Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Kasih Puan Siti – Bahagian 2

 | August 8, 2011

Bahagian akhir parodi ini mengisahkan seorang pengetua yang menjadi sebutan kerana semangat 1Malaysia yang diamalkannya.

COMMENT

Apabila penggal persekolahan bermula pada 13 September selepas cuti Aidilfitri dan Cuti Pertengahan Semester 2, Puan Siti mencadangkan supaya acara khas diadakan di sekolah sempena sambutan Deepavali.

“Saya amat rindu untuk menikmati suasana sambutan Deepavali seperti semasa saya menjadi pelajar,” kata Puan Siti pada mesyuarat guru. “Bukan hanya kerana makanan pelbagai jenis yang dihidangkan tetapi juga kerana keunikan budaya kaum India.”

Lalu, beliau menceritakan mengenai pengalaman menyambut Tahun Baru Cina, Deepavali, Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Gawai, Krismas dan ulang tahun kemerdekaan bersama-sama rakan-rakan pelbagai kaum di sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.

Penceritaan beliau membuatkan para guru pelbagai kaum dan agama turut bernostalgia terhadap kenangan silam pada tahun 70-an dan 80-an.

“Saya perhatikan bahawa pelajar kita kini terlalu sibuk dengan akademik, kelas tambahan dan teknologi moden sehingga kurang berpeluang menikmati keindahan sambutan perayaan pelbagai kaum sebagai sebuah keluarga besar.”

Pemerhatian Puan Siti turut dikongsi para guru SMK Che’ Wan Thani.

“Benar, puan. Saya secara peribadi amat rindu untuk melihat perpaduan seperti yang wujud semasa kita kanak-kanak dahulu,” kata Cikgu Balasubramaniam.

Maka, akhirnya, keputusan dicapai untuk mengadakan acara sambutan sempena Deepavali. Modul sama juga akan digunakan semasa sambutan Tahun Baru Cina, Aidilfitri dan perayaan-perayaan lain bermula tahun hadapan.

Ternyata aura Puan Siti masih kuat. Fenomena yang diciptanya secara tidak dirancang semasa sambutan Bulan Kemerdekaan 2010 menjadi pemangkin kepada usaha-usaha pembinaan Bangsa Malaysia pada peringkat sekolah.

“Pernahkah puan terfikir mengenai semua ini?”

Demikian tanya wartawan yang mewawancara Puan Siti bagi ruangan tokoh di akhbar yang diwakilinya.

“Saya tidak pernah merencanakan semua ini,” kata beliau dengan penuh ikhlas sambil tersenyum simpul. “Saya cuma melakukan apa yang saya rasa betul, sesuai, wajar dan perlu ke arah pembinaan Bangsa Malaysia. Saya tidak mahu kes-kes terpencil yang menggugat perpaduan kaum menular kepada generasi muda.”

“Tapi bagaimana kalau ada pihak yang mempersoalkan langkah puan mengadakan acara khas di sekolah sempena sambutan Deepavali?” Tanya wartawan itu yang nampaknya memang sengaja mahu bersikap provokatif.

Aura positif

Puan Siti tersenyum manis umpama seorang ibu yang sedia melayan pertanyaan seorang anak kesayangan yang penuh dengan rasa ingin tahu mengenai perkara-perkara yang berlaku di sekeliling.

“Saya tidak melakukan apa-apa yang salah atau bertentangan dengan peraturan mahu pun undang-undang negara. Malah, saya tidak melakukan apa-apa yang baru. Saya cuma menyambung legasi peninggalan tokoh-tokoh besar seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ Usman Awang. Saya benar-benar berharap tidak ada sesiapa yang cuba mempolitikkan perkara baik yang berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Che’ Wan Thani.”

“Tapi mengapa Deepavali?”

Ternyata wartawan muda itu sengaja berusaha mendapatkan lebih banyak maklumat. Mungkin supaya boleh dijadikan kontroversi bagi melariskan jualan akhbar.

“Tiada sebab khusus, sebenarnya. Secara kebetulan, itulah perayaan yang terdekat dan terakhir sebelum cuti penggal akhir tahun bermula. Saya juga melihat sambutan ini sebagai peluang untuk pelajar merehatkan minda. Malah, sambutan nanti bukanlah berciri seratus peratus perayaan Deepavali mengikut tradisi kaum India.”

“Maksud puan?”

“Selain daripada penampilan budaya kaum India seperti muzik, tarian, makanan, permainan dan pakaian tradisional, majlis juga akan diserikan dengan persembahan budaya pelbagai kaum dan etnik. Saya mahu menyediakan ruang kepada pelajar dan guru untuk saling mengenali, memahami dan menghormati kepelbagaian yang wujud,” Puan Siti menjelaskan dengan penuh sabar.

Wartawan itu mengangguk-angguk sambil mencatatkan sesuatu dalam buku nota. Jurufoto pula sibuk merakamkan foto dari pelbagai sudut sepanjang wawancara berlangsung.

“Saya pengetua di sebuah sekolah menengah kebangsaan dan sewajarnya saya bersikap serta berfikiran kebangsaan, bukan bersikap perkauman. Jadi, sebenarnya tiada apa-apa yang luar biasa dalam apa yang saya lakukan,” katanya.

Selesai wawancara, wartawan dan jurufoto itu melangkah keluar dari pejabat pengetua. Mereka dapat melihat beberapa kumpulan pelajar pelbagai kaum sedang tekun membuat persiapan di sekitar sekolah bagi sambutan khas sempena Deepavali. Beberapa guru turut hadir menyelia dan membantu.

Keceriaan dan kegembiraan jelas terbayang pada wajah mereka. Cahaya perpaduan terpancar pada aksi dan suara. Aura positif yang ditiupkan Puan Siti ternyata menjadi gelombang positif yang amat besar dan berterusan.

“Saya rasa ramai pemimpin negara serta Kementerian Pelajaran sendiri perlu belajar daripada Puan Siti.” Demikian salah satu komen daripada pembaca yang disiarkan di sebuah portal berita dalam talian. “Barulah akan lahir Bangsa Malaysia dan 1Malaysia yang dilaung-laungkan.”

“Encik dari surat khabar, ya?” Tanya seorang pelajar kaum Cina yang sedang tekun belajar melukis kolem bersama rakan-rakannya.

“Ya. Kenapa?” Wartawan itu bertanya sambil memberi isyarat mata kepada jurufoto; meminta mengambil foto kumpulan pelajar berkenaan.

“Tak ada apa-apa, encik. Kami rasa amat gembira sebab media yang selalu membuat liputan mengenai orang politik dan artis, akhirnya turut memberi perhatian kepada pengetua kesayangan kami,” katanya sambil tersenyum lebar dan penuh ikhlas.

Dalam diam, wartawan muda itu mengakui betapa para pelajar dan guru SMK Che’ Wan Thani amat bertuah mempunyai seorang pengetua seperti Puan Siti Megawati.

Bahagian awal:

Kasih Puan Siti – Bahagian 1

Uthaya Sankar SB menghasilkan faksyen ini berikutan insiden melibatkan beberapa pengetua yang dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman sejak setahun lalu.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments