Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Mesin parkir bermeter ‘telan’ duit

 | February 27, 2014

Ada yang tidak kena dengan mesin parkir bermeter ini

Omar IsmailSENAWANG : Beberapa pengguna kenderaan di sekitar Dataran Senawang mengadu banyak mesin parkir bermeter di pusat komersial berkenaan tidak berfungsi dengan baik dan mendakwa mesin parkir bermeter tersebut ‘telan’ duit.

Omar Ismail, 72, yang sering meletakkan kenderaan setiap minggu di Dataran Senawang untuk mendapatkan rawatan terapi di salah sebuah pusat kesihatan di situ; mendakwa mesin parkir bermeter sering bermasalah dan gagal berfungsi dengan sempurna.

“Contohnya saya memasukkan 50 sen (syiling 50 sen sekeping), meter akan menunjukkan 50 minit.

“Walau bagaimanapun apa membuatkan saya tidak puas hati ialah apabila saya menambah 20 sen lagi, untuk menambah tempoh meletakkan kenderaan itu; tiba-tiba meter parkir itu menurun menjadi 40 minit. Saya masukkan 20 sen lagi, meter parkir tetap menunjukkan 40 minit.

“Saya rasa ada yang tidak kena dengan mesin parkir bermeter ini,” katanya.

Omar berkata ada di antara sahabat-sahabat beliau yang turut meletakkan kenderaan ketika datang untuk mendapatkan rawatan terapi di Dataran Senawang, dikompaun oleh pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Seremban.

“Saya difahamkan oleh sahabat-sahabat saya, ini adalah disebabkan tempoh masa yang terpapar di skrin mesin parkir bermeter itu tidak tepat dan kurang dengan jumlah syiling yang dimasukkan.

“Apabila pegawai penguatkuasa datang membuat pemeriksaan, mesin parkir menunjukkan tiada kredit untuk meletakkan kenderaan, maka kompaun dikeluarkan,” kata Omar.

Siaw Min Sim, 24, seorang jurutera perisian pula berkata ada beberapa mesin parkir bermeter mengundang masalah kepada beliau.

“Contohnya saya masukkan 70 sen. Sepatutnya meter perlu tunjukkan satu jam dan 10 minit (70 minit).

“Sebaliknya skrin mesin parkir bermeter itu hanya menunjukkan 60 minit.

“Pernah saya mengadu pada salah seorang pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Seremban ketika beliau bertugas berhubung masalah ini, tetapi pegawai tersebut berkata syiling yang saya masukkan berkemungkinan syiling palsu. Tapi saya rasa tidak kerana saya boleh gunakan syiling itu untuk urusan lain dan ia sah laku,” kata beliau.

Pas enam bulan membebankan pengguna

Kadar Minima 30 senWon Hon Ping, 23, seorang jurujual pula berkata apabila beliau memasukkan syiling, skrin meter berparkir itu tidak menunjukkan apa-apa bacaan minit.

“Kadang-kadang walaupun saya dah masukkan syiling, mesin parkir itu tetap menunjukkan angka kosong seolah-olah syiling langsung tidak dimasukkan.

“Bila saya tanya kepada pegawai penguatkuasa yang bertugas, mereka kata syiling saya palsu. Kalau palsu kenapa mesin parkir itu ‘telan’ duit syiling saya. Ini alasan tidak munasabah,” ujar Won.

Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani berkata ada arahan baru atau peringatan di meter itu bahawa jumlah minima syiling yang perlu dimasukkan ialah sebanyak 30 sen.

“Saya rasa ini tidak adil kepada pengguna kenderaan. 30 sen bermakna bayaran untuk 30 minit. Tetapi memandangkan di sini ada banyak bank, kemungkinan pengguna kenderaan itu hanya memerlukan lebih kurang lima minit sahaja untuk mengeluarkan duit di mesin ATM contohnya.

“Kalau diikutkan kadar minima 10 sen sudah memadai untuk pengguna kenderaan dalam keadaan tersebut.

“Ada pengguna mungkin memerlukan masa hanya kurang dua minit untuk beli sesuatu dari kedai di sini.

“Tetapi arahan ini memaksa pengguna untuk bayar 30 sen walaupun urusan mereka tidak sampai 30 minit.

“Saya rasa ini tidak adil kepada pengguna kenderaan yang meletakkan kenderaan di Dataran Senawang,” katanya.

Mohd Taufek berkata ada pegawai bank yang beliau temui mengadu bahawa sistem pas bulanan yang diperkenalkan oleh syarikat yang mengendalikan operasi parkir bermeter ini hanya menawarkan pas bulanan untuk tempoh minima selama enam bulan.

“Saya difahamkan tidak ada pas bulanan untuk satu bulan tetapi paling minima pas yang ditawarkan adalah untuk enam bulan.

“Ini membebankan lagi pengguna kenderaan kerana pengguna perlu membayar RM360.00 sekali harung untuk dapatkan pas untuk enam bulan,” kata Mohd Taufek lagi.

Mohd Taufek berharap syarikat tersebut dan MPS mengambil serius aduan orang ramai ini dan dapat mengatasi masalah mesin parkir bermeter ini secepat mungkin agar tidak menyusahkan dan membebankan pengguna kenderaan.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments