Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Nordin Ahmad pelakon Melayu terulung

July 28, 2013

Di antara dialog beliau yang tidak dapat dilupakan ialah "dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu."

Hiburan

oleh Melati Pusaka

Tentu anda masih ingat senikata lagu Gurindam Jiwa, “Tuai padi antara masak, esok jangan layu layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan”.

Lagu ini menjadi siulan anak muda pada tahun 1966 apabila filem Gurindam Jiwa ditayangkan di seluruh negara.

Filem lakonan pasangan popular Nordin Ahmad dan Latifah Omar itu mendapat sambutan hangat. Lakonan Nordin Ahmad amat berkesan. Beliau merupakan seorang pelakon filem Melayu yang terulung. Lakonannya hidup menyebabkan beliau disanjung selain dari P. Ramlee.

Seperti juga P. Ramlee, Nordin Ahmad juga anak kelahiran Pulau Pinang. Beliau dilahirkan di Butterworth pada tahun 1932. Beliau juga meninggal dunia dalam usia yang muda ketika berusia 39 tahun pada 15 Jun 1971 kerana menghidap demam kuning.

Beliau meninggalkan seorang balu Salmah Ibrahim serta tiga orang anak, Asmah, Tuah dan Asnor.

Selain Gurindam Jiwa, lakonan Nordin Ahmad menonjol dalam filem Seri Mersing, Semerah Padi, Air Mata Duyong, Hang Jebat, Cucu Datuk Merah dan Raden Mas.

Namun yang pasti, setiap kali menyebut nama Nordin Ahmad, peminat akan terus teringat adegan-adegan dan dialog-dialog yang menjadi klasik filem-filem Melayu sepanjang zaman seperti dalam filem Seri Mersing arahan Allahyarham Salleh Ghani dengan dialog berpantun:

“Kajang Pak Malau kajang berlipat, kajang saya mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba musafir lalu.”

Penglibatan beliau bermula apabila beliau bekerja sebagai kerani di Singapura pada 1951 dan beliau tidak pernah menyimpan hasrat untuk menjadi pelakon sehingga melihat iklan mencari pelakon baru di akhbar Utusan Melayu.

Uji bakat

Beliau menghadiri uji bakat bersama Malay Film Production (MFP) tetapi gagal kerana pengarah S. Ramanathan yang mengujinya berpendapat Nordin tidak mampu berlakon.

Nordin menerima tawaran bekerja sebagai buruh kasar di studio MFP dengan harapan dapat menjadi pelakon pada satu hari kelak. Beliau diberi peluang muncul sebagai pelakon tambahan tanpa dailog dalam filem Rayuan Sukma dan Juwita.

Pengarah Haji Mahadi mengambil Nordin menjadi pelakon utama dalam filem Permata di Perlimbahan berganding dengan Maria Menado. Filem itu gagal di box office yang menyebabkan beliau terpaksa menjadi pelakon tambahan semula. Biarpun begitu beliau tetap tidak berputus asa.

Pada tahun 1956 P. Ramlee menawarkan watak Teruna kepada Nordin Ahmad dalam filem Semerah Padi. Kejayaannya sebagai Teruna melonjakkan namanya sebagai seorang bintang filem. Cathay Keris menyambar beliau dari MFP dan beliau menjadi hero dalam filem-filem terbitan Studio Cathay Keris.

Bakat Nordin menarik perhatian ramai pengarah filem. Mereka berlumba-lumna untuk mengambil Nordin berlakon dalam filem arahan mereka seperti filem Hang Jebat arahan Husain Haniff, Cucu Datuk Merah arahan M. Amin dan Seri Mersing arahan Salleh Ghani.

Tidak ramai yang tahu bahawa Nordin yang popular sebagai pelakon juga pernah diberi peluang menjadi pengarah filem. Tetapi beliau tidak begitu berjaya di bidang arahan filem. Pada tahun 1964 beliau mengarahkan filem sulungnya Wan Perkasa yang tidak begitu berjaya.

Namun demikian beliau terus diberi peluang mengarah filem Kasih Ibu, Naga Tasek Chini, Play Boy, Kekasih, Nafsu Belia, Keranda Berdarah dan Lubang Neraka.

Lakonannya terserlah

Beliau mengakui bahawa beliau lebih dikenali sebagai pelakon daripada pengarah filem. Kekuatan lakonannya menyebabkan kita kehilangan seorang pelakon yang terulung di zamannya.

Seperti juga P. Ramlee yang meninggal dunia dalam usia yang muda 44 tahun, beliau dijemput Allah dua tahun lebih awal dari P. Ramlee ketika berusia 39 tahun.

Beliau meninggal dunia pada 15 Jun 1971 kerana menghidap demam kuning. Beliau meninggalkan seorang balu Salmah Ibrahim serta tiga orang anak, Asmah, Tuah dan Asnor.

Setiap kali menonton filem lama di televisyen, kita akan ingati Nordin Ahmad kerana lakonannya yang terserlah.

Di antara filem-filem lakonannya ialah Anakku Sazali (1956), Abu Hasan Pencuri (1955), Aladdin (1951), Arjuna (1954), Air Mata Duyong, Bernoda.

Belantara, Cemburu Cucu Datok Merah, Dang Anum (1962), Gado Gado, Gelora Hidup, Gul Bakawali, Gurindam Jiwa, Hang Jebat (1961) dan Hang Tuah.

Lanchang Kuning, Laila Majnun, Panggilan Pulau (1954), Raden Mas, Serangan Orang Minyak, Orang Minyak, Pejodohan (1954).

Patong Chendana, Pemata Di Perlimbahan (1952), Playboy (1968), Siti Zubaidah, Sri Mersing, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Tun Fatimah, Tajul Asyikin, Hutang Darah Dibayar Darah, Noor Islam (1961), Semerah Padi (1956) Sial Wanita (1969) Jahanam (1971)Mahsuri (1959), Jula Juli Bintang Tujuh, Yatim Mustapha, Putus Harapan, Kipas Hikmat, Panglima Besi, Sri Kandi dan Simurai.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments