Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

PAS kecil hati dengan Azmin

 | April 5, 2013

Azmin tidak berbincang dengan Majlis Pakatan Rakyat WP mengenai kerusi Setiawangsa dan Labuan terlebih dahulu.

KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (WP) kesal dengan tindakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali mengumumkan peletakan calon di parlimen Setiawangsa dan Labuan tanpa persetujuan PAS dan Pakatan Rakyat.

Pesuruhjaya PAS WP Mohamad Noor Mohamad berkata, Azmin tidak berbincang dengan Majlis Pakatan Rakyat WP mengenai kerusi Setiawangsa dan Labuan terlebih dahulu.

Malah sehingga kini kerusi Parlimen Setiawangsa masih dalam perbincangan dan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat masih belum membuat keputusan muktamad berhubung kerusi tersebut.

“PAS WP merasa kesal dengan pengumuman Azmin Ali dalam media semalam bahawa PKR akan bertanding di tiga kawasan iaitu di Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan.

“PAS WP merasakan kenyataan Azmin tidak mencerminkan semangat setiakawan dan perpaduan antara Pakatan Rakyat khususnya peringkat Wilayah Persekutuan,” katanya dalam sidang media di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa di sini hari ini.

Bantahan akar umbi PKR

Azmin semalam mengumumkan PKR akan bertanding di kerusi Parlimen Bera, Setiawangsa dan Labuan iaitu kerusi yang ditandingi PAS pada pilihan raya umum 2008.

Pertukaran kerusi dibuat berikutan timbulnya bantahan akar umbi PKR apabila PAS mendahului dengan menamakan calon mereka bertanding di Parlimen Temerloh dan Kangar.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata pihaknya masih terkilan dengan peristiwa pilihan raya umum lalu (PRU12) apabila ada pihak dalam Pakatan Rakyat yang menaja calon Bebas bertanding di Labuan.

Keadaan itu menyebabkan perpecahan undi dan membawa kelebihan kepada pihak Barisan Nasional (BN) sehingga PAS kalah teruk sebanyak 7, 901 undi.

“Sekiranya Pakatan nak kalahkan BN mesti bertanding satu lawan satu, tak boleh tiga penjuru.

“Selepas ini jangan ada parti yang menaja lagi calon Bebas. Kalau macam ni peluang lebih tipis kerana undi akan berkurangan sebab ada pertandingan tiga penjuru,” katanya.

Mengenai isu kerusi Parlimen Setiawangsa pula, beliau berkata pihaknya akan menunggu keputusan daripada pimpinan tertinggi dalam Mesyuarat PAS Pusat yang akan diadakan pada 9 April nanti.

Pakatan Rakyat peringkat WP pada Ogos 2011 telah membuat keputusan mengenai isu pembahagian kerusi.

Seperti yang dipersetujui, PKR mendapat empat kerusi (Wangsa Maju, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak dan Batu), DAP pula lima kerusi (Cheras, Kepong, Segambut, Seputeh dan Bukit Bintang).

Manakala PAS mendapat tiga kerusi iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan, sementara Setiawangsa masih dalam perbincangan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments