Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Timb. Ketua Pengarah Kastam mati ditembak

April 26, 2013

Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi tadi.

UPDATED

PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri) mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Datuk Shaharuddin Ibrahim, 58, yang tinggal di Dengkil, Selangor, disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada pukul 9.20 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada pukul 8.15 pagi.

“Tembakan itu mengenai bahagian leher ke atas dan Shaharuddin dikejarkan ke Hospital Putrajaya oleh pemandunya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kejadian.

Ku berkata siasatan polis mendapati Shaharuddin ditembak menggunakan pistol automatik.

Polis akan meneliti kesemua bahan bukti termasuk kamera litar tertutup di kawasan itu, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.
Pembunuhan Shaharuddin Ibrahim mungkin mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai pegawai kanan kastam.

Anak saudara Allahyarham, Roslan Ibrahim, 51, percaya Shaharuddin mungkin mempunyai banyak musuh disebabkan tugasannya dalam jabatan kastam.

“Saya dan Shaharuddin kerap bertemu dan minum bersama dan saya percaya kejadian itu mempunyai kaitan dengan kerjanya,” katanya kepada pemberita ketika menemani isteri dan keluarga Allahyarham Shaharuddin di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini.

Kesemua anggota keluarga Shaharuddin hadir di hospital itu untuk menunggu proses bedah siasat.

Timbalan ketua pengarah kastam itu ditembak dua lelaki bermotosikal semasa dalam perjalanan ke pejabatnya, ketika kereta yang dinaikinya berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi.

Roslan berkata kali terakhir beliau bertemu Allahyarham ialah pada Ahad lepas dan mereka berbual sambil minum bersama.

“Allahyarham mempunyai lima orang anak. Dia seorang yang peramah dan tidak sombong serta mempunyai hobi bermain golf. Dia selalu main golf di Seremban,”katanya.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments