Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mampukah Pendang selamatkan karier politik Mat Sabu?

April 20, 2013

Timbalan Presiden PAS itu berdepan bekas anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul akan ditentukan oleh lebih 63,000 pengundi pada 5 Mei ini.

PENDANG: Mampukah Pendang, antara kubu kuat PAS di Kedah, ‘menyelamatkan’ karier politik Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang kalah dalam dua dalam pilihan raya (PRU) umum lepas.

Keputusan Timbalan Presiden PAS itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu bertanding di Pendang dalam PRU13 berhadapan bekas anggota Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul akan ditentukan oleh lebih 63,000 pengundi pada 5 Mei ini.

Mat Sabu kalah di Parlimen Kuala Terengganu kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail pada 2008 dan sebelum itu pada 2004 beliau kalah di Kuala Kedah.

Othman, 62, berkata faktor Pendang dikuasai PAS sejak 2004 tidak memberi kelebihan kepada parti itu dan pertandingan satu lawan satu di kawasan berkenaan menguntungkan BN atas banyak sebab termasuk memiliki jentera pilihan raya yang mantap.

“Undi kami tidak pecah dan saya yakin pengundi masyarakat Siam berjumlah hampir 4,000 akan bersama BN. Secara tidak langsung kami akan lebih fokus menjalankan tidak kurang 10 ceramah setiap malam.

`Anak tempatan’

“Isu saya dan dua lagi calon BN untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) anak tempatan turut memberi kelebihan kepada BN manakala wakil rakyat dari PAS tidak langsung membawa pembangunan di Pendang dan Tokai,” kata bekas anggota Parlimen Pendang dari 1983 hingga 2004 itu.

Beliau ditemui selepas pengumuman nama-nama calon bagi kerusi Parlimen dan DUN oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Pendang Mohd Nordin Yahya hari ini.

“Masa jadi anggota Parlimen dulu mudah projek pembangunan dibawa ke Pendang. Sekarang masyarakat di sini amat memerlukan wakil rakyat yang boleh berhubung terus dengan kerajaan pusat untuk bawa perubahan yang diidamkan,” kata Othman.

Sementara itu, kerusi DUN Tokai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara penyandang dari PAS, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul, Najmudin Darus (BN) dan seorang calon Bebas, Abu Bakar Abdullah.

DUN Sungai Tiang pula menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan penyandang dari BN Datuk Suraya Yaacob, Fadhil Baharom (PAS), Chearean Isem (Kita) dan calon Bebas, Rosli Omar.

Masyarakat Siam

Sementara itu Suraya berkata masyarakat Siam amat taat dan tidak akan memberikan undi selain kepada BN.

“Undi mereka sebanyak 85 peratus konsisten sejak 2008 namun saya yakin jumlahnya boleh bertambah setelah kerajaan persekutuan mengiktiraf masyarakat Siam sebagai Bumiputra walaupun mereka kumpulan etnik yang kecil,” katanya.

Najmudin, 50, berkata Mohamed Taulan (PAS) tidak memberi perhatian untuk membangunkan Tokai dan memikirkan masa depan generasi kedua.

Katanya Tokai seharusnya ‘dilayan’ sebagai kawasan pinggir bandar yang hampir dengan bandar raya Alor Setar kerana taraf hidup di sini sama seperti di kedua-dua bandar itu.

“Harga rumah di sini sama seperti di Alor Setar dan Sungai Petani. Ramai orang kaum Cina dari luar datang dan menetap di Tokai yang seharusnya menjadi faktor kuat Tokai dibangunkan sejak dua tiga tahun lepas. Saya akan berusaha memecahkan tradisi ini,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments