Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Manifesto Pakatan Rakyat sisih peneroka Felda

 | February 27, 2013

Hak dan kebajikan anak peneroka Felda iaitu generasi kedua Felda langsung tidak disentuh.

SHAH ALAM: Manifesto Pakatan Rakyat iaitu Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan di Shah Alam Convention Center, pada hari Isnin lalu gagal menawarkan harapan dan jalan penyelesaian kepada pelbagai masalah peneroka Felda.

Di bawah tonggak kesejahteraan rakyat – manifesto Pakatan Rakyat mengistiharkan keadilan untuk warga Felda dan berhak mendapat perkongsian hasil yang lebih tinggi dan adil.

Manifesto ini juga menyebut: Pakatan Rakyat akan mempertahankan wibawa, prestasi dan reputasi Felda demi menjamin kedudukan ekonomi dan pemilikan tanah warga peneroka.

Ini termasuk merombak semula pegangan di dalam Felda Global Ventures (FGV) dengan matlamat mengembalikan operasi dan pemilikan tanah Felda ke tangan peneroka dan kakitangan.

Pakatan Rakyat akan menyemak kembali semua tuntutan pampasan akibat dari manipulasi kadar perahan gred (KPG) dan membayar pampasan yang sewajarnya kepada warga Felda.

Begitulah intipati manifesto Pakatan Rakyat untuk warga peneroka Felda. Ibarat tidak ada lagi masalah yang membabitkan peneroka Felda. Sedangkan pada hakikatnya masalah yang membelenggu peneroka Felda menimbun-nimbun.

Generasi kedua Felda diabai Pakatan Rakyat

Hak dan kebajikan anak peneroka Felda, atau meminjam frasa tonggak manifesto Pakatan Rakyat iaitu ‘Kesejahteraan Rakyat’; untuk generasi kedua Felda langsung tidak disentuh.

Diakui memang sukar untuk memasukkan semua tawaran (semua tuntutan peneroka Felda) dalam kandungan anifesto ini, tetapi kenapa kepimpinan Pakatan Rakyat langsung tidak peka untuk memasukkan dasar-dasar yang kritikal yang akan dilaksanakan nanti untuk kesejahteraan peneroka Felda dan generasi kedua Felda?

Bukankah isu-isu berat yang melanda peneroka Felda dan generasi kedua Felda diketahui oleh hampir kesemua kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya pemimpin PAS dan PKR?

Bukankah PAS mempunyai lajnah tanah dan pembangunan wilayah serta sebuah NGO bernama  Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) yang memperjuangkan hak dan masalah peneroka Felda?

Bukankah PKR mempunyai biro Felda yang turut mengangkat masalah dan isu peneroka ke peringkat nasional?

Tapi agak pelik bagaimana ada beberapa perkara penting yang diperjuangkan oleh PAS, PKR dan Anak dan sentiasa dicanangkan dalam media dan program ceramah dengan janji bahawa Pakatan Rakyat akan melaksanakan dasar-dasar tersebut untuk peneroka Felda dan Generasi Kedua Felda sekiranya mengambil alih Putrajaya, tiba-tiba apabila manifesto Pakatan Rakyat diumumkan, semua perkara yang dianggap kritikal dan penting itu tidak ada dalam manifesto Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat gagal angkat lapan tawaran kritikal

Beberapa tuntutan yang amat kritikal dan penting yang sering diwar-warkan oleh PAS (melalui Anak) serta PKR (melalui Biro Felda) dalam media dan program ceramah di kawasan Felda tetapi gagal ditawarkan dalam manifesto Pakatan Rakyat adalah seperti berikut:

1.1.Perumahan untuk generasi kedua Felda

2.2.Memansuhkan Felda Plantations yang bercanggah dengan matlamat penubuhan Felda. Terdapat 367, 710 hektar tanah tersebut; sekiranya diagihkan, ia memberi manfaat kepada 79, 000 Generai Kedua Felda.

3.3.Menyerahkan caruman wang tanam semula (milik peneroka) kepada peneroka Felda yang mengusahakan sendiri ladang getah atau kelapa sawit tanpa sebarang syarat.

4.4.Meminda segera Akta Group Settlement Act 1960 (Akta GSA 1960) yang berat sebelah dan ketinggalan zaman.

5.5.Meminda semula segala perjanjian antara peneroka dengan Felda agar lebih adil dan memberi kebebasan penuh kepada peneroka Felda mengurus tanam semula secara persendirian.

6.6.Melaksanakan amalan pengurusan kewangan yang telus. Segala potongan, akaun tabung-tabung dan pinjaman yang dikenakan kepada peneroka mesti dibentang dengan sempurna. Kekeliruan potongan seperti baja, bayaran kembali, levi pengurusan, insuran ladang, faedah atas pinjaman dan lain-lain pemotongan mesti disemak segera. Bayaran yang tidak munasabah wajib dimansuhkan.

7.7.Kaji semula hutang tanam semula yang tinggi yang bebankan peneroka Felda

8.8.Penyata bulanan hasil peneroka dan hutang tanam semula semasa harus dikeluarkan dan diberikan kepada peneroka Felda.

Pakatan Rakyat tidak peduli pengundi Felda

Tidak keterlaluan jika dikatakan Pakatan Rakyat seolah-olah seperti tidak peduli dengan warga Felda jika manifesto Pakatan Rakyat dijadikan rujukan.

Tidak dinafikan manifesto Pakatan Rakyat yang mahu kembalikan operasi dan pemilikan tanah Felda ke tangan peneroka dan kakitangan serta menyemak semula KPG merupakan salah satu tuntutan kritikal peneroka Felda dan generasi kedua Felda.

Tetapi ianya cuma ibarat menyentuh dua jari daripada sepuluh jari ketika bersalam.

Untuk pengetahuan umum,  isu KPG ini hanya membabitkan peneroka Felda yang mengusahakan tanaman kelapa sawit sahaja. Bagaimana pula dengan peneroka Felda yang mengusahakan tanaman getah?

Apa yang pasti tawaran manifesto Pakatan Rakyat tidak akan banyak membantu calon Pakatan Rakyat untuk memenangi kerusi di kawasan Felda.

Walaupun banyak tawaran Pakatan Rakyat bersifat menyeluruh dan turut akan menguntungkan warga Felda jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat, tetapi sentimen isu-isu setempat atau masalah yang berkait rapat dengan kehidupan dan mata pencarian harian peneroka Felda yang gagal ditangani oleh Pakatan Rakyat dalam manifesto tetap akan memberi kesan kepada sokongan pengundi Felda kepada calon Pakatan Rakyat.

Diakui Pakatan Rakyat menawarkan pelbagai insentif kepada rakyat termasuk warga Felda tetapi gagal membela hak peneroka Felda yang dinafikan selama ini seperti mana lapan tawaran kritikal yang disebut di atas tadi.

Manifesto Pakatan Rakyat tidak peka isu kritikal peneroka Felda

Hakikatnya berbanding dengan masyarakat kampung, peneroka Felda jarang mengambil berat pada isu nasional kerana di dalam tanah rancangan Felda sendiri mereka mempunyai banyak masalah setempat yang memberi tekanan kepada mereka; contohnya bebanan hutang penanaman semula yang tinggi.

Perumahan untuk generasi kedua, pemansuhan Felda Plantations, menyerahkan caruman wang tanam semula kepada peneroka yang mengusahakan sendiri ladang getah dan kelapa sawit tanpa syarat, mengkaji semula hutang tanam semula dan meminda Akta GSA 1960 yang berat sebelah seharusnya dimasukkan dalam manisfesto Pakatan Rakyat.

Kecuali perumahan untuk generasi kedua, tujuh daripada lapan tuntutan tersebut tidak membabitkan perbelanjaan wang ringgit atau peruntukkan kerajaan. Sebaliknya hanya soal pengurusan dan dasar pelaksanaan. Malah dana wang tanam semula sebenarnya duit peneroka Felda sendiri  yang dipotong daripada hasil pengeluaran peneroka.

Maka apa masalahnya untuk Pakatan Rakyat melaksanakan dasar-dasar ini?

Kepimpinan atasan Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR seperti tidak peka dan tidak faham dengan permasalahan peneroka Felda dan generasi kedua Felda walaupun sebahagian besar kepimpinan PAS dan PKR pernah turun padang ke kawasan Felda sebelum ini untuk aktiviti parti dan program ceramah.

Mana janji 100 hari Pakatan Rakyat?

Menimbulkan tanda tanya, Pakatan Rakyat pernah melancarkan program ‘100 hari Pakatan Rakyat’pada tahun 2010 iaitu 10 perkara yang akan dilakukan reformasi oleh Pakatan Rakyat dalam masa 100 hari selepas Pakatan Rakyat mendapat mandat rakyat.

Salah satu daripada 10 perkara tersebut ialah: ‘Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada Generasi Kedua dan Ketiga Felda.

Walaubagaimanapun Manifesto Pakatan Rakyat tidak menbentangkan langsung program membatalkan Felda Plantation ini.

Mungkin PAS dan PKR merasakan undi peneroka Felda tidak akan menentukan kemaraan Pakatan Rakyat ke Putrajaya.

Lupakah Pakatan Rakyat bahawa satu per empat atau 56 daripada 222 kerusi parlimen berada dalam kawasan Felda?

Lupakah Pakatan Rakyat bahawa 96 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terletak di dalam kawasan Felda?

Sebahagian besar kerusi parlimen dan DUN ini, mempunyai 60 peratus ke 70 peratus pengundi peneroka Felda dan anak peneroka Felda.

Tahukah pemimpin Pakatan Rakyat bahawa jumlah peneroka Felda seluruh negara ialah 112, 635 orang. Itu tidak termasuk dengan Generasi Kedua Felda (anak peneroka Felda).

Seramai 112, 635 peneroka/pengundi didarabkan dengan empat. Iiaitu peneroka, isteri peneroka dan minimum dua orang anak peneroka yang layak mengundi. Maka ia membabitkan 450, 540 peneroka/isteri peneroka/anak peneroka/pengundi.

Apakah pemimpin Pakatan Rakyat tidak mahu sekurang-kurangnya separuh daripada 450, 540 undi ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti?


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments