Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Bina rumah PR1MA di tanah kosong milik Kementerian

October 4, 2012

Kabinet pada mesyuarat yang lepas mengarahkan kementerian-kementerian untuk menyenaraikan tanah milik mereka yang tidak dibangunkan.

SHAH ALAM: Tanah milik kementerian yang tidak dibangunkan akan dibina dengan rumah mampu milik di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kabinet pada mesyuarat yang lepas mengarahkan kementerian-kementerian untuk menyenaraikan tanah milik mereka yang tidak dibangunkan bagi tujuan pembinaan rumah itu.

“Macam kementerian saya, kita bina sekolah tapi sesetengah kawasan itu sudah banyak sekolah, ada tapak sekolah yang tak digunakan dan di situ mungkin nak dicadang dibina (rumah mampu milik) maka kita sedia untuk serahkan kepada PR1MA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog majlis perjumpaan timbalan perdana menteri bersama pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), belia negeri Selangor dan mahasiswa di Universiti Teknologi MARA di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan akan menentukan kawasan yang akan dibangunkan PR1MA untuk pembinaan rumah mampu milik berharga RM300,000 ke bawah bagi memberi peluang golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah yang harganya meningkat tinggi terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

“Sampaikan mereka yang berpendapatan RM2,000 ke RM3,000 sebulan tidak mampu memiliki rumah seperti itu, sebab itu Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kabinet amat sedar hal ini dan mengadakan program rumah mesra rakyat yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya.

Muhyiddin berkata skim pembiayaan yang berpatutan diperlukan untuk pelaksanaan projek PR1MA itu, iaitu institusi kewangan menerusi Kementerian Kewangan dan Bank Negara menetapkan bayaran pinjaman balik dan syarat pinjaman yang tidak membebankan.

“Sebagai contoh berapa bayaran permulaan, berapakah tempoh membayar balik, berapa kadar yang dikatakan berpatutan dan perlukah jaminan harta dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan mengambil perhatian perkara itu dan akan dibincangkan Kementerian Kewangan dengan pihak bank.

PR1MA ialah program kerajaan untuk menggalakkan pemilikan rumah terutama dalam kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dengan menyediakan hartanah kediaman mampu milik di bandar-bandar utama negara.

Dalam Belanjawan 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan sebanyak RM500 juta akan dibelanjakan PR1MA untuk membina 50,000 unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM400,000 seunit.

Antara bandar utama itu ialah Kuala Lumpur, Shah Alam (Selangor), Johor Baharu (Johor), Seremban (Negeri Sembilan) dan Kuantan (Pahang).

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments