Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Yazid mengaku tidak bersalah tuduhan jadi ahli Al-Qaeeda

June 24, 2013

Beliau dan pekerjanya Muhammad Hilmi Hasim kelihatan tenang ketika pertuduhan baharu itu dibacakan dan mereka minta dibicarakan.

KUALA LUMPUR: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Yazid Sufaat dan Muhammad Hilmi Hasim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan menjadi anggota kumpulan pengganas Tanzim Al-Qaeda Malaysia.

Yazid, 49, pengusaha kafetaria di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan Muhammad Hilmi, 33, pembantu kafetaria, kelihatan tenang ketika pertuduhan baharu itu dibacakan dan mereka minta dibicarakan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah bernombor DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya antara 1 Ogos 2012 dan 7 Feb lepas mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Kamardin Hashim membenarkan permohonan peguam New Sin Yew, yang mewakili kedua-dua tertuduh, untuk menangguhkan kes itu sementara menanti rayuan mereka berhubung tuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria didengar di Mahkamah Persekutuan.

New berkata pihaknya telah memfailkan notis rayuan itu di Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas.

Penangguhan kes

Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan kes itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria memohon kedua-dua tertuduh ditahan reman di penjara Sungai Buloh sementara menanti keputusan rayuan.

Sementara itu, di Mahkamah Tinggi berlainan Hakim Datuk Mohd Azman Husin menetapkan 17 September depan untuk sebutan bagi kes yang dihadapi kedua-dua tertuduh berhubung pertuduhan terlibat dalam aktiviti menggalakkan keganasan di Syria.

Selasa lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pendakwaan untuk ketepikan pembebasan Yazid dan Muhammad Hilmi daripada pertuduhan berkenaan.

Ia berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Abu Samah Nordin membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan kedua-dua tertuduh daripada pertuduhan itu.

Yazid didakwa memajukan ideologi

Dalam keputusan itu, Abu Samah berkata pertuduhan terhadap responden (Yazid dan Muhammad Hilmi) ialah dalam ruang lingkup atau skop Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Rayuan turut mengarahkan kes itu disebut di Mahkamah Tinggi pada hari ini. Pada Februari lepas, Yazid didakwa memajukan ideologi bertujuan menghasut orang ramai di Syria agar melakukan keganasan manakala Muhammad Hilmi dan seorang lagi suri rumah Halimah Hussein didakwa bersubahat dengannya.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Bukit Ampang antara 1 Ogos dan 20 Oktober tahun lepas.

Yazid didakwa mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) manakala Halimah dan Muhammad Hilmi didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun pada 20 Mei lepas, Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan mereka daripada pertuduhan itu selepas membenarkan permohonan mereka bagi membatalkan pertuduhan berkenaan.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments