Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Pencalonan Najib dalam PRU13 ditolak?

 | April 15, 2013

Berikutan perbezaan nama yang digunakan oleh Presiden Umno itu termasuk ketika mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009.

PETALING JAYA: Pencalonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mempertahankan Pekan akan ditolak jika menggunakan nama selain Najib Tun Hj. Abdul Razak dalam pilihan raya umum ke 13 ini.

Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim berkata,  Najib tidak lagi boleh mengisi borang pencalonan selain menggunakan nama tersebut.

“Keengganan Najib untuk mengistiharkan fakta material ini kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dihari penamaan calon kelak, boleh disifatkan sebagai perbuatan untuk memperdayakan SPR.

Afidavit tersebut telah diterima sebagai betul dan benar dalam semua pernyataan,termasuk mengenai nama Perdana Menteri seperti terdapat dalam kad pengenalan yang diwajibkan oleh undang-undang.

Malahan Hakim Mahkamah Tinggi terlibat telah membuat keputusan yang memihak kepada Najib, apabila membenarkan permohonan beliau supaya sapina yang dikeluarkan terhadapnya diketepikan, bersandarkan affidavit berkenaan,” katanya dalam surat terbuka kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Mohd Yusof hari ini..

Mat Zain meramalkan, sepertimana dalam PRU-PRU yang lalu, Najib dijangka memberikan nama penuh beliau sebagai Mohd.Najib bin Tun Hj.Abdul Razak, dalam borang pencalonan nanti.

Bagaimanapun, menurutnya, semasa mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-6 pada 3.April 2009 di hadapan YDP Agong pula,beliau juga telah melafazkan dan bersumpah dengan nama Allah, bahawa nama beliau ialah Muhammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak.

Begitu juga dengan nama yang tercatit dalam rekod-rekod dan dokumen rasmi kerajaan.

“Ringkasnya, nama PM ketika mengangkat sumpah jawatan,nama dalam daftar pemilih dan nama dalam dokumen-dokumen rasmi kerajaan, adalah berlainan dengan nama yang beliau ikrarkan dalam affidavit-affidavit berkaitan,” katanya dalam surat terbuka hari ini.

Mat Zain menambah, seperti bakal-bakal calon lain, adalah menjadi kewajiban Najib untuk mengistiharkan semua perkara dengan jujur dan betul serta memenuhi semua peraturan yang telah ditetapkan, ketika mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam PRU ini.

`Perbezaan nama’

“Isu berkaitan perbezaan nama ini tidak boleh dipandang remeh.Nama penuh seperti tercatit dalam kad pengenalan adalah wajib diberi bukan untuk pengecaman identiti deponen sahaja, tetapi ianya adalah keperluan undang-undang.Malah ejaan nama dalam kad pengenalan itu juga hendaklah diikuti dengan betul.

“Seorang wanita Sharma Kumari Shukla pernah dijatuhkan hukuman penjara enam tahun setelah didapati bersalah membuat dua  afidavit palsu berkaitan dengan nama penuh beliau.

“Najib tidak boleh mengatakan beliau tidak dinasihatkan berkaitan peraturan ini, memandangkan salah seorang peguam beliau yang menyediakan affidavit-affidavit tersebut, adalah merupakan bekas Timbalan Pendakwa Raya yang mengendalikan kes Sharma Kumari Shukla dalam tahun 2000,” tambah beliau lagi.

Katanya, sengaja menyembunyikan sesuatu fakta yang material adalah merupakan suatu perdayaan seperti yang dimaksudkan dalam tafsiran “menipu” di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

Perbezaan di antara nama Najib ketika mengangkat sumpah jawatan di hadapan YDP Agong,dokumen rasmi kerajaan dan daftar pemilih dengan nama yang diikrarkan dalam afidavit-afidavit oleh Najib sendiri adalah fakta yang sangat mustahak.

Pada 19 November .2011 pihak SPR secara tiba-tiba mengumumkan bahawa mulai tarikh tersebut, tempoh bantahan dihari penamaan calon dibatalkan.

Tanggung jawab untuk menyemak dan membuat keputusan berkaitan kelayakkan calon adalah terletak diatas SPR.

Sekiranya terdapat mana-mana parti politik yang ingin membuat bantahan terhadap kelayakkan sesaorang calon, mereka hendaklah membuatnya menerusi mahkamah dan bukan kepada SPR di hari penamaan calon.

Menurut Mat Zain, rakyat biasa telah dinafikan peluang dan hak mereka untuk meneliti borang penamaan calon-calon yang akan bertanding dikawasan mereka sendiri, berbeza dengan keadaan di masa lampau.

Kurang 10 hari

Perlu dinyatakan di sini bahawa pengumuman yang dibuat oleh SPR ini, dilakukan lebih kurang 10 hari selepas maklumat bertulis isu perbezaan nama Najib itu, disampaikan kepada Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri pada 8.November .2011.

Kita sedikit pun tidak mengharapkan SPR untuk mengakui tindakan mereka membatalkan tempoh bantahan calon sebagai tindakan pre-emptive untuk menyelamatkan Najib.

“Namun SPR tidak boleh menafikan fakta, bahawa pengumumam mereka itu dibuat, lebih kurang 10 hari selepas kecelaruan nama Najib dan kesannya terhadap pencalonan beliau di hari penamaan calon didedahkan,” tambah beliau.

Dalam keadaan biasa,SPR sememangnya mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak borang penamaan calon yang dikemukakan kepadanya pada hari yang telah ditetapkan.

Bagaimanapun SPR tidak mempunyai hak atau kuasa untuk mengenepikan atau membatalkan atau menyemak semula sebarang keputusan mahkamah yang telah dibuat, jika berkaitan dengan sesaorang calon itu.

Misalnya,dalam hal perbezaan nama Najib yang terdapat dalam afidavit-afidavit yang telah difailkan di-mahkamah dengan nama beliau yang didaftarkan dalam daftar pemilih, SPR tidak mempunai kuasa untuk memutuskan bahawa nama Najib dalam daftar pemilih itu, adalah yang lebih betul dan tepat daripada nama yang beliau ikrarkan dalam afidavit ataupun sebaliknya.

Mat zain berkata, sekiranya SPR berkeras untuk menerima juga pencalonan Najib berdasarkan nama beliau dalam daftar pemilih, maka bukan sahaja SPR mengenepikan keputusan dan menghina mahkamah, malahan sekaligus SPR boleh disifatkan telah mengesahkan bahawa Najib telah membuat affidavit palsu.

Katanya, SPR wajar mengambil perhatian bahawa kesannya bukan sahaja terhadap Najib seorang, bahkan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor juga, yang mengikrarkan affidavit pada 21.09.2011 dalam perbicaraan kes sama.

`Perubahan status’

“Sebarang perubahan status kepada afidavit yang diikrarkan oleh Najib itu pula, akan memberi kesan kepada sesuatu keputusan yang telah dibuat oleh mahkamah bersandarkan afidavit tersebut.

“Sebaliknya, jika SPR mengesahkan nama Najib dalam afidavit beliau itu yang betul, maka dengan sendirinya SPR memperakukan bahawa Najib telah memberikan nama yang salah dalam daftar pemilih serta berbohong mengenai namanya, ketika mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Malaysia.

“Jika Jabatan Pendaftaran Negara pula dibawa masuk untuk mengeluarkan sijil bahawa Najib atau Mohd.Najib adalah orang yang sama, ianya juga tidak terpakai dalam perkara ini.

“Isu di sini ialah nama seperti tercatit dalam kad pengenalan dan bukan sama ada Najib atau Mohd.Najib orang yang sama atau tidak,” katanya.

Mat Zain menambah, jika SPR menganggap pemansuhan tempoh bantahan penamaan calon boleh menyelesaikan kemelut nama Najib ini,maka mereka telah membuat perhitungan yang silap.

Malahan pembatalan tempoh bantahan itu boleh dianggap sebagai usaha SPR menyekat kebebasan rakyat bersuara dalam membuat pemilihan wakil rakyat mereka yang benar-benar layak dan berwibawa.

Membuat saringan borang penamaan calon secara tertutup oleh SPR, menimbulkan syak wasangka bahawa mereka boleh berpakat dengan calon yang mereka sukai, jika terdapat kesilapan material dalam pengisian borang pencalonan tersebut,  seperti yang dijangka berlaku kepada borang pencalonan Najib.

Borang pencalonan Najib boleh ditolak disebabkan representasi salah sekiranya beliau gagal mengistiharkan kecelaruan fakta material tersebut.

Menurutnya, dalam menangani isu ini,cabaran bagi Najib dan SPR ialah sama ada mereka bersedia untuk mematuhi perlembagaan dan peraturan undang-undang seperti yang mereka sendiri sering laungkan.

Sekiranya SPR menerima juga pencalonan Najib tanpa beliau sendiri membuat pembetulan secara terbuka sama ada kepada afidavit atau pun kepada daftar pemilih dan sumpah jawatan, maka SPR boleh dikatakan telah membuat keputusan secara arbitrarily  dengan membelakangkan peraturan undang-undang untuk melindungi dan menyelamatkan Najib, daripada disingkirkan sebagai calon dalam PRU ke-13 ini.

Jika di peringkat penamaan calon lagi manipulasi dan penipuan jelas kelihatan, maka rakyat boleh menjangka, bahawa PRU kali ini akan dicemari dengan perbuatan serupa dengan lebih berleluasa lagi, menjadikan PRU kali ini sebagai yang terburuk dan terkotor dalam sejarah negara.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments