Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Cikgu! Mengapa wanita Melayu tidak setia?

 | January 29, 2011

Penulis mencadangkan beberapa soalan kuiz yang boleh membantu mengembangkan minda pelajar semasa perbincangan di kelas.

COMMENT

Adik-adik sekalian,

Sebagai pelajar Tingkatan Lima yang sudah ‘matang’ dan ‘dewasa’, tentulah anda tidak harus mengharapkan guru-guru terus menyuapkan anda dengan pelbagai maklumat dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sewaktu anda mengkaji teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas) ke arah ‘menjalani hidup bersama sebagai rakyat dalam sebuah negara yang berdaulat’ serta tahu ‘erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Razak’ (petikan keramat blurb buku Interlok edisi murid).

Jadi, apa kata anda berusaha mengadakan kuiz yang benar-benar mencabar minda, menuntut pemikiran matang dan dewasa, berfikir di luar kotak secara kreatif dan inovatif, serta tetap berpegang teguh pada fakta, sejarah, realiti sosial dan kehidupan sebenar masyarakat di Malaya sekitar 1910-1957, seperti digambarkan dengan penuh jaya oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang di-Pertuan Agong pada 1996.

Maka, berikut empat soalan contoh yang saya sediakan secara rambang tanpa sebarang prejudis atau niat menyentuh sensitiviti kaum India dan agama Hindu untuk dijadikan soalan kuiz di kelas:

Soalan Satu

Apabila Muthu menyarankan Maniam menjual mi di Pitt Street, apakah alasan sebenar Maniam menolak cadangan itu?

Soalan Dua

Apakah dua monumen penting yang ‘ghaib’ semasa Maniam digambarkan sedang berjalan-jalan di Pitt street setelah tiba di Pulau Pinang dari Nagapatnam?

Soalan Tiga

Apakah kenderaan yang tiba-tiba ‘muncul’ semasa Maniam bekerja sebagai kuli di pelabuhan di bawah pengawasan seorang kepala?

Soalan Empat

Pada sekitar tahun 1900-an, mengapakah lelaki warga India yang datang ke Malaya tidak berminat untuk berkahwin dengan wanita tempatan?

Adik-adik sekalian,

Soalan-soalan di atas dipetik secara rambang berpandukan hasil pembacaan teliti halaman 216-218, novel Interlok edisi murid (2010). Anda tentu boleh menyediakan ratusan soalan bermutu apabila benar-benar membaca novel ini sepenuhnya.

Pada masa sama, jangan lupa bahawa antara objektif Komsas diperkenalkan pada tahun 2000 adalah untuk menerapkan minat membaca pelbagai bahan sastera dalam kalangan pelajar, mempertingkatkan kemahiran berbahasa, merangsang kemahiran menilai dan mengkritik pelbagai karya sastera, serta memupuk semangat yakin diri.

Selaras dengan usaha murni itu, empat soalan contoh di atas tidak lari daripada landasan asal.

Malah, suatu peluang untuk membuktikan bahawa sesungguhnya pelajar Tingkatan Lima sudah ‘dewasa’ dan ‘matang’ serta mampu menerima fakta dan sejarah sebagai maklumat berguna yang sedikit pun tidak bermaksud menghina sesiapa.

Jawapan

Adik-adik sekalian,

Harus saya katakan bahawa sekiranya seseorang itu hanya membaca novel Interlok edisi murid (2010), maka mungkin mindanya tidak akan ‘matang’ untuk mampu mencari jawapan logik bagi soalan-soalan yang dikemukakan.

Sebaliknya, pelajar terbabit perlu membaca sekurang-kurangnya satu edisi asal di mana Hak Cipta karya dipegang oleh Pak Lah.

Bagi tujuan itu, saya memilih edisi 2003 bagi memastikan semua jawapan yang dikemukakan adalah betul, tepat dan sahih serta tidak dianggap sebagai mengundang provokasi atau menyentuh sensitiviti kaum India dan agama Hindu.

Malah, semua jawapan berikut adalah fakta, realiti sosial dan kebenaran yang dilahirkan secara jujur oleh Pak Lah dalam bentuk karya fiksyen mengenai keadaan sebenar di Malaya pada sekitar 1900-an.

Jawapan Satu

Pada halaman 217 (edisi murid), apabila Muthu menyarankan Maniam menjual mi di Pitt Street, Maniam menolak cadangan itu atas alasan berikut: ‘Dia tidak tertarik pada pekerjaan itu kerana yang menjual makanan semuanya orang Tamil Islam, kecuali yang menjual kacang putih sahaja.’ (Halaman 241, edisi 2003)

Jawapan Dua

Pada halaman 216 (edisi murid), dua monumen penting yang ‘ghaib’ semasa Maniam digambarkan sedang berjalan-jalan di Pitt street setelah tiba di Pulau Pinang dari Nagapatnam adalah ‘sebuah kuil India yang besar’ dan ‘masjid untuk orang-orang Muslim’. Kedua-dua rumah ibadat itu wujud pada halaman 241 novel Interlok versi asal (2003) tetapi ‘ghaib’ dalam novel Interlok edisi murid (2010).

Jawapan Tiga

Pada halaman 217 (edisi murid), kenderaan yang tiba-tiba ‘muncul’ semasa Maniam bekerja sebagai kuli di pelabuhan di bawah pengawasan seorang kepala pada tahun 1910 adalah sebuah lori yang tiba-tiba sahaja berada di lokasi itu! Sedangkan di halaman 242, novel Interlok versi asal (2003), objek berkenaan langsung tidak wujud.

Jawapan Empat

Pada halaman 218 (edisi murid), kita dimaklumkan bahawa Maniam masih setia kepada isterinya, Ambika yang berada di Kerala. Pada halaman 243 novel Interlok versi asal (2003), didedahkan bahawa ‘Orang-orang India tidak ada yang kahwin di sini, kerana mereka tidak suka pada perempuan-perempuan tempatan. Perempuan-perempuan tempatan seperti yang didengar Maniam daripada teman-temannya, tidak setia dan tidak taat pada suami seperti perempuan-perempuan India.’

Adik-adik sekalian,

Demikian antara fakta, sejarah, realiti sosial, kisah masyarakat dan hakikat hidup yang benar-benar berlaku pada sekitar tahun 1910-an dan digambarkan dengan jayanya oleh Pak Lah menerusi Interlok (Hak Cipta 1971) yang diterbitkan semula beberapa kali oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), sebelum karya agung itu melalui proses awal pemurnian apabila diterbitkan sebagai Interlok edisi murid (2010) untuk kegunaan Komsas.

Bagi soalan satu, dua dan tiga di atas, mungkin anda boleh mengadakan perbincangan secara sihat dalam kumpulan melibatkan pelajar pelbagai kaum. Bagi soalan keempat pula, memandangkan ia mungkin sahaja tiba-tiba dipolitikkan pihak tertentu dengan alasan ‘menyentuh sensitiviti kaum tertentu’ – lebih kurang seperti isu ‘remeh-temeh’ berhubung istilah ‘paria’ dan ‘kasta’ yang dikatakan tidak menjadi masalah – maka eloklah anda ajukan soalan sama kepada guru yang mengajar Komsas:

‘Cikgu! Mengapa wanita Melayu pada tahun 1900-an tidak setia dan tidak taat kepada suami, seperti digambarkan oleh Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain menerusi novel Interlok?’

Percayalah! Guru-guru sekolah yang berjuang sepenuh jiwa menyokong penuh penggunaan novel Interlok sebagai teks Komsas pasti akan berasa bangga kerana pelajar pelbagai kaum sudi tampil meminta beliau berkongsi pandangan dalam ‘isu-isu penting, matang dan dewasa’ yang bakal menentukan hala tuju negara.

Sila baca:

Cikgu! Maniam bukan paria

Cikgu! Saya tidak faham bahasa

Dirgahayu Maniam dan keturunannya

Uthaya Sankar SB merakamkan terima kasih kepada seorang ibu dari Kepong yang mula-mula memberitahunya mengenai isu sebenar Interlok. Catatan itu boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments