Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

MB NS bersetuju jumpa penduduk Kampung Hakka, Mantin

 | October 17, 2013

Selepas mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Mohamad pagi semalam, Setiausaha Sulit Menteri Besar bertemu dengan wakil penduduk untuk berbincang.

SEREMBAN:  Perjuangan penduduk Kampung Hakka, Mantin di sini memasuki satu lagi perkembangan baru apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan bersetuju mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Hakka, Mantin pada hari Isnin 21 Oktober depan.

Selepas mengadakan demonstrasi aman selama dua jam di hadapan pejabat Mohamad pagi semalam, Setiausaha Sulit Menteri Besar, Shahrulfaizal Tahar bertemu dengan wakil penduduk untuk berbincang.

Shahrulfaizal kemudian memaklumkan kepada penduduk bahawa satu pertemuan telah diatur diantara penduduk dengan Menteri Besar pada hari Isnin depan.

Mohamad berada di luar daerah Seremban menghadiri beberapa program rasmi kerajaan ketika penduduk kampung mengadakan demonstrasi aman itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Hakka, Chong Tze Yaw, 46, berkata penduduk kampung mahu Menteri Besar menggunakan kuasa ekskutif beliau untuk campurtangan dalam isu kampung tersebut, di mana kediaman penduduk akan dirobohkan oleh pemaju untuk projek komersial.

“Kami cuma mahu pampasan dan minta kerajaan negeri campurtangan dan membantu penduduk menuntut pampasan dari pemaju,” katanya.

Wakil Parti Sosialis Malaysia, R Gandi berkata penduduk mengadakan demonstrasi kerana memorandum yang yang dihantar kepada Menteri Besar pada 01 Oktober lalu masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan penangguhan kes Kampung Hakka sehingga 21 Oktober (Isnin) nanti.

Peguam yang mewakili penduduk iaitu Siow Kim Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak (DAP), berkata kepada FMT bahawa perintah penggantungan sementara (interim stay order) telah dilanjutkan sehingga 03.30 petang pada 21 Oktober ini.

“Peguam pemaju (plaintif) memfailkan afidavit baru lebih kurang dua puluh perenggan. Justeru itu kami peguam penduduk (defendan) memerlukan masa untuk mengkaji dan menjawab afidavit tersebut.

“Maka Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Siti Mariah Ahmad membenarkan perintah penggantungan sementara sehingga 21 Oktober ini berhubung permohonan pemaju untuk merobohkan kediaman penduduk untuk projek pembangunan,” ujar Siow.

Dua lagi peguam yang mewakili penduduk ialah Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo (DAP) dan ADUN Bukit Kepayang, Cha Kee Chin (DAP).

Sebelum ini pada 25 September, pemaju telah menyerahkan notis untuk merobohkan rumah penduduk.

Pada 30 September, pemaju memulakan kerja meroboh kediaman penduduk dan sempat merobohkan dua buah rumah.

Keadaan menjadi kecoh apabila penduduk kampung bersama ahli PSM dan aktivis NGO Jerit membuat rantai manusia menghalang pemaju daripada merobohkan kediaman mereka.

Ini menyebabkan polis terpaksa menahan 12 individu kerana menghalang kerja penjawat awam.

Campurtangan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook (DAP) bersama beberapa ADUN Pakatan Rakyat akhirnya berjaya menghalang kerja perobohan rumah penduduk diteruskan.

Seterusnya Siow berjaya mendapatkan arahan penangguhan sementara dari Siti Mariah pada hari yang sama.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments