Storify Feed Feedburner Facebook Twitter Flickr Youtube

ROS Lboard

Menduga lubuk Najib di Pekan

 | December 9, 2011

Berdasarkan prestasi pembangkang pada PRU 2008, meletakkan calon PAS merupakan keputusan terbaik berbanding calon PKR.

COMMENT

Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan tidak berapa lama sahaja lagi dijangka menjadi pilihan raya paling sengit dan tidak mustahil bertukar menjadi medan pertempuran paling kotor dalam sejarah.

Dalam pilihan raya kali ini, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja perlu membuktikan dirinya diterima sebagai PM apabila buat pertama kali beliau menerajui jentera perang Barisan Nasional (BN).

Malahan Najib harus mampu menterjemahkan usaha kerasnya selama hampir empat tahun ini dengan kemenangan cemerlang melebihi dua pertiga di peringkat pusat di samping kemampuan mempertahankan lubuknya sendiri di Pekan, Pahang.

Apatah lagi, dalam sejarah pilihan raya negara ini, masih belum ada mana-mana PM yang merekodkan kekalahan di laman mereka sendiri.

Berdasarkan analisa semasa dan keputusan pilihan raya lalu, pilihan raya kali ini bolehlah dianggap sebagai peluang terbaik pembangkang bukan sahaja untuk menerajui kerajaan malah juga peluang untuk menumbangkan PM di laman sendiri.

Meskipun ianya bukanlah suatu kerja mudah, kebarangkalian untuk pertama kali berlaku dengan Najib Razak PM yang paling banyak dibayangi persepsi buruk sebagai mangsa pertama tidak boleh ditolak mentah-mentah.

Jika diteliti rekod pencapaian Najib sebagai ahli politik secara individunya, beliau tidaklah mempunyai kekuatan sendiri malah tidak keterlaluan jika dikatakan nasib lebih banyak menyebelahinya.

Kelebihan beliau dalam mendaki hieraki politik negara lebih banyak bergantung kepada kedudukan beliau sebagai anak kepada Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Mungkin juga menyedari dirinya bukanlah seorang ‘fighter’, maka beliau sentiasa mengamalkan permainan selamat untuk kekal berada di dalam arus perdana Umno dan seterusnya meneruskan pendakiannya.

Beliau yang dilabelkan sebagai “Mr Yes Sir” merupakan seorang politikus yang sentiasa mengelakkan diri dari terjerumus dalam konfrontasi dalaman Umno dengan menjadikan faktor kesetiaan kepada ketua sebagai senjata.

Keadaan ini jelas dapat dilihat apabila beliau berjaya memanjat tangga demi tangga dalam keadaan selesa sehinggalah berada di kedudukannya sekarang ini.

Setelah bergelar PM

Demikian juga setelah beliau berjaya menduduki hieraki tertinggi negara pada masa ini, kekuatannya banyak bersandar kepada kuasa yang ada atau kedudukan jawatan PM yang disandangnya.

Lazimnya ahli politik seperti Najib, tidak mampu membina kekuatan pengaruh atau pengikutnya tersendiri sekiranya tidak berada pada kedudukan atau berada pada suatu jawatan yang berpengaruh.

Tanpa perkataan Perdana Menteri di pangkal namanya hanya menjadikan Najib bukanlah sesiapa pun dan kemampuan untuk menarik sokongan dari akar umbi khasnya amatlah meragukan.

Keadaan ini tentulah amat berbeza dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih mampu mengumpul berjuta pengikut dan penyokong meskipun beliau tidak lagi memegang sebarang jawatan penting setelah di pecat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak kurang juga dengan bekas PM Mahathir yang walaupun telah bersara tetapi masih lagi mempunyai pengikutnya tersendiri.

Meskipun masyarakat Pekan boleh dikatakan berbangga apabila seorang anak watan Pekan yang juga ahli parlimen di situ dilantik sebagai PM Malaysia.

Bagaimanapun cakap-cakap di kalangan masyarakat Pekan yang tidak berpuas hati dengan layanan Najib terhadap mereka sendiri sudah banyak kali kedengaran.

Mungkin kesibukan menjalankan tugas sebagai PM, beliau dikatakan jarang turun ke bawah dan menyerahkan segala permasalahan masyarakat Pekan kepada Pejabat Khidmat Masyarakat Parlimen Pekan.

Keadaan ini menyebabkan Najib dan pejabat khidmat masyarakatnya itusering terlepas pandang banyak masalah yang berlaku di Pekan.

Selain itu, kedudukan Najib sebagai anak bangsawan di tempat itu menjadikan di Pekan beliau dianggap berada dalam dunianya tersendiri.

Beliau sering digambarkan lebih banyak bergaul di dalam kelompoknya sahaja dan sukar untuk ditemui bersama rakyat terbanyak kecuali di hadapan lensa-lensa media.

Keadaan ini akhirnya telah mewujudkan satu tembok atau jurang pemisah antara masyarakat di Pekan itu dengan Najib serta keluarganya.

Prestasi Najib di lubuknya

Dalam PRU-11 pada 2004, buat pertama kalinya Najib turun bertanding di lubuknya, Parlimen Pekan dengan bersandarkan kekuatan jawatan Timbalan Perdana Menteri yang baru disandangnya ketika itu.

Majoriti kemenangan Najib ketika itu telah melonjak dari 241 undi pada PRU-10, tahun 1999 kepada 22,922 pada PRU-11 tersebut.

Peningkatan mendadak majoriti yang diterimanya itu bukan sahaja disebabkan pengaruh jawatan TPM yang disandangnya, ia turut dibantu faktor bertambahnya jumlah pengundi secara mendadak di parlimen Pekan.

Dalam PRU-11 itu, jumlah keluar mengundi adalah sebanyak 41,102 pengundi berbanding PRU-10 empat tahun sebelumnya yang hanya mencatatkan 27,539 pengundi.

Manakala dalam PRU-12 pada 2008, Najib sekali lagi berjaya mempertahankan penguasaan di lubuknya itu apabila berjaya meraih majoriti yang lebih besar berbanding 2004.

Selain faktor jawatan TPM yang masih disandang Najib ketika PRU-12, percaturan pembangkang juga dianggap kurang bijak apabila meletakkan parti yang salah dan calon juga yang salah menentang Najib dalam PRU-12 itu.

Kesan silap percaturan itu dapat dilihat ketika rata-rata calon BN lain mengalami tsunami politik yang membawa kemerosotan undian, sebaliknya undi Najib di Pekan telah meningkat dengan jumlah lebih besar.

Pada PRU-12 lalu, PKR yang bertama kali bertanding di Pekan telah menurunkan calon yang dikatakan ‘setengah masak’, Khairul Anuar

Ahmad Zainudin dan tewas dengan majoriti lebih besar, 26,464 undi.

Berbanding ketika BN menang dalam PRU-11 Najib telah menewaskan calon pembangkang dari PAS, Zakaria Dahlan dengan majoriti 22,922 undi.

Ketika itu, PKR yang ketandusan calon berwibawa dan disertakan keyakinan menebal akan tewas mudah di Pekan telah turun bertanding di Pekan hanya bagi melengkapkan jadual perlawanan dengan menjadikan calon setengah masak mereka sebagai ayam sabungan.

Sekiranya barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat memutuskan sekali lagi meletakkan ayam sabungan yang hampir sama kedudukannya dari PKR itu, jelas ia merupakan tindakan berasaskan perasaan penakut berhadapan risiko kekalahan calon ‘heavy weight’ mereka.

PAS hampir tamatkan politik Najib

Berdasarkan prestasi pembangkang dalam keputusan Parlimen Pekan dalam PRU lalu, meletakkan calon dari PAS merupakan keputusan terbaik berbanding mempertaruhkan calon dari PKR.

Malahan dalam PRU-10 pada tahun 1999, PAS ketika itu hampir sahaja menamatkan riwayat politik Najib apabila calon mereka Ustaz Hj Ramli Mohamed hanya tewas dengan majoriti 241 undi sahaja.

Gambaran lebih besar boleh dilihat bahawa sejumlah besar pengundi yang memangkah BN pada PRU 11 selepas itu terdiri dari mereka yang pernah mengundi PAS dalam PRU sebelumnya.

Bagi Pakatan memenangi Parlimen Pekan memanglah dianggap amat sukar tetapi tidaklah mustahil sekiranya sejumlah pengundi BN dalam PRU-12 lalu memangkah parti pembangkang dengan syarat PAS dijadikan pertaruhan di Pekan dalam PRU akan datang ini.

Percaturan startegi yang tepat dengan meletakkan parti dan calon yang betul iaitu bukan calon tangkap muat mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk Pakatan dengan sekurang-kurangnya mengecilkan majoriti Najib berbanding PRU-12 lalu.

Kejayaan mengurangkan majoriti PM dalam tahap jumlah tertentu boleh dianggap satu kemenangan moral oleh pembangkang.

Isu semasa melemahkan Najib

Kali ini dalam PRU-13, tidak syak lagi Najib akan diturunkan bagi mempertahankan Parlimen Pekan, cuma yang berbeza, kali ini beliau akan turun dalam pakej sebagai PM Malaysia.

Realitinya, jawatan PM itu sendiri sahaja telah menjadi satu halangan besar bagi pembangkang.

Bagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan awal tadi, PM Najib merupakan PM yang paling banyak ditanggapi dengan pelbagai persepsi negatif baik dari cara beliau mentadbir kerajaan mahupun isu yang terpalit ke atas tubuh beliau secara peribadinya.

Meskipun sehingga ke hari ini masih belum ada mana-mana kes terhadap Najib dibicarakan di mahkamah, persepsi negatif ini masih gagal diubah sepenuhnya, apatah lagi banyak persoalan dalam beberapa isu ini tidak mempunyai jawapan yang konkrit.

Selain itu, tingkah laku isteri beliau yang dikatakan mempunyai sikap boros, gemar kemewahan, gemar publisiti dan beberapa perkara negatif lain juga merupakan satu liabiliti yang besar buat Najib dalam mengharungi kemelut politik tanah air.

Maka, mengambil peluang dari persepsi buruk terhadap Najib, memilih calon PAS yang memiliki keperibadian yang sangat kontras dengan persepsi ke atas Najib adalah taruhan terbaik untuk berdepan dengan beliau.

Lebih baik lagi sekiranya PAS mampu menyediakan calon yang  mempunyai imej seperti mana Menteri Besar Kelantan, Dato’ Nik Aziz Nik Mat kalau tidak pun MB Kelantan itu sendiri diturunkan di Pekan.

Peluang yang ada dalam PRU-13 nanti belum tentu akan sekali lagi menjelma pada PRU-14, 15 dan seterusnya nanti.

Sekali lagi memaksa calon tangkap muat dan kerdil menentang calon ‘gergasi’ nombor satu itu kerana tidak mahu berhadapan risiko calon ‘heavy weight’ kehilangan kerusi adalah satu kesilapan.

Rasa takut mengambil risiko, tidak memanfaatkan peluang yang ada dan tidak ‘all out’ semua yang ada hanya akan menyaksikan sekali lagi Pakatan akan berputih mata.


Comments

Readers are required to have a valid Facebook account to comment on this story. We welcome your opinions to allow a healthy debate. We want our readers to be responsible while commenting and to consider how their views could be received by others. Please be polite and do not use swear words or crude or sexual language or defamatory words. FMT also holds the right to remove comments that violate the letter or spirit of the general commenting rules.

The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.

Comments