Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mahabharata – Bahagian 1

 | October 7, 2012

Rasa ingin tahu membawa dua remaja melakukan pengembaraan minda bagi meneroka sisi lain sebuah epik klasik dari India.

FEATURE

Hussain sedang menelaah teks Razmnameh dalam Bahasa Parsi bersama-sama Hassan apabila dia menyedari betapa Mahabharata adalah sebuah epik yang amat kompleks dan sukar dihuraikan secara terperinci dalam masa yang singkat. Tidak hairanlah datuk mereka turut menghadapi masalah untuk menjelaskannya secara mendalam.

Vyasa selaku pengarang epik klasik India ini ternyata menggunakan cerita berbingkai dan plot kompleks dalam menyampaikan cerita yang menggabungkan unsur politik, agama, geografi, teknik perang, dharma, moral, falsafah, keluarga, persahabatan, ketaatan dan ribuan topik lain dalam sebuah epik yang diperakui sebagai teks puisi terpanjang di dunia.

Epik Mahabharata pada asalnya ditulis dalam bahasa Sanskrit pada sekitar kurun ke-5 Sebelum Masehi dan kurun ke-2 Masehi.  Ia mengisahkan perang saudara antara golongan Kauruva (seramai seratus orang) dan golongan Pandava (seramai lima orang) berikutan tindakan golongan Kauruva merampas kerajaan daripada golongan Pandava secara tipu muslihat.

Namun begitu, sebagai permulaan kepada kisah yang terbahagi kepada 18 parva (bahagian) ini, Hassan dan Hussain mahu mengenali individu bernama Vyasa yang bukan sahaja bertindak sebagai penggubah epik itu, malah turut tampil sebagai salah satu watak penting di dalamnya. Hal ini boleh dibandingkan juga dengan kehadiran Valmiki sebagai watak dan juga penggubah sebuah lagi epik klasik Sanskrit iaitu Ramayana.

Satu lagi nama timangan bagi Vyasa ialah Krishna. Bagaimanapun, nama itu adalah sempena kulitnya yang gelap dan bukan merujuk kepada Dewa Krishna – yang kebetulan juga tampil sebagai satu lagi watak penting dalam Mahabharata.

Vyasa dikatakan anak kepada Satyavati dan Parashara. Terdahulu, Satyavati bersuamikan Shantanu dan salah seorang anak yang lahir ialah Vichitravirya. Maka, Vyasa dan Vichitravirya merupakan adik-beradik tiri; seibu tetapi berlainan bapa. Demikian Hussian dan Hassan pernah mendengar cerita daripada datuk mereka.

Menurut kisah dalam Mahabharata, Vichitravirya berkahwin dengan pasangan adik-beradik, Ambika dan Ambalika. Malangnya putera itu meninggal dunia akibat batuk kering. Maka ibu mendiang, iaitu Satyavati, cuba memujuk Bhisma (anak tirinya) supaya menggauli Ambika dan Ambalika demi meneruskan generasi Kuru.

Ya, kisah dan jurai keturunan dalam Mahabharata memang amat kompleks. Satyavati bersuamikan Shantanu sebelum mengahwini Parashara. Shantanu pula sebelum itu sudah mengahwini Ganga yang melahirkan Bhisma. Maka, Bhisma, Vichitravirya dan Vyasa adalah adik-beradik tiri dalam suatu keluarga yang amat kompleks.

Pasangan kembar Hassan dan Hussain terpaksa membuat rajah khas untuk menggambarkan hubungan kekeluargaan keturunan Kuru supaya dapat mengikuti kisah Mahabharata dengan lebih baik. – Bersambung minggu depan

Uthaya Sankar SB sedang mengulang baca sedikit demi sedikit epik klasik Mahabharata sambil melakukan interpretasi supaya sesuai dengan zaman.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments