Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

MCA hanya tentang hudud PAS, kata Chua

 | November 3, 2012

Tidak pernah sekalipun MCA melakukan sesuatu tindakan yang mengecam agama Islam dan pengamalannya di Malaysia, katanya.

PETALING JAYA: MCA hanya menentang hudud PAS dan bukannya menghina Islam, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau mendakwa isu itu  telah dipolitik dan diputar oleh pemimpin Pakatan Rakyat apabila mereka menganggap  PAS adalah agama Islam.

Katanya, seperti mana MCA menghormati agama-agama lain seperti Buddha, Kristian dan Hindu, MCA juga peka dan menghormati sensitiviti umat Islam negara ini, apatah lagi, Islam adalah agama rasmi Persekutuan.

Menurutnya, ini terbukti dengan sokongan dan penerimaan MCA terhadap perlaksanaan rukun-rukun Islam di negara .

Ia seperti pembinaan masjid-masjid, institusi Tabung Haji yang memudahkan umat Islam menunaikan haji, penubuhan dan implementasi pusat zakat dan kutipannya, pembinaan sekolah-sekolah agama, perbankan Islam dan penerapan dasar-dasar Islam dalam kerajaan.

Dan yang paling utama, MCA tidak pernah menentang malah menyokong dan mendokong bahawa Islam adalah agama Persekutuan dengan agama-agama lain bebas diamalkan dengan aman dan damai seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
Presiden MCA menegaskan perkara itu dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Dr Chua juga menegaskan parti itu telah bersama menuntut kemerdekaan negara dan membangunkan negara hingga ke tahap ini.

Tidak pernah sekalipun MCA melakukan sesuatu tindakan yang mengecam agama Islam dan pengamalannya di Malaysia, katanya.

Bagaimanapun, MCA, katanya menyeru Pakatan Rakyat meletak kembali hudud sebagai salah satu manifesto mereka dalam pilihan raya akan datang sepertimana PAS meletak manifesto hudud terhadap bukan Islam pada pilihan raya 1986 demi menghormati dan menjunjung prinsip demokrasi.

Cabar PAS dan PKR

Beliau berkata, MCA juga ingin mencabar pendirian PAS dan PKR dalam isu berkaitan tentang kenyataan Karpal  supaya melangkah mayat beliau dahulu sekirannya negara Islam hendak ditubuhkan di Malaysia.

“(Adakah) kenyataan tersebut merupakan kenyataan yang berbaur menghina Islam atau tidak.

“MCA sekali lagi hendak mencabar pendirian DAP sama ada mereka bersama–sama MCA menentang pelaksanaan hudud versi PAS atau tidak?

“Sekirannya mereka menyatakan mereka tidak berkongsi pendirian yang sama dengan MCA dalam isu hudud versi PAS maka mereka perlu tampil memberitahu rakyat bahawa mereka menyokong pelaksanaan hudud versi PAS di negara.

“Diharapkan DAP tidak lari  dan sembunyi daripada cabaran pendirian mereka dalam isu ini. Mereka hanya perlu menyatakan pendirian sokong atau tidak.? kata Dr Chua lagi.

Dr Chua menegaskan sebagai Presiden  MCA bahawa MCA adalah sebuah parti yang mendokong prinsip demokrasi.

Oleh itu, demi menghormati dan menjunjung prinsip demokrasi maka Pakatan Rakyat perlu meletak hudud versi PAS dalam
manifesto mereka dalam pilihan raya  akan datang.

Katanya, jika ia  diterima dan disokong oleh majoriti rakyat Malaysia, MCA akan menghormati kehendak rakyat.
Dr Chua juga mengatakan pendirian politik Pakatan Rakyat selalunya konsisten untuk tidak konsisten.

Dakwa Karpal persoal Sultan

“Dahulu Pengerusi DAP iaitu Karpal Singh sendiri bangkit mempersoalkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mengenai campur tangan istana dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan Istana seharusnya bebas daripada sebarang penglibatan politik.

“Namun begitu , dalam isu pertikaian MCA terhadap hudud versi PAS pula Pakatan Rakyat hendak melibatkan Yang di Pertuan Agong demi memenuhi hawa nafsu dan kepentingan politik mereka sendiri,” kata beliau lagi.

Menurut Dr Chua, beliau telah berbincang dengan Fathul Bari dari Pertubuhan Ilmuan Malaysia dan tidak ada masalah bagi MCA untuk menerima penerangan dari beliau tentang hukum hudud berdasarkan sumber-sumber Islam yang sebenar.

Dr Chua bertanya, sekiranya Pakatan Rakyat benar–benar konsisten untuk memperjuangkan keadilan demi agama dan umat Islam, mengapa mereka hanya berdiam diri apabila pemimpin DAP iaitu Datuk Ngeh Koo Ham  yang jelas menghina dan memperlekehkan Islam.

Dalam tweetnya, Pengerusi DAP Perak itu, menyatakan protes umat Islam terhadap Sam Bacile adalah satu perkara yang terlalu membazir masa dan tenaga.

“Peliknya juga dalam isu penghinaan Islam oleh pemimpin DAP ini ramai pemimpin PAS menyokong dan mempertahankan beliau (Ngeh),” kata Dr Chua.

Beliau menegaskan, rakyat perlu tahu pada pilihan raya umum 1986, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Pesuruhjaya PAS  Kelantan telah mengeluarkan manifesto antara lain pelaksanaan undang-undang Islam turut berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam.

Manifesto PAS 1986 dalam muka surat lima menguatkuasakan undang-undang Islam di seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan keturunan, bangsa, agama dan pangkat kecuali perkara berhubung dengan ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

“Dalam muka surat 24 pula dinyatakan bahawa hak-hak orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam dan ini adalah hudud sebenar berlandaskan Islam,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments