Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Senarai calon PRU13 BN Perak muktamad

March 29, 2013

Bagaimanapun keputusan akhir senarai calon tetap akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN.

IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak telah memuktamadkan senarai calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, kata Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Bagaimanapun, kata Pengerusi BN negeri itu, keputusan akhir senarai calon tetap akan diputuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku pengerusi BN.

“Calon negeri Perak akan mempunyai kombinasi (muka baharu dan lama). Akan ada perubahan kerana sering kali kita sebut untuk kemuka calon yang terbaik.

“Kami juga menghormati ada calon yang telah menjadi wakil rakyat dan  berkhidmat dengan baik dan mereka boleh dikekalkan,” katanya kepada pemberita
pada majlis minum pagi bersama ketua biro organisasi media di Perak di sini hari ini.

Zambry berkata calon yang disenaraikan ialah calon tempatan dan telah melalui proses tapisan yang merangkumi pelbagai aspek.

Faktor populariti

“Mungkin ada dalam kalangan mereka dikekalkan dan ada yang digugurkan bukan sahaja disebabkan faktor tapisan tetapi juga termasuk faktor populariti,” katanya.

Beliau menjelaskan calon yang akan bertanding di kawasan dewan undangan negeri (DUN) tidak perlu popular di peringkat negeri atau nasional sebaliknya mereka perlu popular dan disenangi di kawasan DUN yang akan ditandingi.

Mengenai kemungkinan terdapat pihak yang tidak berpuashati apabila tidak dicalonkan, Zambry berkata: “Ini manusia, biasalah… adakalanya dia rasa masih perlu (jadi calon) tapi parti berpandangan perlu ada pertukaran.

Kami adakan perbincangan dengan baik maka dengan ini ia dapat diselesaikan”.

Katanya semua pihak yang terlibat telah dijelaskan bahawa apa yang paling penting ketika ini ialah untuk memastikan kemenangan BN.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya perpecahan dalam parti berikutan calon tertentu tidak terpilih untuk bertanding, Zambry tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh berlaku.

Agihan kerusi

“Saya mahu bercakap secara praktikal. Saya tidak mahu menyatakan bahawa tidak ada orang sokong sana, orang sokong sini. Apa yang penting ialah tanggungjawab kita menyelesaikan perkara ini.

“Kita perlu tahu akhirnya suka atau tidak, calon hanya ada seorang. Tak mungkin ada dua calon daripada parti yang sama,” katanya.

Zambry berkata sebagai anggota parti, mereka perlu akur dengan keputusan yang dibuat oleh parti berhubung pemilihan calon.

Mengenai pembahagian kerusi antara parti komponen BN, beliau berkata ia dibuat berdasarkan formula untuk memenangkan BN.

“Mungkin ada perubahan untuk kami pastikan kerusi yang ditandingi capai kemenangan,” katanya sambil menjelaskan agihan kerusi hanya akan diumumkan selepas mendapat persetujuan Najib.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments