Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Perjalanan roh dan jasad Nabi

 | June 6, 2013

Israk & Mikraj: Kisah perjalanan Rasulullah saw dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa lalu dibawa sampai ke Sidratul Muntaha untuk dipertontonkan tanda kebesaran Allah.

Peristiwa Isra’ Mikraj

“Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami telah berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.  Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, Maha Melihat.”

Firman Allah dalam ayat 1 Surah Al-Isra’ yang bermaksud di atas mengisahkan perjalanan Rasulullah saw dengan apa yang lebih dikenali sebagai Peristiwa Isra’ Mikraj kerana peristiwa yang sungguh menakjubkan itu berlaku dalam tempoh satu malam sahaja.

Peristiwa yang berlaku pada sekitar tahun 620 Masehi itu dirakamkan sebegitu indah sebagaimana tercatat dalam kitab terjemahan dan tafsir Al Quran “Syaamil Al-Quran Miracle The Reference” terbitan Sygma Publishing, Bandung, Indonesia.

Allah memperjalankan Nabi Muhammad saw, yang dipilih sebagai Rasul pada akhir zaman, dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Kemudian Allah membimbingnya untuk menuju Sidratul Muntaha, suatu tempat yang tidak dapat dituju dan ditembusi oleh sebarang makhluk kecuali hamba-hamba pilihan Allah.

Di tempat itu, Rasulullah saw mendapatkan banyak maklumat tentang umat-umat yang terdahulu. Pada peristiwa itu juga, Rasulullah saw menerima perintah cara beribadah solat bagi dirinya dan bagi umatnya.

Rasulullah saw adalah seorang pemimpin yang sememangnya dipilih oleh Allah sebagai utusanNya. Keperibadian yang luar biasa; sabar, tabah dan gigih dalam meniti keridhaanNya semata-mata.

Menurut tafsir At-Tabari, Mahasuci Allah yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) adalah merupakan upaya menyucikan Zat yang mengisra’kan hambaNya dan upaya membersihkan sifat-sifat yang dibandingkan orang-orang musyrik kepada Allah bahawa Allah memiliki sekutu, pendamping dan keturunan. Ini terjadi kerana kejahilan dan kekeliruan keyakinan mereka.

Dalam peristiwa Isra’ Mikraj, para ulama berbeza pendapat sekitar sifat ‘isra’ dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.  Sebahagian ulama berpendapat, Allah memperjalankan Nabi secara fisikal pada waktu malam dengan menunggangi Bouraq dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa.

Sebahagian lain berpendapat Nabi Muhammad saw diperjalankan Allah jiwa dan raganya.  Ada juga yang berpendapat beliau diisra’kan rohnya tanpa jasadnya.

Yang benar, Nabi saw diisra’kan roh dan jasadnya sekaligus kerana kalau hanya rohnya sahaja maka itu tidak akan menjadi bukti kenabian dan risalah baginda.

Imam solat

Menurut tafsir Ibnu Kasiir pula, firman Allah, “Yang telah memperjalankan hambaNya” bermaksud sebahagian dari waktu malam. Kalimat

ini dilanjutkan dengan “dari Masjidil Haram” iaitu masjid di Mekah. Kalimat “ke Masjidil Aqsa” dimaksudkan pada Baitul Maqdis yang berada di Eilia, tempat diutusnya para nabi semenjak Nabi Ibrahim as.

Ketika Rasulullah saw sampai di Masjidil Aqsa, baginda disambut oleh para nabi dan rasul untuk melaksanakan solat. Rasulullah saw mengimami mereka di tanah kelahiran dan tempat tinggal mereka itu.

Hal tersebut menunjukkan bahawa Nabi saw adalah seorang Imam yang agung dan pemimpin yang paling dimuliakan di antara yang lainnya.

Semoga salawat dan salam selalu tercurah kepada Nabi Muhammad saw dan anggota keluarga (Ahlul Bait) baginda sepertimana firman Allah dalam ayat 56 Surah Al Ahzab yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya bersalawat atas Nabi.  Wahai orang-orang yang beriman! Salawatlah kamu untuk Nabi dan ucapankanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”

Sebenarnya Isra’ Mikraj mencatatkan berbagai peristiwa yang menarik, kerana Rasulullah saw diperjalankan melintasi dari satu langit ke satu langit sehingga menembusi langit ketujuh untuk diperlihatkan tanda dan realiti kebesaran Allah.

Terlalu banyak peristiwa yang berlaku sehingga kita tidak mampu mengungkap dan dihuraikan satu persatu di sini dan rasanya cukuplah sekadar kita mengingati peristiwa bersejarah ini sambil berpuasa sunat pada hari ini – 27 Rejab 1434 Hijrah.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments