Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Tibai gesa LHDN siasat Suaram

 | September 14, 2012

NGO itu berpendapat dana asing yang diterima Suaram adalah sogokan dan upah untuk mereka menjadi tali barut bagi menumbangkan kerajaan sedia ada.

FULL REPORT

KUALA LUMPUR: Sebuah NGO, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) hari
ini menggesa supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) segera membuka
fail siasatan berhubung dana asing yang diterima Suara Rakyat Malaysia (Suaram) melibatkan jumlah ratusan ribu ringgit.

Mursyidul Am Tibai Muhammad Zahid Mat Arip dalam laporannya kepada LHDN membangkitkan tiga persoalan, antaranya kemungkinan Suaram yang bergerak melalui syarikat Suara Inisiatif Sdn Bhd pernah mengisyhtiharkan pendapatan dan kemasukan dana asing yang diterimanya secara rasmi.

“Jika sebelum ini mereka ada membuat pengisytiharan kepada LHDN mengenai pendapatan mereka, kita mahu LHDN menyemak dan mengkaji semula pengisytiharan tersebut secara terperinci kerana kita bimbang mereka telah mengemukakan pengisytiharan palsu.

“Kita berpendapat dana asing yang diterima Suaram adalah sogokan dan upah untuk mereka menjadi tali barut bagi menumbangkan kerajaan sedia ada,” katanya.

Beliau mendakwa pihaknya percaya selain Suaram, dana asing itu juga membiayai pemimpin politik pembangkang antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa dan Exco Selangor Elizabeth Wong.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kerajaan mengambil serius dan berjanji akan menyiasat dakwaan tersebut.

Kelmarin, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bersama lima agensi lain, Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Dalam Negeri (KDN),
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengadakan perjumpaan bagi menentukan secara terperinci mengenai status Suaram.

ROS juga telah mengesahkan Suaram merupakan sebuah pertubuhan tidak berdaftar, dan tidak mengikuti Akta Pertubuhan 1966, di mana mereka perlu memenuhi keperluan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 yang meliputi alamat urusan, sekurang-kurangnya tujuh orang ahli (Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966), kutipan yuran ahli serta perlembagaannya.

Hilang kepercayaan

Sementara itu, ditanya mengapa tidak membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahid berkata pihaknya hilang kepercayaan terhadap agensi kerajaan itu.

Beliau mendakwa ada ‘jerung’ besar dalam SPRM yang menjadi perkakas kepada pembangkang dengan bersikap berat sebelah dan tidak berminat untuk menyiasat apabila wujud laporan penyelewengan membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Merujuk kepada kes Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan isteri yang hidup mewah, Zahid berkata sebelum ini pelbagai aduan difailkan namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap pasangan tersebut.

Begitu juga dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang cuba menyogok bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim RM50,000, termasuk pembelian hutang Talam Corporation Sdn Bhd oleh kerajaan Selangor menggunakan wang rakyat, katanya.

“SPRM tiba-tiba menjadi begitu proaktif walaupun tanpa laporan, memadai hanya dengan sidang akhbar seorang pemimpin pembangkang, segera bertindak menyerbu dan merampas fail syarikat yang mendapat projek MRT di Ampang.

“Begitu juga dengan kes NFC yang melibatkan keluarga Menteri sebagaimana yang didedahkan pembangkang, SPRM sangat aktif menyiasat. Syabas SPRM,” katanya sinis.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments