Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Nik Aziz dakwa ada unsur kepincangan dalam SPR

June 2, 2013

Kawalan SPR oleh Parlimen sepatutnya telah lama berlaku bagi mengelak sebarang penipuan yang mungkin berlaku sepanjang pilihan raya berlangsung.

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa ada kepincangan yang berlaku dalam pentadbiran Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga memaksa badan itu dikawal selia oleh Parlimen.

Nik Aziz berkata kawalan SPR oleh Parlimen sepatutnya telah lama berlaku iaitu kira-kira 55 tahun lepas bagi mengelak sebarang penipuan yang mungkin berlaku sepanjang pilihan raya berlangsung.

“Saya nak kalau boleh SPR awal-awal diletak di bawah Parlimen. Kenapa perlu diletak di bawah pejabat Perdana Menteri sejak lebih 50 tahun lepas?” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu Jawatankuasa Khas Parlimen yang bebas dan dwipartisan, yang turut dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Ketika mengumumkan mengenai perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata keputusan itu diambil bagi memperkukuh kewibawaan dan kredibiliti badan pelaksana pilihan raya negara, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranan badan itu melaksanakan proses pilihan raya.

Perdana menteri turut menegaskan SPR bukan sebuah agensi mahupun jabatan kerajaan, namun ia adalah sebuah mekanisme yang ditubuhkan berasaskan peruntukan undang-undang tertinggi negara, iaitu Perlembagaan Persekutuan yang mana anggota Parlimen mendapat perlindungan jawatan yang sama dengan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun, Najib berkata kerana kepentingan individu dan kelompok tertentu, sanggup melemparkan pelbagai tuduhan liar bagi menimbulkan persepsi kurang senang dalam kalangan masyarakat terhadap SPR.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz pula bersetuju dengan langkah kerajaan mewujudkan sebuah badan bebas bagi melaksanakan pilihan raya yang lebih telus dan bersih.

“Saya setuju sangat. Ini satu usaha yang saya fikir kita tuntut selama ini kerana SPR seharusnya jadi badan bebas.

“Saya harap pembentukan jawatankuasa ini akan dapat merumuskan sesuatu yang lebih baik untuk masa depan politik Malaysia dengan menjadikan badan itu sebagai orang tengah antara parti yang memerintah dan parti pembangkang,” katanya.

– Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments