Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Umno Kemaman: Ketua cawangan berharap penipuan tidak berulang

 | October 8, 2013

Penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said.

KEMAMAN: Seorang ketua cawangan Umno berharap penipuan yang berlaku sewaktu mengira undi dalam pemilihan Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2008 tidak akan berulang pada pemilihan kali ini,

Menurut beliau yang enggan namanya disebut, pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Dungun untuk mengira undi dijangka tidak menimbulkan sebarang penipuan.

“Pada tahun 2008, pengira undi dari KEMAS dikatakan bersubahat dengan penyelia kanan KEMAS (si pendek) yang membuat penipuan ketika mengira undi,” kata ketua cawangan itu lagi.

Pada tahun 2008, penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Husin tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam dengan majoriti yang kecil.

Menurut ketua cawangan tersebut, penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said sebagai hadiah “membunuh” karier politik Mohamed Rahim.

“Yang paling mengejutkan banyak kertas undi ditemui dalam bag seorang ahli jawatankuasa wanita,” dakwa ketua cawangan itu lagi.

Dalam konspirasi itu, Zahari juga kalah bertanding ahli jawatankuasa Bahagian yang jelas menunjukkan “si pendek” yang melakukan penipuan itu.

Calon yang kalah buat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu. Badan itu mengarahkan supaya pemilihan Umno Bahagian Kemaman diadakan semula tetapi wakil perhubungan meminta supaya ia diselesaikan secara baik.

Zahari selaku Setiausaha Bahagian sudah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan semula pemilihan tetapi Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menggunakan kuasa vetonya supaya pemilihan itu tidak diadakan semula atas alasan pemilihan semula akan memalukan nama baik Menteri Besar kerana ia berlaku di bahagian Menteri Besar.

“Kalau pada tahun 2008, pihak Bahagian sanggup menipu, apa jaminan pemilihan kali ini tiada penipuan?” tanya ketua cawangan itu.

Dalam pertandingan 2008, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian.

Pada 12 Oktober ini, Shaheda Jusoh mencabar Asfalinda Razak bagi jawatan Ketua Puteri, manakala dua calon merebut jawatan Ketua Pemuda yang kosong, Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim (Along) dengan Fikri Ibrahim (Bulat) dan Che Ku Maznah mencabar Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita.

Manakala pada 19 Oktober pula, Mat Dalam Awang  (gambar) menentang Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian dan Wan Hakim Wan Mokhtar mencabar Wan Ahmad Nizam Wan Hamid bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Sementara itu Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

“Saya berharap pemilihan pada 12 dan 19 Oktober tidak ada lagi sebarang penipuan,” katanya lagi.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments