Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Glosari yang terlalu cair

 | January 24, 2011

Bahagian 6: Pelajar yang saya maksudkan bagi tujuan ini boleh jadi kaum India atau ‘bukan India’, beragama Hindu atau ‘bukan Hindu’

COMMENT

Yang Arif,

Pada hari ini, saya mahu melihat dari sudut seorang pelajar Tingkatan Lima di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur atau Negeri Sembilan yang diwajibkan khatam (tamat atau selesai mempelajari) novel Interlok edisi murid (DBP: 2010) bagi tujuan Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Pelajar yang saya maksudkan bagi tujuan ini boleh jadi kaum India atau ‘bukan India’, beragama Hindu atau ‘bukan Hindu’.

Kita perlu faham, sedar dan akur pada hakikat bahawa Interlok edisi murid dipelajari (atau dihafaz) sebagai teks Komsas dan bukan sebagai teks kajian dalam subjek Sastera Melayu per se.

Maka, kehadiran bahagian Glosari dalam novel edisi murid ini amat bertepatan dan sangat dialu-alukan ke arah ‘memudahkan murid untuk memahami novel yang menarik ini’ – meminjam frasa dari bahagian blurb teks Komsas itu sendiri.

Perlu dinyatakan bahawa bahagian Glosari ini tidak ada – serta tidak perlu ada – dalam novel Interlok edisi umum; misalnya edisi 2003.

Maka, terbukti Glosari disediakan khusus untuk Interlok edisi murid bagi membantu pelajar supaya lebih (mudah) memahami novel yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah).

Pada masa sama, seperti yang sudah dihujahkan dan dibuktikan sebelum ini, Pak Lah tidak perlu diheret masuk ke dalam isu yang sedang dibicarakan ini.

Sebaliknya, Kementerian Pelajaran yang melantik panel penilai teks Komsas; Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku pemegang Hak Cipta dan Hak Penerbitan edisi murid (2010); serta dua editor yang dipertanggungjawabkan ‘memurnikan’ novel Interlok (sebuah karya agung oleh seorang sasterawan yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong) menjadi teks edisi murid bertanggungjawab sepenuhnya dalam urusan menyediakan Glosari yang ‘bermaruah’.

Pihak tertentu yang sebelum ini sudah dihujahkan dan dibuktikan tersilap naik kapal, dan kemudian (saya bayangkan) beramai-ramai berenang di lautan bergelora pada malam diterangi cahaya bulan menuju ke sebuah kapal lain, tidak perlu masuk campur kerana apa yang dihujahkan di sini bukan sebahagian daripada teks novel asal yang ditulis Pak Lah; sebaliknya bahagian Glosari dalam edisi murid.

Kasta dan tuhan

Yang Arif,

Pelajar Tingkatan Lima yang diwajibkan khatam novel Interlok edisi murid tidak semestinya memiliki penguasaan laras bahasa sastera yang tinggi, mahu pun memiliki minat serta kemampuan menghayati karya sastera agung.

Maka, kehadiran Glosari sedikit-sebanyak membantu ke arah mencapai objektif yang diharapkan melalui pengajaran dan pembelajaran (P&P) Komsas.

Bayangkan bahawa seorang pelajar sedang membaca novel Interlok edisi murid. Dia melihat frasa ‘kasta Paria’ di halaman 211. Dia juga melihat ‘kasta Brahma’ di halaman 219. Malah, dia mungkin melihat penggunaan ‘kasta’ yang boleh dikira lumayan. Pelajar itu juga melihat frasa ‘Ya tuhanku!’ yang difikirkan oleh watak Maniam di halaman 244.

Sebagai seorang pelajar Tingkatan Lima – sama ada kaum India atau ‘bukan India’; beragama Hindu atau ‘bukan Hindu’ – yang ‘bukan lagi budak-budak’, pelajar itu muka berfikir: Apakah dalam budaya India, kedudukan ‘Paria’ lebih tinggi martabatnya berbanding ‘tuhan’?

Kerana penggunaan huruf besar pada ‘Paria’ membawa makna kata nama khas manakala penggunaan huruf kecil pada ‘tuhan’ membawa makna kata nama am.

Maka, pelajar itu mengambil langkah bijak untuk merujuk Glosari di halaman 419-422 novel Interlok edisi murid untuk mengetahui makna ‘kasta’ dan ‘paria’ kerana kedua-dua istilah itu tidak digunakan secara meluas di negeri-negeri di mana novel itu dijadikan teks Komsas; walaupun khabarnya istilah ‘paria’ adalah bahasa basahan di sekurang-kurangnya sebuah negeri di Malaysia. (Nota: Malaysia, termasuk Semenanjung Malaysia.)

Malangnya, pelajar yang begitu berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai ‘kasta’ dan ‘paria’ (atau ‘Paria’) untuk membantunya menghayati karya agung ini terbantut kerana apa yang ditemuinya hanyalah ‘patah said’, ‘pawai’ dan ‘popadom’.

Popadom, udutan candu

Yang Arif,

Bayangkan bahawa pelajar itu yang sedar dia perlu khatam dan memahami sepenuhnya novel itu untuk lulus peperiksaan subjek Bahasa Malaysia, cuba merujuk makna ‘kasta’ dan ‘paria’ dalam Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, satu lagi terbitan bermutu DBP dan berada di tangan saya sekarang.

Menurut kamus ini, ‘kasta’ adalah ‘golongan masyarakat dalam masyarakat Hindu yang bertingkat-tingkat (Brahman, Kesateria, Waisya dan Sudra)’. Lalu dirujuknya lagi kamus ini dan mendapat maklumat rasmi bahawa ‘paria’ adalah ‘golongan orang atau kasta yang paling rendah martabatnya dalam masyarakat Hindu’.

Akhirnya, pelajar berkenaan yang ‘bukan lagi budak-budak’ sudah mampu membuat rumusan berdasarkan kamus terbitan bermutu DBP: ‘paria adalah masyarakat Sudra iaitu kasta yang paling rendah martabatnya dalam masyarakat Hindu’!

Maka, dengan maklumat palsu itulah juga pelajar berkenaan akan memahami ‘erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Najib Tun Razak’ (petikan blurb edisi murid).

Atau mungkin pelajar berkenaan akan lebih berminat membaca Glosari mengenai ‘udutan candu’ yang diceritakan secara terperinci demi manfaat generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara.

Tidak mencapai objektif

Atau mungkin pelajar itu akan lebih berminat mengetahui makna ‘popadom’ (atau ‘papadam’ dalam Malayalam dan ‘appalam’ dalam Tamil) yang dihuraikan secara panjang-lebar, bagaikan bahagian Glosari dalam novel Interlok edisi murid ini diterbitkan khusus sebagai sebahagian daripada usaha promosi besar-besaran sebuah filem Melayu berjudul Papadom (2009) yang kemudian dibikin semula sebagai Appalam (2010) dalam versi Tamil!

Contoh-contoh kecil yang sempat dibentangkan ini sebenarnya sudah lebih daripada memadai untuk menyokong hujah Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bahawa bahagian Glosari tidak mencapai objektif dan peranan dalam membantu pelajar (lebih) memahami dan menghayati novel Interlok edisi murid.

Atas alasan ini, Kavyan menghujahkan bahawa kerja-kerja ‘memurnikan’ novel Interlok edisi murid, serta kerja-kerja ‘membetulkan’ segala kesalahan fakta yang amat nyata dalam buku ini, perlu juga disertakan (disekalikan) dengan memberi tugas kepada editor terbabit menghasilkan Glosari yang benar-benar ‘bermaruah’, berguna dan memenuhi objektif ke arah membantu pembaca (baca: pelajar) memahami dan menghayati teks Komsas ini.

Yang Arif, I rest my case.

Sila baca:

Sudah terang lagi bersuluh?

Noli Me Tangere

Jangan sentuh Sasterawan Negara Pak Lah

Gapena tersalah naik kapal

Interlok: Prakata yang tiada

Uthaya Sankar SB seorang sasterawan yang menghasilkan sajak, cerpen, makalah dan novel dalam Bahasa Malaysia. Catatan minda beliau berhubung pelbagai perkara boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments