Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Kawalan pintu sempadan diperketat

May 21, 2013

Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang panjang dan terdedah kepada pencerobohan pihak asing.

DUN Sarawak

Oleh Doris Apai

KUCHING:Kerajaan perlu mengambil iktibar untuk meningkatkan tahap keselamatan kawasan-kawasan strategik seperti pintu masuk sempadan, zon eksklusif ekonomi (ZEE) dan pusat pentadbiran.

Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin berkata, Malaysia mempunyai kawasan sempadan yang panjang dan terdedah kepada pencerobohan pihak asing, keadaan itu menjadi satu cabaran yang besar kepada keselamatan negara.

Menurutnya, baru-baru ini sempadan negara di bahagian Timur Laut Sabah iaitu di Lahad Datu telah diceroboh oleh kumpulan pengganas bersenjata.

“Pasukan keselamatan negara telah dikerah untuk mempertahankan tanah air daripada kumpulan pengganas bersenjata, tahniah saya

ucapkan kepada pasukan keselamatan kerana telah berjaya mempertahankan kedaulatan negara daripada pencerobohan oleh pengganas di Lahad Datu, Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan persidangan penggal ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-17.

Katanya, anggota keselamatan juga turut berdepan dengan bahaya bahkan sanggup mengorbankan nyawa dalam mempertahankan negara.

“Saya dengan rasa dukacitanya mengucapkan takziah kepada keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa bertugas, pihak kerajaan dan rakyat Malaysia amat menghargai pengorbanan wira-wira negara,” ujarnya.

Beliau menyatakan gejala jenayah seperti pecah rumah, ragut, rompak, bunuh, vandalisme dan gangsterisme perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak berwajib.

“Ini penting untuk menjamin ketenteraman awam dan memastikan kejayaan kerajaan untuk menarik pelabur asing dan para pelancong ke negeri ini.

Oleh itu, saya menyeru supaya pihak berwajib dan masyarakat bersama-sama membendung gejala jenayah di negeri ini,” katanya.

Pembangunan insaniah

Menurutnya lagi, pembangunan ekonomi hendaklah seimbang dengan pembangunan insaniah demi menjamin kesejahteraan hidup rakyat.

“Dalam keghairahan kita mengejar kemajuan, usaha juga perlu ditingkatkan untuk menerapkan nilai-nilai murni di kalangan masyarakat.

Ini penting kerana kesedaran masyarakat mampu mengawal masalah sosial seperti pembuangan bayi, perceraian dan salah guna dadah.

“Oleh yang demikian, saya menyeru supaya gejala sosial ini ditangani dengan bijaksana melalui pendekatan-pendekatan yang praktikal dan berkesan,” katanya.

Katanya, institusi kekeluargaan adalah asas kepada kestabilan dan kesejahteraan sosial serta pembentukan masyarakat penyayang.

“Saya gembira tumpuan khusus diberikan terhadap golongan wanita dan perkembangan awal kanak-kanak, ini adalah penting bagi menentukan hala tuju institusi kekeluargaan selaras dengan keperluan semasa.

“Oleh itu, saya menyeru pihak yang berwajib mengadakan lebih banyak program yang sesuai untuk memantapkan institusi kekeluargaan,” jelasnya.

Katanya, golongan belia juga perlu diberi perhatian kerana mereka adalah pewaris bangsa dan menasihatkan supaya lebih banyak lagi.

program yang mesra belia seperti sukan, hiburan, akademik dan keagamaan dapat dianjurkan untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan belia.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments