Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Mahukah Malaysia ambil tindakan terhadap rakyat sendiri

June 24, 2013

Adakah kewujudan Mahkamah Alam Sekitar melingkupi warga Malaysia yang melakukan kesalahan alam sekitar di luar negara?

KOTA KINABALU: Jerebu yang melanda negara akhirnya tiba di negeri di bawah bayu khususnya di pusat bandaraya Kota Kinabalu.

Laman web Jabatan Alam Sekitar Malaysia melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan tahap 90 pada Sabtu lalu.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar berkata, orang ramai masih boleh lagi menjalankan aktiviti luaran tetapi menghentikan pembakaran terbuka kerana ia boleh menjejaskan lagi keadaan.Pengamatan di sekitar bandaraya mendapati tahap penglihatan bertambah teruk berbanding dengan hari sebelumnya tetapi masih ada segelintir penduduk yang masih menjalankan aktiviti senaman mereka di sepanjang Jalan Bukit Bendera.

Kebanyakan penduduk Kota Kinabalu masih dapat menerima keadaan jerebu ketika ini kerana mereka masih dapat menjalankan urusan seharian.

Namun demikian, adalah dinasihatkan bahawa orang ramai tidak mengambil risiko kerana keadaan akan bertambah teruk sebelum beransur baik.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu masih dibuka  dan tahap penglihatan mencapai lingkungan 5 kilo meter walaupun terdapat kejadian jerebu.

Seorang pakar dasar alam sekitar memberitahu  FMT, jerebu di bandaraya ini berpunca dari aktiviti pembersihan kawasan hutan paya gambut.

Terdapat banyak hutan paya gambut di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia, Sarawak di Malaysia dan perairan tanah rendah Belait di Brunei.

Sabah tidak mempunyai banyak hutan paya gambut melainkan di bahagian barat daya di Klias dan timur laut Kinabatangan -Segama.

Risiko kebakaran terbuka

Menurut Oxford Journals,  aktiviti pembersihan dan penyaliran keluar air dari kawasan hutan paya gambut untuk pembangunan pertanian meningkatkan risiko kebakaran terbuka terutamanya pada musim kemarau.

Pembakaran dalam tanah di kawasan ini mampu berlanjutan selama berbulan pada satu masa menyebabkan kejadian jerebu di sekitar kawasan Asia Tenggara.

Pakar dasar alam sekitar juga mendakwa kebanyakan pengusaha ladang kelapa sawit di Malaysia dan Indonesia gagal memenuhi cadangan yang di keluarkan oleh Roundtable Sustainable Palm Oil (RSPO) dalam pengendalian kawasan paya gambut mereka.

Ini telah menyebabkan pembakaran terbuka yang tidak terrkawal. Situasi akan bertambah parah apabila Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Malaysia (MPOA) mengugut untuk keluar dari gabungan RSPO seperti yang dilakukan oleh Indonesia pada tahun 2011.

Keputusan yang dibuat oleh pengeluar akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada alam sekitar kerana tidak ada pengawasan oleh badan bebas dalam aktiviti pengusaha ladang.

Ini akan memberi peluang kepada pengusaha untuk mengabaikan proses pengawasan alam sekitar untuk tujuan mengurangkan kos pengendalian ladang yang akan menyebabkan masalah alam sekitar contohnya keadaan jerebu yang kita alami sekarang.

Jerebu yang melanda di Sabah dipercayai berpunca dari pembakaran terbuka terutamanya di Sarawak dan Kalimantan berpandukan kepada angin monsoon barat daya bermula dari bulan Mei ke September.

Statistik yang dikeluarkan oleh Khidmat Cuaca Singapura melihat peningkatan titik panas terutamanya dari kawasan Sumatera dan Borneo dari pertengahan bulan Jun dan meningkat ke paras 180 dan 140 masing masing dari Sumatera dan Borneo. Sehingga kini, kawasan panas di Semenanjung masih  berada di bawah paras 20.

Pegawai kerajaan Indonesia mendakwa, Singapura dan Malaysia juga seharusnya bertanggungjawab akan kejadian jerebu di rantau ini.
Ini kerana kebanyakan ladang menggunakan kaedah ‘potong dan bakar’ dalam aktiviti pembersihan hutan juga dimiliki oleh pengusaha yang berasal dari luar. Adakan benar akan dakwaan ini di mana kawasan pembakaran terbuka dimiliki syarikat Malaysia?

Titik panas

Laman web Antara Riau membandingkan imej satelit mendakwa kawasan titik panas dimiliki oleh syarikat milik perusahaan Malaysia seperti PT Tunggal Mitra Plantation, PT Udaya Loh Dinawi, PT Abdi Plantation, PT Jati Jaya Perkasa, PT Multi Gambut Industry, PT Bumi Reksa Nusa Sejati, dan PT Mustika Agro Lestari.

Ketua Hakim Malaysia, Tan Sri Arifin Zakaria ketika berucap di  pembukaan Tahun Perundangan 2012 berkata kesalahan alam sekitar boleh mengugat kewujudan manusia.

Adalah penting kita melindungi bumi kita.

Oleh itu, kita tidak harus membiarkan ketidakpekaan berlanjutan.

Adakah kerajaan Malaysia akan mengambil tindakan terhadap rakyat mereka yang terlibat dalam syarikat yang bertanggungjawab akan masalah jerebu di rantau ini?

Adakah kewujudan Mahkamah Alam Sekitar yang bermula pada bulan September tahun lalu juga melingkupi warga Malaysia yang melakukan kesalahan alam sekitar di luar Malaysia?

Kejadian jerebu tahun ini menjadi peringatan kepada masalah jerebu pada masa yang lalu yang disebabkan oleh kejadian cuaca yang dikenali sebagai El Nino.

El Nino ditakrifkan sebagai perbezaan yang berpanjangan suhu permukaan Lautan Pasifik dengan suhu puratanya. Kejadian jerebu besar bermula pada tahun 1997 dan ini telah mendorong kewujudan Perjanjian Trans Sempadan Pencemaran Jerebu Asean berikutan kesan krisis alam sekitar di Asia Tenggara pada akhir 90an.

Menurut Wikipedia bersempena dengan Persidangan Dunia mengenai Tanah dan Bahaya Kebakaran Hutan (Kuala Lumpur, Malaysia, 10-13 Jun 2002) dan ke-9 Mesyuarat Menteri-Menteri Asean mengenai Jerebu,   telah diputuskan bahawa negara-negara Asean, berdasarkan usaha-usaha jangka panjang mereka dan perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang kebakaran dan pengurusan pencemaran asap, telah menyertai rangkaian Rangkaian Serantau Kebakaran Hutan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Strategi Antarabangsa bagi Pengurangan Bencana (ISDR) dan Pemantauan kebakaran global Center (GFMC).

Kejadian jerebu masih terjadi walaupun terdapat kerjasama antarabangsa. Pembersihan tanah hutan untuk memenuhi permintaan yang tinggi dalam aktiviti pertanian terutamanya kelapa sawit telah menyebabkan banyak tanah paya gambus dikorbankan untuk memenuhi permintaan mereka. Ini telah membantutkan usaha pihak dan organisasi tertentu dalam pengurangan risiko pembakaran hutan besar-besaran yang membawa kepada masalah kesihatan kepada orang ramai.

Oleh itu, terpulang kepada pengguna memutuskan untuk meminta pengeluar minyak kelapa sawit menggunakan kaedah yang mampan dan mesra alam. Sehingga pengguna sedar akan mereka juga penyumbang kepada kejadian ini, kita tidak akan melihat masalah jerebu ini hilang pada masa terdekat ini.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments