Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

PAS: Saman AES ditarik balik

 | December 18, 2012

Pagi tadi ramai yang datang ke mahkamah bawa surat saman tapi pegawai JPJ arah mereka kumpulkan surat dan suruh mereka balik, kata peguam KASE.

KUALA LUMPUR: PAS mendakwa kes saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Mahkamah Putrajaya, Kajang dan Jalan Duta kini ditarik balik dan semua Orang Kena Saman (OKS) dilepaskan daripada dakwaan.

Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE) Zulhazmi Shariff mendakwa, kejadian berlaku sejak semalam apabila pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bertugas mengendalikan kes di Mahkamah Majistret Jalan Duta mengarahkan OKS supaya pulang begitu saja tanpa dikenakan sebarang dakwaan.

“Pagi tadi ramai yang datang ke mahkamah bawa surat saman tapi pegawai JPJ arah mereka kumpulkan surat dan suruh mereka balik,” katanya dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.

Sementara di Mahkamah Putrajaya pula, Zulhazmi berkata Timbalan Pendakwa Raya menarik balik pertuduhan kes sekaligus OKS dilepas tanpa dibebaskan atas alasan wujudnya ‘kesilapan teknikal’.

Beliau juga mendakwa kes yang dikendalikannya turut ditangguhkan apabila pihak pendakwaan memohon kes ditangguh selama sebulan atas alasan dokumen yang sepatutnya disediakan JPJ tidak lengkap.

“Tindakan ini kemungkinan berpunca daripada bantahan besar-besaran KASE pada 9 Disember lalu dimahkamah tentang JPJ yang tidak ada kuasa untuk mendakwa melainkan Timbalan Pendakwa Raya daripada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata perkembangan ini sesuatu yang mengejutkan kerana tidak ada satu pengumuman yang jelas tentang kedudukan saman AES yang dikeluarkan.

“Bagi saya kerajaan sepatutnya umumkan secara rasmi pembatalan ke atas semua 256,899 saman yang dikeluarkan termasuk yang sudah bayar kompaun dan mengaku salah serta didenda di mahkamah,” katanya.

Beliau turut menggesa JPJ dan kerajaan memulangkan semula wang kompaun yang telah dibayar OKS kerana proses saman AES yang tidak sah, selain meminta supaya semua waran tangkap yang dikenakan terhadap orang yang tidak hadir ke mahkamah dibatalkan sama sekali.

“Kerajaan perlu kembalikan wang rakyat kerana surat saman tu tak betul jadi wang yang dibayar kepada kerajaan adalah wang yang haram.

“Haram kalau kerajaan terima wang tersebut maka wajar bayar balik wang tersebut kalau tak ini bermakna kerajaan seperti menjadi ejen pengutip wang haram,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments