Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Analisis laporan TIMSS 2011 dan pencapaian Malaysia

January 29, 2013

Malaysia kini berada di persimpangan di antara standard pendidikan nasional dan standard pendidikan antarabangsa.

(Bahagian 1)

Oleh Zul Fikri Zamir dan Anas Alam Faizli

Seorang ahli akademik dari Brazil telah berjaya membawa satu pembaharuan kepada konsep pedagogi kritis. Paulo Freire gigih menyangkal konsep pendidikan ala-ala “simpanan di bank” yang menurutnya pelajar dilihat seperti akaun kosong yang akan di isi oleh cikgu.

Pelajar cuba dipenuhi dengan maklumat. Ini bukan pendidikan tetapi storan maklumat! Freire mencadangkan hubungan dua hala yang rapat di antara guru dan pelajar dimana kedua-duanya saling lengkap melengkapi. Beliau menekankan bahawa guru seharusnya mengajar dan juga belajar dari pelajar; manakala pelajar pula belajar dan juga mengajar kembali guru mereka.

Sebagai sebuah negara membangun dengan iklim budaya dan bangsa yang pelbagai, Malaysia kini berada di persimpangan di antara standard pendidikan nasional dan standard pendidikan antarabangsa.

Pertama, perlukah negara unik seperti Malaysia melihat kepada model luar seperti Finland ataupun Korea Selatan dan kedua, adakah model-model tersebut sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia? Malah model Finland dan Korea Selatan adalah jauh berbeza dari satu ekstrim pendidikan bebas dan terbuka kepada pendidikan tertutup dan berstruktur. Jadi bagaimanakah ia boleh disesuaikan untuk konteks Malaysia?

Dalam hal ini kami sependapat dengan pandangan Malek Bennabi (1905-1973) sebagaimana dinukilkan di dalam makalahnya ‘Asas Pendidikan Sosial’ iaitu;

‘Sebenarnya adalah satu kerugian sekiranya menolak untuk mendapat panduan daripada pengalaman orang lain atau mendapat faedah daripada kejayaan mereka. Bagaimanapun mana-mana peminjaman mestilah disesuaikan dengan dasar budaya dan asas sosial negeri yang meminjam itu’. Lebih menarik beliau meneruskan; ‘Dengan kata lain, kita sendiri mestilah mencipta dalam negara kita syarat dan keadaan yang perlu untuk menggunakan mana-mana penyelesaian yang difikirkan untuk masalah sosial kita’.

Malaysia muncul corot di dalam tiga kajian yang dilakukan oleh indeks-indeks antarabangsa. UN Education Index meletakkan Malaysia di kedudukan 98 daripada 181 negara. Manakala kajian “Programme for International Student Assessment” (PISA) pula mengukur kadar literasi pelajar-pelajar berumur 15 tahun terutamanya Matematik, Sains dan kadar kebolehan membaca. Di samping itu PISA turut menguji kebolehan pelajar menyelesaikan masalah secara kritis berbanding menghafal. Malaysia corot di tangga 55 daripada 74.

Belum sempat bernafas muncul pula keputusan kajian “Trends in Mathematics and Science Study” (TIMSS) 2011 yang telah menunjukkan penurunan prestasi  Matematik dan Sains mendadak sepanjang empat kali penilaian daripada tahun 1999.

Laporan TIMMS 2011 ini juga mendedahkan “trend” kejatuhan kedudukan Malaysia untuk subjek Matematik iaitu 16 (1999), 10 (2003), 20 (2007), dan 26 (2011) sementara subjek Sains pula ialah 22 (1999), 20 (2003), 21 (2007), dan 32 (2011). Begitu juga dengan “trend” kejatuhan markah purata bagi subjek Matematik iaitu 519 (1999), 508 (2003), 474(2007) ke 440 (2011); jatuh 79 mata sementara subjek Sains iaitu 492 (1999), 501 (2003), 471 (2007) ke 426 (2011); jatuh 66 mata dengan penilaian markah di bawah 500 dikira sebagai prestasi corot.

Walaupun begitu hairannya, Gred Purata Nasional (GPN) untuk peperiksaan PMR meningkat ketara untuk 5 tahun yang lalu iaitu 2.83 pada 2008, 2.78 pada 2009, 2.74 pada 2010 dan terbaru 2.71 pada 2011. Lebih spesifik, bilangan pelajar yang mendapat A di dalam Matematik meningkat dari 26.7 peratus pada 2010 kepada 28.9 peratus pada 2011 manakala untuk subjek Sains pula meningkat dari 18.5 peratus dari 2010 kepada 21.7 peratus pada 2011. Untuk peperiksaan SPM pula, pencapaian 2011 dikatakan pencapaian terbaik dalam masa 5 tahun dengan peningkatan GPN meningkat dari 5.19 pada 2010 kepada 5.04 pada 2011.

Apakah yang telah berlaku?

Analisis Awal

Kami melihat masalah teknikal seperti penguasaan gaya bahasa Inggeris dalam TIMSS, penyelarasan perbezaan masa untuk menjawab peperiksaan dan penyusunan soalan yang lebih rawak berbanding kertas peperiksaan Malaysia mempengaruhi pencapaian negara di peringkat global. Trend yang semakin corot ini jelas menunjukkan masalah yang lebih besar dari itu. Setelah melakukan penilaian dan perbandingan ringkas sampel-sampel soalan kami simpulkan beberapa perkara yang mungkin boleh menyebabkan perbezaan ini:

Pertama; sistem pengajaran dan pembelajaran di Malaysia berlandaskan sistem peperiksaan. Pengajaran disediakan untuk peperiksaan terutamanya PMR dan UPSR. Maka dengan mudahnya pelajar yang mendapat keputusan cemerlang diberi fokus lebih dan malangnya pemantauan keatas pelajar-pelajar corot secara sengaja atau tidak, dijadikan prioriti kedua.

Kedua; kaedah persampelan TIMSS dan PISA adalah secara rawak maka keputusannya akan mewakili kedua-dua pelajar cemerlang dan juga pelajar corot. Malaysia mempunyai jurang yang luas di antara pelajar paling cemerlang dan paling corot. Maka secara relatifnya ini menyebabkan keputusan Malaysia dalam TIMSS dan PISA corot berbanding keputusan hebat PMR dan UPSR.

Ketiga; soalan-soalan PMR dan UPSR tidak dinafikan telah diterapkan elemen-elemen penyelesaian masalah dengan kritis seperti KBKK, tetapi peratus soalan-soalan sedemikian hanya sedikit. Hal ini membenarkan pelajar-pelajar menggarap markah sepenuhnya melalui soalan-soalan awal yang hanya memerlukankan penghafalan fakta dan sebagainya. Sub-soalan KBKK yang lebih mendalam di penghujung soalan utama boleh diabaikan atau ditinggalkan tanpa menjejaskan markah keseluruhan pelajar ataupun menggagalkan pelajar.

Keempat; kebanyakan soalan PMR dan SPM kerap disusun dengan cara yang begitu “predictable” melalui penghafalan topik dan subtopik. Tusyen berbayar juga membantu murid menghafal ‘jawapan’ berdasarkan ‘ramalan soalan’. Murid yang dapat mengahafal set jawapan paling banyak akan memperoleh keputusan lebih cemerlang. Amalan pusat tusyen ini kemudian dibantu bengkel menjawab soalan berbayar yang kemudian juga berfungsi untuk membantu murid menghafal set-set jawapan yang telah ditentukan. Bezanya, pelajar kita tidak dilatih untuk menjawab soalan TIMSS dan PISA di mana aras soalannya berbentuk analisis dan sintesis, tetapi setakat PMR dan SPM yang arasnya hanyalah kefahaman dan aplikasi.

Kelima; standard soalan-soalan PMR dan SPM tidaklah begitu jauh ketinggalan berbanding soalan-soalan PISA dan TIMSS. Justeru itu sepatutnya jika pelajar kita corot di PISA dan TIMSS maka logiknya  tidak akan mendapat keputusan cemerlang di dalam PMR dan SPM. Jadi, adakah gred PMR dan SPM telah direndahkan untuk menunjukkan keputusan yang cemerlang?

Secara keseluruhannya, kami melihat pencapaian ini berkadar terus dengan usaha berterusan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membantu menaikkan prestasi murid-murid berkeperluan khas yang terdiri daripada murid kelas corot, anak miskin, anak yatim, minoroti dan orang asli.

Malangnya di dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), isu murid berkeperluan khas sebegini hanya disebut di dalam bab 3 iaitu prestasi semasa, kualiti pendidikan dan ekuiti dalam pendidikan tetapi tidak disentuh di dalam bab 8 iaitu pelaksanaan dan pelan tindakan. Kami percaya jika fokus utama pencapaian nasional dengan meletakkan peningkatan prestasi murid berkeperluan khas sebegini sebagai tanda aras, prestasi pencapaian nasional akan meningkat dengan seiring.

Lebih malang juga jika pendidikan terus berorientasikan peperiksaan, tidak dinamik serta tidak berteraskan perkembangan ilmu untuk menghasilkan pemikiran kritis.

*bersambung di bahagian kedua

Zul Fikri Zamir dan Anas Alam Faizli adalah dari Teach For The Needs (TFTN), sebuah gerakan aktivis pendidikan yang boleh dicapai di www.teachfortheneeds.org


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments