Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

SPNB jual rumah kepada syarikat lain

March 15, 2013

Panca Astaka menjual unit yang jauh lebih tinggi iaitu RM138,000 seunit berbanding harga SPNB iaitu RM75,000 hingga RM95,000 seunit.

PETALING JAYA: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) didakwa melanggar perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan dengan menjual hampir 70 peratus dari kira-kira 1, 000 unit rumah yang dibinanya kepada sebuah syarikat lain.

Berikutan syarikat berkenaan – Panca Astaka -  menjual unit yang jauh lebih tinggi iaitu RM138,000 seunit berbanding harga SPNB iaitu RM75,000 hingga RM95,000 seunit.

Exco kanan kerajaan Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa kerajaan negeri tidak mengetahui perjanjian yang dibuat oleh kedua-dua pihak.

Ini menjadikan projek perumahan projek Perumahan Taman Merbau Utama Kok Lanas – Selising  menjadi kontroversi.

Bagi Husam, SPNB yang memperolehi peruntukan kewangan dari Kementerian Kewangan sepatutnya menjual rumah-rumah itu secara langsung.

“Penjualan rumah-rumah ini adalah penyelewengan kerana apabila membabitkan pihak ketiga, sudah tentu akan berlaku pengambilan untung dan kenaikan harga,” katanya.

Kerajaan Kelantan meluluskan dua fasa projek pembinaan rumah kos sederhana sebanyak 1003 unit bagi membantu rakyat khususnya di kawasan Ketereh memiliki rumah.

Katanya, fasa pertama membabitkan 300 unit manakala fasa kedua pula  703 unit.

Namun, kata Husam SPNB telah menjual hampir 70 peratus lot-lot rumah itu secara pukal kepada syarikat Panca Astaka yang ditubuhkan pada tahun 2010.

Untung berlipat kali

“Syarikat Panca Astaka telah membuat pembelian  pada 1 Disember 2010 dengan terma yang begitu mudah iaitu pembayaran deposit sebanyak RM300  seunit.

“Manakala, bakinya dibayar mengikut perkembangan  pembinaan. Pihak Panca Astaka juga mempunyai hak untuk menjual semula kepada pembeli lain,” kata Husam lagi.

“Tetapi ia melanggar tujuan asal untuk menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat berpendapatan sederhana.”

Menurutnya, syarikat Panca Astaka telah membuat iklan untuk menjual rumah-rumah tersebut dengan harga yang jauh lebih tinggi iaitu RM 138,000 seunit.

Ini bermakna mereka telah memperolehi keuntungan berlipat kali ganda dengan menganiayai rakyat berpendapatan rendah, katanya.

Beliau  berharap SPNB dapat memberikan penjelasan mengenai isu tersebut agar langkah sewajarnya dapat diambil.

Usaha untuk mendapatkan penjelasan dari SPNB mengenai perkara itu sedang dilakukan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments