Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Najib: Kerajaan tidak pinggirkan Orang Asli

January 11, 2014

Perdana Menteri berkata kehidupan masyarakat Orang Asli dahulu dengan hari ini ternyata jauh berbeza.

PEKAN: Kerajaan tidak akan meminggirkan masyarakat Orang Asli dalam melaksanakan agenda pembangunan negara bagi memastikan golongan itu tidak tercicir dalam menikmati pembangunan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana menteri berkata sehubungan itu masyarakat Orang Asli perlu sentiasa berganding bahu dengan kerajaan supaya hasrat dan segala perancangan kerajaan dapat direalisasikan.

“Kita berhasrat dalam melaksanakan agenda pembangunan negara khususnya agenda transformasi nasional, kita pastikan dapat membawa bersama-sama masyarakat Orang Asli ke arah perubahan besar dalam kehidupan mereka.

“Ini keazaman kita, bukan kata-kata manis tetapi didokong dan disokong melalui peruntukan dan program yang terbukti jelas dapat dilihat seperti projek Penyusunan Semula Kampung (PSK) Bangkong ini,” katanya ketika berucap merasmikan projek PSK di Kampung Bangkong di Paloh Hinai dekat sini hari ini.

Najib berkata kehidupan masyarakat Orang Asli dahulu dengan hari ini ternyata jauh berbeza apabila banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan.

Kampung Bangkong

Mengambil contoh perkampungan Orang Asli Kampung Bangkong, perdana menteri berkata situasi dahulu di kawasan itu jelas berbeza terutama selepas pelaksanaan projek PSK itu yang melibatkan peruntukan RM24 juta di tapak seluas 40 hektar.

Projek itu merangkumi 119 unit rumah, empat unit kedai, taska, dewan, kemudahan jalan raya, bekalan elektrik dan air yang dapat memberi keselesaan bagi meningkatkan taraf hidup penduduk menerusi Program Transformasi Luar Bandar.

“Kita juga tidak melupakan sumber ekonomi untuk penduduk di Kampung Bangkong ini di mana kita sediakan projek tanaman sawit di atas tanah seluas 250 hektar bagi penduduk terlibat dalam program ini.

“Melalui tanaman sawit, penduduk akan memperoleh pendapatan sehingga RM700 sebulan jika diusahakan sendiri atau minimum RM400 sebulan jika diberikan untuk diurus oleh Risda, bergantung kepada harga semasa sawit. Semua ini adalah cerminan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional untuk membela masyarakat Orang
Asli,” katanya.

Najib berkata kerajaan turut memandang serius isu keciciran pelajar Orang
Asli dan untuk itu Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Jabatan
Kemajuan Orang Asli perlu memberi fokus utama kepada masalah itu.

Keciciran turun

Menurutnya kerajaan menyasarkan kadar keciciran pelajar Orang Asli pada tahun ini dapat diturunkan sehingga 23 peratus dan sebanyak 15 peratus menjelang 2015.

“Kadar penurunan keciciran pelajar Orang Asli dari tahun 2011 ke tahun 2012 adalah 29 peratus kepada 26.16 peratus dan pada tahun lepas menurun lagi kepada 25 peratus.

“Kita berharap kadar keciciran ini terus menurun dari tahun ke tahun, justeru itu ibu bapa perlu pastikan anak-anak tidak terkeluar daripada sistem persekolahan dan tidak meninggalkan bangku sekolah agar sasaran dapat dicapai,” katanya.

Beliau berkata pada tahun ini juga kerajaan menyasarkan seramai 305 pelajar Orang Asli berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam dan menghantar sekurang-kurangnya 10 pelajar ke luar negara.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan sumbangan kepada kepada 10 pelajar Orang Asli di Parlimen Pekan yang berjaya mendapat 5A dalam UPSR dan seorang pelajar memperoleh 7A pada peperiksaan PMR tahun lepas.

Beliau turut mengumumkan tiga Tok Batin di Parlimen itu akan dipilih menunaikan fardu haji pada tahun ini dan nama mereka akan diberitahu kelak.

Bernama


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments