Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Ceramah PAS-BN, tiga penyokong PAS tercedera

 | March 13, 2013

Insiden di Felcra Air Hitam, Jempol termasuk melemparkan telur tembelang telah mencetuskan ketegangan antara dua pihak tersebut sebelum dihentikan oleh pihak polis.

JEMPOL: Ceramah PAS dan Barisan Nasional (BN) malam kelmarin berakhir dengan insiden baling-membaling termasuklah melemparkan telur tembelang telah mencetuskan ketegangan antara dua pihak tersebut sebelum dihentikan oleh pihak polis.

Insiden di Felcra Air Hitam ini mengakibatkan tiga penyokong PAS cedera.

Ceramah anjuran PAS sepatutnya dihadiri oleh Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, namun kelibatnya tidak kelihatan.

Program ceramah yang bermula kira-kira jam 9 malam dengan jarak lokasi sekitar 50 meter di Felcra itu bagaimanapun hanya berlangsung lebih sejam  berikutan berlaku insiden baling-membaling kira-kira jam 10.15 malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad (BN) yang ketika itu sedang menyampaikan ceramah dilempar sebiji telur tembelang mengenai tangan kanannya selain turut terkena kepala  seorang lagi yang berada di sebelah Zainal.

Zainal berkata, insiden ini tidak sepatutnya berlaku kerana masing-masing boleh mengadakan ceramah atau himpunan dalam keadaan aman .
Beliau bersedia untuk disoal siasat oleh pihak polis berkaitan insiden tersebut.

`Saya tidak salah’

“Saya tidak salah dan tidak perlu takut dengan semua dakwaan pembangkang dan perkara ini tidak akan melemahkan semangat saya untuk terus memberi penerangan berkaitan BN  dan Umno kepada masyarakat di sini.

“Manakala mereka (penyokong Pakatan Rakyat) yang memulakan insiden membaling ini dan kita telah bagi nasihat kepada penyokong BN agar tidak bertindak luar kawalan, dan tiada seorang pun penyokong BN tercedera mahupun membuat laporan polis,” katanya.

Selain telur tembelang, penyokong kedua-dua parti juga membalas balingan dengan botol mineral dan lain-lain objek lain antara satu sama lain, akibatnya pihak polis terpaksa memanggil pasukan dari Unit Tindakan Ringan (LSF) untuk mententeramkan keadaan di lokasi tersebut.

Yang DiPertua PAS Jempol, Abdul Rahman Ramli menyifatkan tindakan BN yang mengadakan ceramah di lokasi berhampiran sebagai menganggu perjalanan ceramah anjuran PAS Jelebu itu.

Beliau berkata terdapat juga kata-kata yang dikeluarkan oleh pemimpin BN itu tidak sesuai diucapkan pada masyarakat selain melahirkan rasa kecewa dengan insiden baling membaling malam semalam.

“Penyokong BN membaling botol, mercun kepada peserta ceramah kita sehingga menimbulkan suasana tegang. Perbuatan ini ternyata tidak professional dan pemimpin beginikah yang harus dicontohi oleh rakyat Malaysia?.

“ Saya percaya mereka (penyokong BN) yang memulakan balingan ini dan menyebabkan ceramah yang sepatutnya berjalan dengan baik ini terpaksa dihentikan,”katanya.

Khuatir berpanjangan

Sementara itu, Ketua Cabang Parti PKR Jempol, Mohd Karip Mohd Salleh berkata, tidak sepatutnya huru-hara ini berlaku susulan kini menghampiri pilihan raya umum ke-13 yang dikhuatiri akan berpanjangan.

Timbalan Yang Dipertua PAS Jelebu, Nor Anif Selamat dalam laporan polisnya di Balai Polis Bandar Seri Jempol, menyatakan pihaknya  menggunakan bendera rentang untuk membuat sekatan dengan pihak keselamatan yang berada di antara ceramah PR dan Umno.

Katanya, pihak Umno telah memulakan kata-kata kesat dan membaling botol mineral, telur ayam, mercun dan pasir yang telah dibungkus dan penceramah Umno telah mengeluarkan kata-kata kesat selain ugutan bunuh terhadap Tian Chua.

Tambahnya,  tiga penyokong PAS telah tercedera seterusnya membuat laporan polis dan mendapatkan rawatan di Hospital Jempol.

Pakatan Rakyat mahu pihak keselamatan membuat siasatan terhadap insiden ini, tambahnya.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superitenden Hamzah Alias menasihatkan kedua-dua ceramah itu dihentikan serta merta dan penyokong PAS dan orang ramai bersurai untuk elak kekecohan berterusan.

Berikutan insiden baling membaling dalam ceramah anjuran dua parti ini , sebanyak empat laporan polis telah dibuat oleh parti pembangkang setakat semalam.

Hamzah berkata, kes itu akan disiasat dibawah sekyen 324 kanun keseksaan kerana melempar objek.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments