru sekolah.

Selain itu, SPR juga terpaksa menggunakan semula sekolah untuk dijadikan pusat mengundi yang akan menganggu perjalanan kelas di sekolah tersebut.

“Ini tidak patut berlaku. Kita kena fikir kepentingan semua pihak bukan semata-mata kepentingan politik sahaja,” katanya dalam rancangan wawancara ‘Hello Malaysia’ oleh Bernama TV yang disiarkan secara langsung malam tadi.

Wawancara selama sejam, yang bertajuk ‘Isu Bubar Dun: Implikasi SPR’, dikendalikan oleh Sherkawi Jirim.

Wan Ahmad berkata selain itu, anggaran jumlah kos untuk mengadakan pilihan raya umum adalah kira-kira RM400 juta manakala pilihan raya negeri secara berasingan di negeri Selangor sahaja akan menelan belanja sebanyak RM50 juta.

Kerajaan negeri yang diperintah oleh parti pembangkang perlu ingat bahawa mereka tidak sepatutnya berfikir untuk menang sahaja, tanpa memikirkan masalah kos, tenaga kerja serta kanak-kanak sekolah yang akan terganggu akibat proses pilihan raya yang terpaksa diadakan dua kali, katanya.

Beliau berkata selain itu, kempen pilihan raya yang diadakan dua kali juga akan mengganggu ketenteraman awam, yang mana kesesakan jalan berlaku dan polis terpaksa terpaksa dikerah ke lokasi berkempen bagi menjaga ketenteraman awam serta mengelak berlakunya kejadian yang tidak diingini.

Sebelum ini empat kerajaan negeri yang di bawah pimpinan parti pembangkang mempunyai pendapat yang berbeza mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun)masing-masing.

Baru-baru ini, kerajaan Selangor, di bawah pimpinan gabungan pakatan Parti Keadilan Rakyat-DAP-PAS dilaporkan enggan mengadakan pilihan raya Dun serentak dengan pilihan raya umum.

Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dilaporkan berkata berkata kerajaan negeri itu belum membuat keputusan sama ada mahu membubar Dun serentak dengan pembubaran Parlimen.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula berkata parti PAS berpendirian tidak akan membubarkan Dun secara berasingan dengan keputusan yang dibuat oleh kerajaan pusat untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak masih bermain teka-teki dengan berkata pembubaran Dun akan dibuat berdasarkan keadaan politik semasa di negeri jelapang padi itu.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments