Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube Vimeo

ROS Lboard

Konvoi ke Rumah Ibadat

 | April 4, 2011

Kunjungan ke enam rumah ibadat pelbagai agama berjaya memupuk persefahaman, integrasi dan persaudaraan.

Walaupun masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama tinggal bersama di negara ini sejak berkurun-kurun lamanya, persefahaman dan perasaan saling menghormati dalam kalangan Bangsa Malaysia sering dipolitikkan pihak berkepentingan.

Pada pertengahan tahun lalu, misalnya, pelbagai isu berbaur perkauman dan konflik agama disensasikan pelbagai pihak dan media tertentu. Saya percaya gambaran negatif yang ditonjolkan itu tidak dipersetujui majoriti Bangsa Malaysia yang mengutamakan perpaduan dan integrasi.

Hasil perbincangan secara terbuka di laman sosial Facebook pada 1 September 2010, sekumpulan individu yang mencintai keamanan dan perpaduan merancang mengadakan kunjungan ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama untuk mengeratkan persaudaraan sesama rakyat pelbagai kaum, etnik, budaya, adat dan agama.

Sejarah dan kejayaan tidak diukur pada kuantiti tetapi pada kualiti dan kesan yang dibawa. Dalam hal ini, Konvoi ke Rumah Ibadat pada 2 Oktober 2010 ternyata mencatat sejarah tersendiri; walaupun tidak melibatkan sebarang “tokoh” dan politikus yang mampu menjana liputan pelbagai media arus perdana.

Peserta berkumpul di Kuil Subramaniam Chettiar, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebelum pukul 9 pagi. Antara yang hadir ialah Aslambigai yang membantu menyelaraskan program, Nur Amin bersama empat anak, Nizha Periaswamy bersama jurukamera akhbar Kosmo, serta Mohd Annas Shafiq Ayob dan Muhammad Shairuli Famie Ramli dari Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Kami meluangkan masa sekitar 30 minit di kuil berkenaan sambil berkongsi maklumat budaya dan agama Hindu bagi membantu pemahaman dan rasa saling menghormati; seperti yang amat diperlukan ke arah pembinaan Bangsa Malaysia. Aslambigai menjawab pertanyaan peserta konvoi berkaitan kuil dan agama Hindu.

Sebagai rakyat Malaysia yang kaya dengan kepelbagai budaya dan agama, kita selalu melihat rumah-rumah ibadat dan pasti ada banyak pertanyaan yang timbul atas dasar rasa ingin tahu. Konvoi ke Rumah Ibadat membuka laluan ke arah itu dan ternyata dimanfaatkan sepenuhnya oleh kesemua sepuluh peserta yang memahami makna sebenar integrasi.

Sepanjang konvoi, tidak timbul isu “cuba mempengaruhi” peserta dengan ajaran mana-mana agama. Sebaliknya, para peserta diberi peluang untuk “mengenali” budaya dan cara hidup rakan-rakan daripada agama lain.

Tokong dewa pengawal

Destinasi seterusnya, gurdwara iaitu rumah ibadat penganut agama Sikh. Kami amat bertuah kerana beberapa individu yang berada di gurdwara menawarkan diri untuk menjadi semacam pemandu pelancong.

Kami diberi penerangan yang cukup mendalam mengenai konsep, amalan dan budaya dalam agama Sikh. Peserta konvoi (lelaki dan wanita) juga diwajibkan menggunakan kain untuk menutup rambut sebelum masuk ke gurdwara. Amalan mencuci kaki juga perlu dipatuhi, sebagaimana di kebanyakan rumah ibadat agama-agama lain.

Tentu sahaja banyak ilmu dan pengetahuan baru diperoleh melalui kunjungan ke gurdwara. Antaranya, mengenai kitab suci agama Sikh, bilik khas bagi menyimpan kitab suci berkenaan, upacara perkahwinan, fatwa, makanan nabati (vegetarian) dan simbol-simbol keagamaan.

Destinasi ketiga adalah Gereja Katolik St Joseph, Jalan Sentul. Berbeza dengan rumah-rumah ibadat agama lain, kami dibenarkan masuk tanpa perlu menanggalkan kasut. Gereja memang selalu dipaparkan dalam filem-filem Inggeris dan kali ini peserta konvoi berpeluang melihat sendiri suasana di dalam sebuah gereja.

Berlaku juga sedikit perkongsian maklumat dalam kalangan peserta konvoi mengenai gereja, Jesus (Nabi Isa) dan mazhab-mazhab dalam agama Kristian. Dialog antara agama seperti ini sesuatu yang amat sihat dan sebenarnya digalakkan dalam semua agama. Malangnya, terdapat pihak tertentu yang cuba menidakkan hakikat itu serta cuba menghalang sebarang bentuk dialog antara agama. Betapa malang!

Rumah ibadat keempat yang kami tujui adalah sebuah tokong (Cina) yang sangat indah dan penuh warna. Ukiran naga cukup mempesonakan. Kami sempat melihat cara seorang wanita warga emas bersembahyang. Seorang lelaki warga emas pula menerangkan bahawa tokong itu bagi dewa pengawal.

Peserta konvoi tidak berasa kekok untuk melihat dan meninjau objek-objek yang terdapat di tokong berkenaan. Dan tentu sahaja tidak timbul soal keimanan tergugat kerana konvoi ini menggabungkan peserta yang hadir dengan fikiran terbuka untuk saling mengenali; bukan mempengaruhi.

Destinasi kelima kami adalah Masjid Al-Hidayah, Jalan Sentul. Pihak pengurusan masjid ternyata memahami ajaran sebenar agama Islam dan Hadis, serta tidak timbul masalah untuk membenarkan peserta konvoi bukan Islam memasuki masjid dengan niat baik.

Kehebatan Islam

Annas bertindak sebagai pemandu pelancong untuk menerangkan kepada kami fungsi dan peranan masjid. Pasti sahaja saya bertanya, apakah benar ada syarat tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid. Juga, adakah terdapat ruang/bahagian tertentu di dalam masjid yang “lebih mulia” berbanding ruang/bahagian lain.

Penerangan dan penjelasan yang diberikan amat membantu peserta konvoi mendapat maklumat sebenar mengenai kehebatan agama Islam; berbanding pelbagai isu yang sengaja dipolitikkan oleh politikus dan beberapa pihak lain.

Saya secara peribadi menyampah dengan sikap mana-mana pihak – politikus mahu pun “tokoh” agama – yang memberi gambaran/maklumat salah mengenai Islam, khususnya dalam isu dialog antara agama dan memasuki masjid.

Rumah ibadat keenam yang kami kunjungi adalah wat yang dinamakan Sri Lanka Buddhist Temple. Seperti dinyatakan Nur Amin dan Aslambigai, ciri-ciri binaan, ukiran dan perhiasan Sri Lanka dapat diperhatikan di bangunan wat ini yang dirasmikan pada 10 Jun 2000.

Semasa kami tiba, upacara sembahyang sedang berlangsung. Selepas upacara itu selesai, kami melangkah masuk ke ruang yang menempatkan berhala besar Buddha.

Rumah ibadat agama Buddha ada keunikan tersendiri. Namun, pada masa sama, terdapat juga persamaan dengan agama-agama lain. Salah seorang peserta remaja menceritakan mengenai apa yang pernah dibacanya mengenai Siddharta Gautama. Saya mencadangkan kepadanya supaya menonton filem Little Buddha (1994) untuk meningkatkan pemahaman.

Selepas meluangkan masa sekitar 30 minit di wat berkenaan, kami bertolak ke sebuah restoran untuk minum dan berbual mengenai hasil kunjungan ke enam rumah ibadat dalam masa sekitar tiga jam. Ternyata banyak perkara baru yang dipelajari dan diketahui. Banyak kemusykilan yang terjawab. Banyak ilmu ditimba.

Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling mengenali. Konvoi ini ternyata mengeratkan silaturahim dan mewujudkan persaudaraan dalam kalangan peserta konvoi. Malah, membantu menghancurkan segala gambaran negatif yang diberikan golongan politikus dan beberapa media.

Kunjungan ini dilakukan dalam usaha murni membantu meningkatkan persefahaman, perpaduan dan nilai persaudaraan dalam kalangan Bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik, budaya, bahasa dan agama.

Apa yang menarik, peserta sendiri bertindak sebagai penyampai maklumat mengenai rumah-rumah ibadat yang dikunjungi. Kunjungan pada skala kecil-kecilan itu berjaya menghindarkan segala salah tanggap dan pandangan tidak benar mengenai rumah-rumah ibadat pelbagai agama serta mengenai agama-agama itu sendiri.

Secara tidak langsung, Konvoi ke Rumah Ibadat pada 2 Oktober 2010 membantu peserta lebih memahami dan menghayati Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Uthaya Sankar SB dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) bercadang menganjurkan “Konvoi II ke Rumah Ibadat” pada Mei 2011 jika mendapat sambutan. Hubungi [email protected] untuk maklumat lanjut.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments