Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Khalid akan jumpa KeTTHA Jumaat ini

 | May 14, 2014

Hingga kini respon kerajaan persekutuan terhadap perkara ini adalah sangat positif

VIDEO INSIDE

Khalid PCSHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan bertemu dengan pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada jumaat ini.

Menurutnya, pertemuan itu dilakukan kerana kerajaan negeri telah bersetuju untuk menetapkan tarikh akhir bagi menentukan perlaksanaan seksyen 114 Akta Perkhidmatan Industri Air Selangor (WSIA 2006).

“Tumpuan rundingan itu nanti adalah bagaimana hendak melaksanakan seksyen 114 ini, selain menentukan hak dan penguasaan Kerajaan Persekutuan terhadap aset-aset dan operasi, kerana selepas ini hak tersebut akan diambil alih oleh Kerajaan Negeri Selangor,” katanya sewaktu sidang media selepas mesyuarat exco di Shah Alam.

Ujarnya lagi,hingga kini respon kerajaan persekutuan terhadap perkara ini adalah sangat positif.

Tambahnya, setelah hasil dan keputusan dari pertemuan itu diwartakan, ia akan mengambil masa selama seminggu dan  barulah langkah-langkah seterusnya dapat dilakukan.

Adun Pelabuhan Klang itu turut menambah sekiranya seksyen 114 dilaksanakan, syarikat konsesi seharusnya mematuhi arahan dan menuruti keputusan tersebut walaubagaimanpun keputusan itu boleh dibantah oleh pihak syarikat konsesi.

“Pihak konsesi boleh membantah, tetapi ia akan tetap dilakukan kerana ia sudah termaktub di dalam undang-undang,” katanya.

Paras air meningkat

Pada masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi, menjelaskan bahawa kebanyakan paras air empangan di Negeri Selangor menunjukkan peningkatan dalam tempoh seminggu.
“Enam daripada tujuh empangan menunjukkan peningkatan dalam tempoh seminggu,” katanya.

Katanya, pengepaman air daripada kolam Bestari Jaya ke dalam Sungai Selangor telah dilakukan bermula pada 26 Februari sehingga 6 April lalu. Ini dilakukan ketika aliran air rendah di sungai yang mana direkodkan pada paras bawah 3.4 meter.

“Mesin-mesin pengepaman hanya beroperasi bermula pada jam 8 malam sehingga 8 pagi. Pada ketika ini, hanya pengepaman air sungai ke dalam kolam sedang beroperasi berikutan lebihan aliran sungai yang diterima setiap hari hasil daripada kadar hujan ynag tinggi,” ujarnya.

Yunus turut menjelaskan keadaan semasa bagi paras air di empangan Sungai Selangor yang merupakan empangan utama bagi penduduk Lembah Klang.

“Jumlah takungan pada 8 Mei lalu, adalah sebanyak 94.4 juta meter padu iaitu sebanyak 41.06 peratus. Pada hari ini, paras air di empangan Sungai Selangor adalah sebanyak 95.5 juta meter padu iaitu peningkatan sebanyak 41.52 peratus dan jumlah peningkatan antara 8 Mei lalu hingga hari ini adalah sebanyak 0.46 peratus,” katanya.

Kata Yunus lagi, air yang diambil dari kolam takungan adalah selamat selain keputusan Kerajaan Negeri untuk menamatkan catuan adalah berdasarkan keputusan yang diambil secara profesional.

“Apabila catuan ditamatkan, kita melihat dan mengambil peluang untuk menggunakan air lebihan di sungai, kerana air lebihan tersebut adalah cukup untuk dirawat di loji-loji dan bukannya setakat bergantung kepada air di empangan sahaja.

“Kita tahu paras empangan masih tidak selesa, dan kita tidak lepaskan air di empangan secara maksimum, sebaliknya dilepaskan secara minimum dan kita juga masih mengharapkan air di empangan makin meningkat dari masa ke semasa,” katanya.

Ujarnya, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk mengubah persepsi rakyat yang menganggap bahawa air yang di ambil di kolam adalah tidak selamat.

“Kita akan sentiasa memberikan penerangan kepada rakyat bagi membetulkan persepsi mereka,” jelasnya.

Lima kolam

Sebelum ini, pada 2 Mei lalu, persampelan telah dilakukan di lima buah kolam iaitu Kolam Kambing Susu, Kolam KL-Larut, Kolam Hang Tuah 1, Kolam Hang Tuah 2, Kolam Rasa, dan Satu Sampel di Sungai Selangor.

Katanya, Persampelan itu telah dijalankan berpandukan garis panduan oleh American Public Health Association (APHA).

“Sampel-sampel ini telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan makmal pihak ketiga yang mendapat akreditasi iaitu ALS Techicam Sdn Bhd,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, sebanyak 27 parameter telah diuji yang merangkumi kategori fizikal, logam, dan logam berat. Dan hasil analisa menunjukkan parameter logam berat di dalam kolam tersebut mematuhi had piawaian yang ditetapkan oleh JKM.

“Pihak LUAS sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan kualiti air mentah adalah mematuhi had piawaian yang ditetapkan untuk dirawat oleh Loji Pembersihan Air (LPA) dan selamat digunakan oleh orang ramai,” katanya.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments