Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Apimi: Pembakaran terbuka di Riau bukan perbuatan syarikat Malaysia

June 24, 2013

Walaupun ada kejadian pembakaran terbuka dalam kawasan ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, ia dilakukan oleh pekebun kecil di kawasan tanah yang mereka usahakan sendiri.

Oleh Ahmad Fuad Yahya

JAKARTA: Syarikat-syarikat Malaysia tidak terlibat dengan sebarang pembakaran terbuka di kawasan ladang sawit di Riau, yang telah menjejaskan dengan teruk kualiti udara di sebahagian wilayah di Semenanjung Malaysia dan Singapura, kata Persatuan Pelabur Perladangan Malaysia di Indonesia (Apimi).

Setiausaha Eksekutif Apimi Nor Hazlan Abdul Mutalib berkata walaupun ada kejadian pembakaran terbuka dalam kawasan ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, ia dilakukan oleh pekebun kecil di kawasan tanah yang mereka usahakan sendiri.

“Ingin saya maklumkan bahawa di dalam ladang milik syarikat Malaysia (Inti- atau pemilik ladang) telah diperuntukkan sebanyak 20 peratus untuk masyarakat di sekitar ladang Inti yang dimiliki oleh syarikat Malaysia itu.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat untuk melakukan pembakaran terbuka untuk kegiatan penanaman semula tanaman mereka,” katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar Indonesia Balthasar Kambuaya yang mengatakan bahawa lapan syarikat Malaysia adalah antara 14 syarikat dikenal pasti terlibat dalam kejadian pembakaran terbuka di kawasan ladang mereka di Riau.

Syarikat Inti

Nor Hazlan berkata pihak syarikat Inti tidak mempunyai kuasa untuk menahan masyarakat pekebun kecil daripada melakukan pembakaran terbuka dan apa yang dapat mereka lakukan ialah memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan tentang kegiatan itu supaya tuduhan tidak dikenakan ke atas mereka.

“Namun demikian, apabila telah berlaku pembakaran itu, pihak Inti masih menghulurkan bantuan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan kebakaran dari terus merebak ke tempat lain,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bukan semua lapan syarikat yang dinyatakan oleh menteri Indonesia itu adalah milik syarikat pelabur Malaysia kerana ada juga syarikat yang dimiliki pelabur dari negara lain.

Nor Hazlan berkata syarikat Malaysia yang mengusahakan ladang sawit di kawasan terbabit adalah anggota Meja Bulat Mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) yang melarang keras pembakaran terbuka dalam kegiatan penanaman semula, sebaliknya RSPO mementingkan alam sekitar dan amalan perladangan yang mesra alam.

“Sekiranya mereka melakukan kegiatan pembakaran terbuka, sijil RSPO yang dimiliki oleh mereka akan ditarik balik. Sijil ini adalah amat penting bagi syarikat-syarikat ini kerana tanpanya mereka tidak dapat menjual minyak sawit ke pasaran Eropah,” katanya.

Tidak ada sebarang kegiatan tanaman semula

Nor Hazlan berkata sebagai anggota RSPO, kegiatan penanaman semula yang diamalkan ialah menerusi kaedah pemotongan dan pembersihan menggunakan traktor dan sebahagian daripada bahan yang dipotong seperti pelepah sawit digunakan semula untuk tanah di ladang itu sebagai baja.

Pada tahun ini, tidak ada sebarang kegiatan tanaman semula di ladang-ladang sawit milik syarikat dari Malaysia, katanya.

Pihak Sekretariat Apimi, katanya pada setiap awal tahun memberi peringatan melalui “APIMI Bulletin” kepada semua anggota persatuan itu tentang permasalahan kebakaran yang sering berlaku di dalam ladang sawit.

Antara lainnya ia mengesyorkan langkah-langkah yang patut mereka ambil jika berlaku kebakaran di dalam kawasan ladang milik mereka, yang tidak dimulakan oleh mereka, katanya.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments