Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Lebih 1,000 berhimpun bantah filem ‘Innocence of Muslims’

 | September 22, 2012

Perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer bermula dari perkarangan Masjid Bahagian Kuching sehingga ke Balai Polis Sentral Kuching.

KUCHING: Lebih 1,000 umat Islam menyertai perarakan secara aman sebagai bantahan terhadap penerbitan dan penyiaran filem anti Islam “Innocence of Muslims” dan kartun yang mempersendakan Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah antarabangsa di perkarangan Masjid Bahagian Kuching, di sini, semalam.

Moderator Perhimpunan itu, Dato Idris Buang berkata, perarakan sejauh kira-kira tiga kilometer itu bermula dari perkarangan Masjid Bahagian Kuching sehingga ke Balai Polis Sentral Kuching.

“Tujuannya untuk membuat laporan polis terhadap penerbit, pengedar dan sesiapa sahaja yang menyimpan, menayang, menyalin, mengedar dan menggunakan filem dan karikatur tersebut untuk kepentingan diri atau mempertontonkan kepada orang ramai sama ada menerusi laman sesawang atau medium lain yang menghina agama Islam,” katanya.

Idris dalam ucapannya di hadapan bangunan Balai Polis Sentral Kuching itu melahirkan rasa tidak puas hati umat Islam di negeri ini atas tindakan kerajaan Amerika yang tidak berupaya menghalangnya atas nama kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, kata Idris, dalam ketidakpuasan hati umat Islam, mereka disaran agar tidak melakukan bantahan secara kekerasan dan melampau berhubung isu itu sehingga boleh membawa kepada kematian dan kemusnahan harta benda.

“Ini kerana agama Islam tidak pernah mengajar umatnya menghina agama lain atau melakukan kekerasan terhadap golongan bukan Islam mahupun sesama sendiri.

“Kami mahu agama lain menghormati agama Islam seperti kami menghormati agama mereka,” katanya.

Menurut Idris, pihaknya akan menubuh Kelab “We Love Muhammad” dalam tempoh masa terdekat sebagai memberi sokongan terhadap bantahan ke atas filem arahan Sam Bacile dari California itu yang menggambarkan Nabi Muhammad dalam keadaan yang hina sehingga mencetuskan protes ganas di seluruh negara Islam.

“Kelab ini terbuka kepada semua umat Islam di negeri ini tanpa mengira usia,” katanya.

Selain itu, beliau mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengambil tindakan tegas berhubung perkara itu supaya pada masa hadapan tidak berlaku insiden seperti ini yang boleh menyakitkan hati umat Islam.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments