Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Banjir di Pantai Timur semakin pulih

December 27, 2012

Seramai 15,674 mangsa berada di pusat pemindahan banjir negeri masing-masing pada pagi ini berbanding 19,958 mangsa malam tadi.

KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang semakin pulih apabila lebih 4,000 mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, pagi ini.

Seramai 15,674 mangsa berada di pusat pemindahan banjir negeri masing-masing pada pagi ini berbanding 19,958 mangsa malam tadi.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sehingga pukul 9 pagi tadi adalah seramai 8,173 berbanding 11,489 orang malam tadi.

Menurut portal banjir negeri, 71 pusat pemindahan masih dibuka di Terengganu pagi ini berbanding 147 malam tadi.

Keadaan banjir di daerah Marang dan Besut bertambah baik apabila lebih banyak pusat penempatan banjir ditutup dan mangsa dibenarkan pulang, manakala daerah lain tidak menunjukkan perubahan yang ketara.

Di Besut jumlah mangsa yang masih berada di pusat penempatan ialah 121 orang, Marang (23), Kemaman (4,027), Dungun (2,130), Kuala Terengganu (1,021), Setiu (566) dan Hulu Terengganu (285).

Tanda pemulihan

Di KELANTAN, keadaan banjir menampakkan tanda pemulihan apabila jumlah mangsa banjir susut pagi ini kepada 6,507 orang berbanding 6,757 orang, berikutan cuaca yang baik sejak semalam sehingga pagi ini.

Menurut portal rasmi kerajaan negeri, mereka yang dipindahkan itu membabitkan 2,040 buah keluarga yang ditempatkan di 31 buah pusat pemindahan sementara.

Pasir Mas masih lagi mencatatkan jumlah pemindahan terbesar membabitkan 4,031 orang yang terdiri daripada 1,276 keluarga dan mereka ditempatkan di 18 buah pusat pemindahan.

Di Tumpat, mereka yang dipindahkan adalah seramai 1,885 orang, Kota Baharu (231), Tanah Merah (153), Pasir Puteh (145), Kuala Krai (53) dan Machang (9).

Dengan keadaan cuaca yang baik ketika ini, hanya Sungai Golok di Rantau Panjang yang masih berada pada paras bahaya iaitu 10.31 meter (bahaya 9 meter).

Bagaimanapun, zon bebas cukai Rantau Panjang masih lagi digenangi air yang hanya boleh dilalui pacuan empat roda dan kenderaan berat sahaja. Tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Muhyiddin lawat pusat penempatan

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual melawat pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Pasir Mas hari ini bagi meninjau keadaan banjir di Kelantan.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir semakin berkurangan kepada 994 orang berbanding 1,712 orang malam tadi.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga pukul 9 pagi ini, hanya dua daerah yang masih membuka pusat pemindahan kepada mangsa-mangsa banjir iaitu Kuantan dan Pekan.

“Daerah Kuantan masih mencatatkan pemindahan mangsa paling ramai iaitu seramai 788 orang daripada 181 keluarga apabila kediaman mereka di lapan kawasan penempatan di daerah itu masih dinaiki air.

“Di daerah Pekan pula, jumlah mangsa yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Sungai Miang masih kekal 206 orang daripada 43 keluarga,” katanya sambil menambah laluan yang ditutup kepada semua kenderaan telah dibuka semula.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments