Facebook Twitter Google Plus Vimeo Youtube Feed Feedburner

ROS LBoard 1

Teruskan perjuanganmu, Pak Samad!

 | July 4, 2011

Penulis yakin bahawa walaupun tanpa sokongan sesiapa, Datuk A Samad Said pasti tidak akan berundur.

COMMENT

Saya bertemu Sasterawan Negara Datuk A Samad Said (Pak Samad) pada 26 Jun 2011 sempena Konvensyen Penulis di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC). Antara perkara yang kami bualkan dan bincangkan adalah berkaitan aktiviti Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) dan isu-isu terkini dalam sastera negara.

Kemudian, pada keesokannya, saya mendapat berita bahawa Pak Samad disoal siasat oleh polis berhubung sajak “Unggun Bersih” yang disampaikannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 pada 19 Jun lalu.

Sebenarnya, saya tidak terkejut jika Pak Samad yang berumur 76 tahun itu diperlakukan begitu oleh polis – atas arahan pemerintah, tentunya – kerana itu sahaja yang mampu mereka lakukan. Fizikal sasterawan kelahiran Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka itu mungkin kelihatan lemah tetapi minda dan semangatnya tidak begitu.

“Samad Taata (datuk) nampak semakin kurus dan kurang sihat,” komen anak saya, Devishi Prabha Sankari, selepas bertemu Pak Samad di SACC pada 29 Jun (gambar). “Tapi masih kuat macam Gandhi Taata.”

Saya dan Kavyan sentiasa menyokong perjuangan berani dan tegas Pak Samad. Beliau tidak tunduk kepada sesiapa. Beliau tidak membenarkan diri, minda dan suaranya diperkotak-katikkan, dimanipulasi dan diperkosa sesiapa.

Malah, itulah antara sebab Jawatankuasa Kavyan sebulat suara menyokong dan bersetuju mengangkat beliau menjadi Penasihat Agung Kavyan pada 2003. Bukan semata-mata kerana beliau menerima Anugerah Sastera Negara yang membawa gelaran Sasterawan Negara pada 1985.

Datuk Dr Anwar Ridhwan juga pernah menjadi Penasihat Kehormat Kavyan berikutan kematian Dr Othman Puteh; tetapi beliau pada waktu itu belum bergelar Sasterawan Negara.

Berbalik pada isu Pak Samad disiasat polis berikutan sajak “Unggun Bersih” yang disampaikannya, amat nyata bahawa polis bertindak “kurang bijak”. Pasti pegawai yang mengeluarkan arahan itu tidak mengenali Pak Samad. Mungkin juga tidak tahu apa-apa mengenai sastera dan “kuasa sastera”. Juga belum kenal “aura Pak Samad”.

Dalam sidang media di pentas aktiviti SACC pada 29 Jun, Setiausaha Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Hasni Abas mendedahkan bahawa polis yang menyiasat Pak Samad bertanyakan berapa bayaran yang diberi oleh Bersih kepada Pak Samad untuk membaca sajak itu; dan soalan itu disifatkan Hasni sebagai suatu penghinaan terhadap Pak Samad yang berjuang demi seni dan sastera.

Membela Pak Samad

Presiden Paksi, Che Shamsuddin Othman pula melahirkan rasa sedih dan kecewa atas sikap berdiam diri golongan sasterawan tanah air berikutan insiden Pak Samad dihina sebegitu rupa.

“Pak Samad adalah khazanah dan aset penting negara. Beliau sepatutnya dibanggakan dan dimuliakan. Para penulis, pengarang dan sasterawan sepatutnya sama-sama tampil menyokong dan mempertahankan beliau,” katanya.

Pada 28 Jun, saya menulis di blog bahawa saya yakin dan percaya yang Gapena, Pena, Kalam, Kemudi dan kesemua persatuan penulis Melayu di Malaysia, serta kesemua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang pernah menyertai perhimpunan besar-besaran di Rumah Gapena pada 15 Januari lalu atas nama mempertahankan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) akan sekali lagi mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai menyokong Pak Samad yang juga Sasterawan Rakyat dan Negarawan Unggul berjiwa (dan berjanggut!) putih dan bersih.

Saya amat optimis bahawa perhimpunan besar-besaran seumpama itu akan diadakan segera; mungkin sebelum 9 Julai ini sebagai bukti bahawa persatuan penulis dan NGO berkenaan tidak “pilih bulu” sebaliknya benar-benar memperjuangkan hak, maruah dan kebebasan berkarya para Sasterawan Negara yang menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang diPertuan Agong.

Saya juga yakin, percaya dan amat optimis bahawa empat Sasterawan Negara (atau kini mungkin lima dengan adanya SN ke-11 iaitu Datuk Kemala yang juga seorang penyair) yang pernah mengeluarkan kenyataan bersama pada 8 Mac akan mengeluarkan kenyataan serupa berikutan insiden Pak Samad disiasat berhubung sajak yang beliau hasilkan.

“Benarkanlah penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kenyataan itu. Kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita, dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawannya untuk menulis, berfikir dan berpendirian. Marilah kita, rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya darinya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.”

Demikian petikan daripada kenyataan penuh Sasterawan Negara Dr Muhammad Haji Salleh, Dr Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Datuk Noordin Hassan yang turut disiarkan di beberapa media serta turut saya dokumentasikan di blog untuk rujukan anak-cucu.

Ada pihak yang membisikkan keraguan terhadap kesediaan (baca: keberanian) Gapena dan sekutunya, NGO Melayu serta para Sasterawan Negara tampil membela Pak Samad.

Khabarnya, dalam isu novel Interlok Edisi Murid, pemerintah menerusi Kementerian Pelajaran dan Menteri Pelajaran merangkap Timbalan Perdana Menteri mahu mengekalkan novel berkenaan sebagai teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas).

Dalam isu “Unggun Bersih” pula, tidak kelihatan mana-mana Menteri, Timbalan Menteri (Dr Wee Ka Siong, misalnya) atau wakil pemerintah yang tampil mempertahankan karya Pak Samad. Maka, mana mungkin Gapena dan sekutunya, NGO Melayu yang menyokong UMNO-BN serta Sasterawan Negara yang lain berani menentang arus?

Demikian desas-desus yang kedengaran dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang lebih mengenali Pak Samad berbanding kebanyakan Menteri dalam Kabinet.

Tidak menanti sokongan

Namun, saya percaya bahawa tanpa sokongan daripada mana-mana pihak sekali pun, Pak Samad akan meneruskan perjuangannya; sebagaimana beberapa perjuangan berani beliau sebelum ini.

Ingat lagi “Mogok Seni” pada 1990 dan “Mogok Sastera” pada 2000? Kedua-duanya dilakukan secara sendirian tanpa menanti sokongan daripada sesiapa; Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), misalnya.

Dalam tulisan bertajuk “Alahai, Sasterawan Negara” di sebuah portal berita pada 9 Mei lalu, saya ada menyatakan bahawa saya sebagai khalayak sastera amat hairan mengapa “tin-tin kosong” hanya berbunyi secara amat selektif.

Tidak pula kedengaran “suara” mengenangkan nasib Pak Samad dan karya-karya beliau. Begitu juga dengan nasib karya-karya Allahyarham Datuk Dr Usman Awang.

Apakah Sasterawan Negara yang disanjung tinggi akan hilang segala kedudukan dan hak sebaik beliau (atau keluarga) tidak lagi menyerahkan hak cipta karya kepada pemerintah (atau agensinya)? Demikian boleh dipersoalkan oleh rakyat.

Bagaimanapun, dalam isu tiadanya sokongan pihak tertentu, Pak Samad yang merupakan pengarang Salina, Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Hujan Pagi, Adik Datang dan Wira Bukit berkata, mereka itu mungkin sahaja terpaksa menjaga “periuk nasi” sendiri.

Malah, Pak Samad tidak “menanti” sokongan daripada mereka untuk meneruskan perjuangan.

Selamat berjuang, Pak Samad! Tidak akan tercapai kebaikan sekiranya tidak ada sesiapa yang berani memperjuangkan kebenaran, seperti kata Mahatma Gandhi.

UTHAYA SANKAR SB seorang pengarang keturunan Malayali dan etnik itu sering dikaitkan dengan warna KUNING. Uthaya juga suka memakai pakaian yang murah tetapi BERSIH.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments