Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Rombakan besar calon Umno di Negeri Sembilan

 | March 15, 2013

Mohamad Hassan pula kekal mempertahankan DUN Rantau dan akan kembali semula sebagai ‘Orang Nombor satu’ sekiranya BN mengekalkan penguasaan.

Spekulasi Pilihan Raya

SEREMBAN: Teka teki siapakah calon pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) Umno yang akan diumumkan bertanding di Negeri Sembilan semakin kuat kedengaran di negeri yang terkenal dengan Adat Perpatih ini.

Sudah tentu teka teki yang bermain di bibir pemimpin setempat, penyokong Umno dan pemerhati politik ialah siapakah wakil rakyat  yang akan digugurkan dan siapa pula muka baru yang bernasib baik akan dipertaruhkan oleh pucuk pimpinan Umno.

Mengikut sumber-sumber yang rapat dengan Umno Negeri Sembilan, antara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang akan dikekalkan untuk PRU-13 ialah Datuk Ismail Lasim di Senaling, Datuk Yunus Rahmat (Kelawang), Datuk Shamsulkahar Mohd Deli (Serting ), Zaiful Bahri Idris (Chembong), Datuk Dr Awaludin Said (Kota) dan Adnan Abu Hasan (Pilah).

Ismail, Yunus dan Shamsul juga merupakan exco kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan pula kekal mempertahankan DUN Rantau dan akan kembali semula sebagai ‘Orang Nombor satu’ sekiranya Barisan Nasional mengekalkan penguasaan di Negeri Sembilan.

Ismail pindah ke Juasseh

Dikhabarkan Ismail pula besar kemungkinan akan dipindahkan  dari kerusi  Senaling ke Juasseh.

Adun yang dijangka digugurkan ialah Speaker DUN, Datuk Razak Mansor di Pertang,  Datuk Hasim Rusdi (Labu) ,  Datuk Mohammad Razi Kail (Juasseh),  Datuk Abdul Samad Ibrahim (Sri Menanti), Datuk Ismail Taib (Linggi), Datuk Zainab Nasir (Gemas), Mohd Kamil Abdul Aziz (Gemencheh), Datuk Zainal Abidin Ahmad (Sungai Lui) dan Datuk Aziz Shamsudin (Palong).

Hasim, Mohammad Razi, Abdul Samad, Ismail dan Zainab merupakan exco kerajaan kegeri ketika ini.Jika maklumat ini benar, maka rombakan besar juga bakal berlaku dalam barisan exco kerajaan negeri, sekiranya BN mengekalkan kuasa selepas PRU-13.

Turut dijangka digugurkan ialah Adun Lenggeng, Mustafa Salim yang baru sahaja dibebaskan oleh mahkamah atas tuduhan rasuah dan Adun Bagan Pinang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Tiga muka baru

Sekurang-kurangnya tiga muka baru hampir pasti akan mewarnai senarai calon Umno Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Umno bahagian Rasah, Senator Datuk Mohammed Najeeb Abdullah dijangka diturunkan di DUN Labu menggantikan Hasim.

Ketua Puteri Umno bahagian Seremban dan Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan, Wan Salwati Abdullah pula bakal mencabar calon PKR di Ampangan.

Ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail pula bakal bertanding di DUN Sikamat yang kini di bawah ADUN PKR, Aminuddin Harun.

Walaubagaimanapun Ishak bukanlah orang yang asing di kalangan Umno Negeri Sembilan.Beliau pernah menjadi AdunLenggeng selama tiga penggal iaitu bermula pada tahun 1995, 1999  dan 2004 .

Hubungan rapat dengan Najib

Sumber berkata Ishak dan Najeeb mempunyai hubungan yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Maka atas pengaruh Najib sebagai pemutus keputusan terakhir (final decision maker), tidak mustahil Najeeb dan Ishak akan dipertaruhkan di Labu dan Sikamat.

Ishak dilihat sudah mula turun padang di Sikamat menjalankan aktiviti parti dan kemasyarakatan sejak dua tahun lepas.Walaubagaimanapun apa yang menjadi tanda tanya di kalangan pemerhati politik Negeri Sembilan, kenapa Ishak tidak mahu bertanding di Lenggeng yang dianggap kubu kuat beliau.

Apatah lagi Lenggeng pernah di dalam genggaman beliau selama tiga penggal berturut-turut sejak 1995 hingga 2008.Apakah sokongan beliau di Lenggeng sudah merosot maka beliau mencari kerusi baru di Sikamat?

Walaubagaimanapun sebagai Ketua bahagian Umno Seremban, beliau mempunyai hak untuk bertanding dimana-mana kerusi yang beliau fikirkan wajar di dalam parlimen Seremban.

Kerusi Melayu

Untuk rekod Seremban mempunyai enam kerusi DUN – Lenggeng, Sikamat dan Ampangan merupakan kerusi majoriti Melayu.Lenggeng mempunyai  76.82 peratus pengundi Melayu,  Sikamat 62.78 peratus dan Ampangan 62.37 peratus.

Manakala, Lobak dan Temiang majoriti pengundi Cina manakala Nilai pula pengundi bercampur.

Situasi di Sikamat agak menarik kerana dijangka akan berlaku pertembungan antara dua kem Umno.

Ini ialah kerana Naib Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat Barisan Nasional (PKMBN) Sikamat, Taslim Khan Kutob Din juga disebut-sebut sebagai calon popular di Sikamat.

PKMBN diwujudkan oleh BN Negeri Sembilan di semua 15 DUN yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat selepas PRU-12 pada tahun 2008.

Peranan PKMBN ini sama seperti Pusat Khidmat Masyarakat Adun, jadi atas kapasiti Naib Pengerusi PKMBN ini, Taslim Khan juga agak dikenali di kalangan penduduk Sikamat terutama dalam isu setempat. Taslim Khan dikatakan ‘orang Menteri Besar’.

Mereka yang masak dengan politik Negeri Sembilan, umumnya mengetahui hubungan Mohamad dan Ishak agak dingin sejak 2008 lagi.

Jika Wan Salwati sah bertanding di Ampangan maka bekas Adun Ampangan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Seremban, Datuk Zakaria Nordin boleh mengigit jari kerana dikatakan Zakaria juga bercita-cita untuk melakukan ‘comeback’ di Ampangan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments