Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Ibu Chua tidak sangka anaknya juga maut dalam kemalangan

August 1, 2013

Sembilan tahun lepas ayah Chua maut ketika menunggang motosikal di Melaka

PETALING JAYA :Tan Kuai Neo tidak menyangka akan kehilangan anak, Chua Boon Huat, pemain hoki kebangsaan, dalam kemalangan jalan raya hari ini, tragedi sama meragut nyawa suaminya sembilan tahun lepas.

Tan, 64, berkata suaminya, Chua Peng Hock maut dalam kemalangan dengan kenderaan lain ketika menunggang motosikal di Melaka, dan kini anak bongsu kesayangannya pula jadi mangsa kemalangan jalan raya.

“Saya terkejut dengan berita kematian anak saya kerana ayahnya juga pergi akibat kemalangan.

“Teman wanita Chua memaklumkan kepada saya melalui panggilan telefon pada 4 pagi tadi mengenai anak saya,” katanya kepada pemberita sambil menangis di Bilik Mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini hari ini.

Chua, 33, maut setelah kereta Proton Perdana dipandunya terlanggar sebuah lori tangki air di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran stesen LRT Kelana Jaya, pada 2.25 pagi.

Mengetahui khabar mengejut itu, Tan bersama keluarganya dari Melaka segera ke Kuala Lumpur sejauh 130 kilometer untuk ke PPUM dan tiba di sini pada 6 pagi.

Tan berkata Chua mempunyai seorang abang dan dua orang kakak.

“Chua adalah seorang anak yang suka bercakap, periang dan taat,” katanya.

Bagi Chua, hoki adalah hidupnya kerana anaknya itu meminati dan bermain hoki dalam pertandingan sejak sekolah lagi sehingga mewakili Sekolah Kebangsaan Bandar Hilir, Melaka semasa di darjah empat dan bermain untuk Melaka High School bagi peringkat sekolah menengah, katanya.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan Chua adalah pada penghujung Jun lalu, sewaktu dia ada masa lapang dan tiada perlawanan,” katanya sambil menambah tiada tanda-tanda pelik ditunjukkan anaknya sebelum kemalangan itu.

Beliau berkata mayat anaknya akan dibakar pada Isnin ini di Semabok, Melaka.

Suasana pilu menyelubungi bilik mayat hospital itu apabila 10 anggota keluarga mendiang Chua hadir sementara menunggu proses bedah siasat yang selesai pada 10 pagi.

- Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments