Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Emansipasi wanita

 | February 14, 2011

Kehadiran kebanyakan watak wirawati dalam kebanyakan filem Tamil dewasa ini hanyalah untuk membenarkan diri mereka dieksploitasi sepenuhnya.

COMMENT

Saya amat menyampah dengan wanita yang tidak mampu dan tidak mahu berdikari; termasuk dalam soal menggunakan nama sendiri – seperti yang saya ungkapkan dalam cerpen “Wanita” (Siru Kambam, DBP: 1996).

Cerpen itu mengisahkan watak ‘Saya’ seorang pemuda yang mempunyai pandangan tidak konvensional berhubung kedudukan golongan isteri khasnya dan wanita kaum India amnya di sisi golongan suami khasnya dan lelaki amnya.

Pada pendapat ‘Saya’, walaupun suami dan isteri sudah bersatu hati dan jiwa, mereka masih juga dua individu yang berbeza. Hal ini bermakna si isteri masih ada harga diri, martabat diri dan maruah diri.

Sikap ‘Saya’ kurang disenangi banyak pihak; khususnya golongan wanita di tempat kerjanya yang menganggap ‘Saya’ cuba mempengaruhi mereka dengan pandangannya yang “tidak betul”.

Pada akhir cerpen, ‘Saya’ memutuskan bahawa “wanita adalah selamanya hamba abdi yang lemah selagi mereka tidak memerdekakan diri dan minda. … selagi mereka masih menganiaya diri sendiri; mengikat diri pada amalan karut yang tidak berasas.”

Tentu sahaja hujah-hujah yang saya kemukakan melalui cerpen itu adalah pandangan dan pendirian saya berhubung soal hak, maruah, kebebasan dan martabat wanita kaum India.

Di sisi lain, sebagai seorang peminat filem dalam pelbagai bahasa dari seluruh dunia, saya perhatikan bahawa rata-rata watak wanita, yang kononnya “heroin” dalam kebanyakan filem Tamil, hanya menjadi tempelan dan bahan pameran. Saya merumuskan bahawa kehadiran kebanyakan watak “wirawati” dalam kebanyakan filem Tamil dewasa ini hanyalah untuk membenarkan diri mereka dieksploitasi sepenuhnya secara fizikal dan seksual di layar perak.

Mujurlah (pernah) ada pelakon berbakat seperti Revathi, Saritha, Radhika, Shalini, Shobana dan Suhashini yang ada harga diri dan membuktikan kepada peminat filem Tamil bahawa pelakon wanita juga boleh tampil sebagai “wirawati” (nayagi) pada erti kata sebenar.

Filem animasi

Filem animasi Inggeris pula sering membuai penonton dengan menampilkan watak wanita (remaja atau dewasa) yang mengimpikan kehadiran seorang putera yang kaya dan kacak untuk mengahwininya dan membawanya ke istana.

Bagaimanapun, tidak lama dahulu, saya berpeluang menonton tiga filem animasi Inggeris yang benar-benar membuatkan saya menarik nafas lega dan bersyukur dengan mesej yang dipaparkan.

The Princess and the Frog (2009) yang diadaptasi daripada novel The Frog Princess (2002) menampilkan watak Tiana, gadis berusia 19 tahun yang bercita-cita tinggi dan mampu berdikari.

Dia tidak sekadar menjadikan Putera Naveen, 20 tahun, dari Maldonia (India?) sebagai suami, sebaliknya juga sebagai rakan kongsi perniagaan restoran yang menjadi impiannya sejak kanak-kanak.

Barbie and the Three Musketeers (2009) yang diadaptasi daripada novel The Three Musketeers (1844) menampilkan watak Corinne, 17 tahun, yang bercita-cita menjadi “musketeer” untuk mempertahankan keluarga diraja Perancis.

Corinne bersama-sama Viveca, Aramina dan Renee dilatih oleh Helene, seorang wanita tua, sehingga menjadi benar-benar cekap dan mampu mempertahankan Putera Louis, 18 tahun.

Pada akhir cerita, keempat-empat “musketeer” wanita itu meneruskan tugas tanpa memikirkan untuk bersenang-lenang di istana atau hidup bahagia selepas dikahwini putera yang kaya dan kacak.

Filem Alice in Wonderland (2010) membuatkan saya sedikit bimbang kerana watak Alice dalam filem baru itu berumur 19 tahun, sedangkan Alice dalam novel asal (1865) karya Lewis Carroll berumur 6 tahun. Begitu juga dalam kebanyakan animasi berdasarkan kisah klasik itu sebelum ini; Alice adalah kanak-kanak.

Bagaimana jika ada “suntikan nilai jahat” dalam filem baru ini seperti yang sering dituduh dilakukan Hollywood “dalam usaha terancang Yahudi merosakkan orang Timur” yang terlalu suci dan murni?

Anak saya, Devishi Prabha Sankari, begitu berminat menonton filem Alice in Wonderland di pawagam. Maka, saya membuat tempahan tiket dengan sedikit rasa was-was; memikirkan kemungkinan ada unsur “dewasa” disuntik ke dalam filem itu kerana Alice berumur 19 tahun.

Wanita bertulang belakang

Namun, selepas menonton filem itu pada 12 Mac 2010, saya berasa amat gembira kerana watak Alice muncul sebagai wanita yang bertulang belakang dan berwawasan.

Devishi turut memuji watak Alice yang mampu berfikir secara rasional dan matang, serta bercita-cita meneruskan perniagaan yang diwarisi daripada bapanya; berbanding berkahwin pada usia 19 tahun.

Mujurlah emansipasi wanita belum mati!

Uthaya Sankar SB menulis tesis berjudul “Imej Wanita Kaum India Dalam Cerpen Bahasa Malaysia” (1998) dan petikan kajian ilmiah itu boleh dibaca di www.uthayasb.blogspot.com


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments